KEPENTINGAN ILMU FADHAIL A'MAL, TARGHIB & TARHIB.



Sepanjang saya belajar agama di pusat pengajian formal dan setelah menjadi guru agama selama 5 tahun, ada satu ilmu yang kelihatan kurang diberi tumpuan atau mungkin tercicir daripada pendidikan dan pengajian Islam, iaitu ilmu Fadhail A'mal atau ilmu Targhib dan Tarhib. Lihat dalam buku rujukan pengajian agama, sama ada peringkat rendah, menengah atau tinggi, ilmu ini cukup sedikit sekali dibahaskan.

Ilmu ini adalah ilmu yang menjelaskan ganjaran pahala dan dosa, balasan baik dan buruk bagi setiap amal atau perbuatan yang kita lakukan dalam seharian. Misalnya, bila solat 5 waktu apa kita dapat? Bila baca al-Quran 100 ayat 1 malam apa kita perolehi? Kalau bersedeqah setiap pagi apa Allah s.w.t kurnia? Kalau solat Dhuha apa ganjaran yang disediakan buat kita?

Ilmu Fadhail A'mal atau Targhib dan Tarhib ini amat penting. Ia menjadi pendorong kepada kita untuk beramal dengan ilmu yang kita ada. Terpinggirnya ilmu ini antara penyebab ramainya orang tahu hukum, tetapi malas atau tidak mahu beramal. Tahu wajib mendirikan solat 5 waktu, puasa Ramadhan, menutup aurat, melaksanakan hudud, tetapi tetap tidak mahu buat. Tahu minum arak, berzina, berjudi, mendedahkan aurat dan mencuri itu haram, tetapi tetap buat.

Ilmu Targhib dan Tarhib ini antara ilmu yang diberikan penekanan oleh Nabi s.a.w. di zaman awal Islam, fasa Makkah, hinggalah ke fasa Madinah. Baginda s.a.w. beritahu tentang Syurga, Neraka, balasan beriman dengan kalimah Tauhid, mendirikan solat 5 waktu apa kelebihannya, berjalan ke masjid pada waktu senja apa Allah s.w.t. beri, belajar 2 ayat daripada al-Quran dan bersedeqah apa ganjarannya serta banyak lagi.

Firman Allah s.w.t.:

“Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.” (Surah Fathir: 24).

Sayyidah Aisyah r.anha berkata:

“Sesungguhnya yang pertama-tama kali turun darinya (al-Quran) adalah surah al-Mufashshal (surat-surat pendek) yang di dalamnya disebutkan tentang Syurga dan Neraka. Dan ketika manusia telah condong kepada agama Islam, maka turunlah kemudian ayat-ayat tentang halal dan haram. Seandainya yang pertama kali turun adalah ayat; “Janganlah kamu minum arak” Nescaya mereka akan mengatakan; “Kami tidak akan meninggalkan meminum arak selama-lamanya.” dan sekiranya juga yang pertama kali turun adalah ayat, "Janganlah kamu berzina.” Nescaya mereka akan mengatakan, “Kami tidak akan meniggalkan zina selama-lamanya.” (Shahih Bukhari, no.4993)

Alangkah baiknya, kalau ilmu ini berjaya "ditarik" semula ke dalam pengajian Islam secara formal. Dijadikan sebuah subjek khusus untuknya dan disediakan buku teks khusus yang disusun berdasarkan ayat al-Quran dan hadis shahih, agar para pelajar terdorong untuk beramal dengan ilmu dan bukannya sekadar hiasan di lisan.

Wallahu a'lam.