(KISAH PALSU) KISAH IMAM MALIK & SI PEMANDI MAYAT.


Kisahnya adalah seperti berikut....

Pada zaman Imam Malik, terdapat seorang wanita yang buruk akhlaknya. Dia selalu tidur bersama lelaki dan tidak pernah menolak ajakan lelaki (pelacur). Tiba pada hari kematiannya, ketika mayatnya dimandikan oleh seorang wanita yang kerjanya memandikan mayat, tiba-tiba tangan si pemandi mayat itu terlekat pada batang tubuh jenazah wanita itu.

Semua penduduk dan ulama’ gempar akan hal itu.Mana tidaknya, tangan si pemandi mayat terlekat sehingga semua orang di situ mati akal untuk melepaskan tangannya dari mayat wanita terbabit. Terdapat berbagai cadangan dan pandangan untuk menyelesaikan masalah itu. Akhirnya ada 2 pandangan yang dirasakan sesuai tetapi berat untuk dijalankan.

Pertama, memotong tangan wanita pemandi mayat dan yang kedua pula tana atau kebumikan kedua-duanya iaitu pemandi mayat dan jenazah itu sekali gus. Oleh kerana kedua-dua cadangan tersebut masih lagi kurang sesuai, salah seorang dari mereka mereka memutuskan untuk meminta pendapat daripada Imam Malik.

Imam Malik bukan calang-calang orang yang memberi fatwa. Apabila Imam Malik sampai dan melihat apa yang berlaku, Imam Malik bertanya kepada wanita pemandi mayat itu :

“Apakah kamu lakukan atau berkata apa-apa kepada si mati semasa memandikannya?”

Perempuan memandikan mayat tersebut bersungguh-sungguh menjawab bahawa dirinya tidak berbuat atau tidak berkata apa-apa pun ketika menguruskan jenazah.

Selepas diasak dengan berbagai pertanyaan dan takut tangannya akan dipotong atau ditanam sekali dengan mayat, akhirnya wanita pemandi mayat itu berkata bahawa dia ada berkata :

“Berapa kalilah tubuh ini telah melakukan zina sambil menampar-menampar dan memukul-mukul berkali pada batang tubuh si mati.”

Imam Malik berkata: “Kamu telah menjatuhkan Qazaf (tuduhan zina) pada wanita tersebut sedangkan kamu tidak mendatangkan 4 orang saksi. Dalam situasi begini, di mana kamu nak cari saksi? Maka kamu harus dijatuhkan hukuman hudud 80 kali sebatan kerana membuat pertuduhan zina tanpa mendatangkan 4 saksi.”

Semasa wanita pemandi mayat itu dikenakan hukuman, bila tiba sebatan yang ke 80, maka dengan kuasa Allah s.w.t, terlepaslah tangannya daripada mayat tersebut.


PENILAIAN:

Kisah ini disebutkan berserta sanadnya dalam kitab Lisan al-Mizan karya Ibnu Hajar al-Asqalani.

Sanad kisah ini mempunyai 3 masalah.

Pertama, dalam sanadnya terdapat Ya’qub bin Ishaq al-Asqalani. Berkata adz-Dzahabi, beliau adalah pendusta. (Mizan al-I’tidal, 4/449)

Kedua, al-Musayyib bin Abdul Karim. Beliau dituduh sebagai pendusta oleh ad-Daraquthni. (Mizan al-I’tidal, 4/116)

Ketiga, padanya Ibrahim bin Uqbah, seorang yang majhul. (Mizan al-I’tidal, 1.49)

Berkata Ibnu Hajar al-Asqalani sebelum menukilkan kisah ini dalam biografi Ya’qub bin Ishaq al-Asqalani, “Dan aku telah mendapati hikayat daripadanya, seolah-olah ia daripada pemalsuannya.” (Lizan al-Mizan, 6/304)

Ali Ibrahim Hasyisy menjelaskan lebih lanjut kepalsuan kisah ini dalam Tahdzir ad-Da'iyah Min al-Qashash al-Wahiyah.


RUJUKAN:

Mizan al-I’tidal karya Adz-Dzahabi.

Lisan al-Mizan karya Ibnu Hajar al-Asqalani.

Tahdzir ad-Da’iyah Min al-Qashash al-Wahiyah karya Ali Ibrahim Hasyisy.