PENGENALAN RINGKAS IMAM MALIK BIN ANAS



1. Abu Abdillah Malik ibn Anas ibn Malik ibn Abi Amir al-Asbahi at-Tamimi, dan digelar Imam Darul Hijrah.

2. Lahir pada 93 Hijriah.

3. Menurut as-Suyuti, guru Malik ibn Anas adalah hampir 900 orang kesemuanya.

4. Karya terulung Malik ibn Anas adalah al-Muwaththa’. Menurut beliau, sebab ia dinamakan al-Muwaththa’, kerana apabila beliau selesai menyusunnya, kitab tersebut ditunjukkan kepada tujuh puluh orang ahli fekah daripada Madinah, dan kesemua mereka menyetujui kitab tersebut. Maksud al-Muwaththa’ adalah yang dipersetujui.

5. Kitab al-Muwaththa’ dikarang atas cadangan daripada Khalifah Abu Ja’far al-Manshur, walau bagaimanapun kitab tersebut hanya berjaya disempurnakan selepas kewafatan beliau.

6. Dinyatakan dalam kitab Manahij al-Muhadditsin, selain kitab al-Muwaththa’ karya Malik ibn Anas, terdapat lima buah lagi kitab yang mempunyai nama yang sama dengannya.

7. Berkata asy-Syafi’e, “Tidak aku ketahui di atas muka bumi ini, selepas kitab Allah yang lebih shahih daripada kitab Malik.” – ketika ini Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim belum dibukukan lagi.

8. Berkata asy-Syafi’e lagi, “Kalau bukan kerana Malik dan Sufian ibn Uyainah, pasti hilanglah ilmu ahli Hijjaz.”

9. Antara guru Malik ibn Anas yang beliau riwayatkan hadis daripada mereka ke dalam kitab al-Muwaththa’.

          a. Nafi’ pembantu Abdullah ibn Umar; sebanyak 287 riwayat.

          b. Az-Zuhri, Muhammad ibn Muslim ibn Syihab; 283 riwayat.

          c. Yahya ibn Sa’id al-Anshari; 234 riwayat.

          d. Hisyam ibn Urwah ibn az-Zubair; 128 riwayat.

          e. Zaid ibn Aslam; 88 riwayat.

          f. Abu az-Zinad; Abdullah ibn Zakwan; 70 riwayat.

          g. Abdullah ibn Dinar; 48 riwayat.

          h. Abu Bakr ibn Muhammad ibn Amru ibn Hazm; 47 riwayat.

          i. Rabi’ ibn Abdurrahman; dikenali dengan nama Rabi’ah ar-Ra’yi; 37 riwayat.

10. Kitab al-Muwaththa’ bukan sahaja mengandungi hadis, pendapat para sahabat, tabiin dan ijtihad Malik ibn Anas sendiri. Berikut perinciannya:

          a. Hadis musnad yakni yang mempunyai sanad lengkap; 600 riwayat.

          b. Hadis mursal; 222 riwayat.

          c. Hadis mawquf; 613 riwayat.

          d. Pendapat tabi’in; 285 riwayat.

11. Kitab yang paling masyhur mensyarah kitab al-Muwaththa’ adalah at-Tamhid Lima Fii al-Muwaththa’ Min al-Ma’ani wa al-Asanid karya Ibnu Abdil Barr.

12. Berkata al-Qadhi Iyadh bahawa jumlah orang yang mengambil riwayat daripada Malik ibn Anas adalah lebih daripada 1300 orang.

13. Antara karya Malik ibn Anas.

          a. Al-Muwaththa’.

          b. Risalah Fii al-Qadr wa ar-Radd ‘Ala al-Qadariyyah.

          c. Risalah Ila al-Laits Fii Ijma’ Ahli al-Madinah.

14. Wafat pada 179 Hijriah.



RUJUKAN:

Siyar ‘Alam an-Nubala, karya adz-Dzahabi, terbitan Muassasah ar-Risalah, Beirut, 1993.

Manahij al-Muhadditsin karya Dr. Muhammad Turki at-Turki, Riyadh, terbitan Dar al-Ashimah, 2009.