PENILAIAN HADIS: KHASIAT MINUM MADU 3 HARI SEBULAN




Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang hadis khasiat meminum madu tiga kali pada setiap bulan. Hadis ini telah tersebar dengan cukup meluas di internet, terutamanya dalam kalangan penjual madu dan peminat madu sebagai minuman.

Hadis ini diriwayatkan dengan dua jalur.



JALUR PERTAMA.

مَنْ لَعِقَ الْعَسَلَ ثَلَاثَ غَدَوَاتٍ ، كُلَّ شَهْرٍ ، لَمْ يُصِبْهُ عَظِيمٌ مِنَ الْبَلَاءِ

“Sesiapa yang menjilat (yakni meminum) madu tiga kali sebulan  pada waktu pagi, tidak akan ditimpa bala yang besar.”

Ia diriwayatkan dalam Sunan Ibnu Majah (3450), at-Tarikh al-Kabir (6/54), Musnad Abu Ya'la (6415), Mu'jam al-Awsath (408), Syu'ab al-Iman (5530), al-Kunya ad-Dulabi (1025), ath-Thib Abu Nu'aim (162), al-Amali Ibn Basyran (809), al-Majruhin (1/313), al-Kamil Fii adh-Dhuafa (4/191).

Semua sanadnya adalah daripada Semuanya daripada jalur Sa'id bin Zakariyya al-Qurasyi berkata, menceritakan kepada kami az-Zubair bin Sa'id al-Hasyimi, daripada Abdul Hamid bin Salim daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w bersabda.


JALUR KEDUA:

مَنْ شَرِبَ الْعَسَلَ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ فِي كُلِّ شَهْرٍ عَلَى الرِّيقِ عُوفِيَ مِنَ الدَّاءِ الأَكْبَرِ الْفَالِجِ وَالْجُذَامِ والبرص

“Sesiapa meminum madu tiga hari pada setiap bulan dengan sekali tegukan, dia akan dilindungi daripada penyakit yang berat, kusta, lumpuh dan sopak.

Ia diriwayatkan oleh Abu asy-Syaikh dalam ats-Tsawab seperti mana yang sebut dalam al-Lali al-Mashnu'at (2/344).
Sanadnya adalah seperti berikut berkata Abu as-Syaikh, menceritakan kepada kami Ahmad bin al-Hasan bin Abdul Malik, menceritakan kepada kami Abu Umayyah al-Harrani, menceritakan kepada kami Utsman bin Abdurrahman daripada Ali bin Urwah daripada Abdul Malik daripada Atha' daripada Abu Hurairah r.a secara marfu.                                                        

PENILAIAN JALUR PERTAMA:

Hadis dengan jalur pertama ini dhaif, munkar menurut adz-Dzahabi. Jalur pertama ini mempunyai beberapa kecacatan:

  • Pertama: Terputusnya sanadnya di antara Abdul Hamid dan Abu Hurairah r.a. Beliau tidak mendengar daripada Abu Hurairah r.a. Berkata al-Bukhari dan at-Tarikh al-Kabir (6/55), "Tidak kami ketahui mendengarnya beliau daripada Abu Hurairah."
  • Kedua: Abdul Hamid adalah majhul. Berkata adz-Dzahabi dalam Mizan al-I'tidal, "Tidak meriwayatkan daripadanya kecuali az-Zubair." Berkata Ibnu Hajar al-Asqalani, dalam at-Taqrib at-Tahdzib, (hal. 333), "Majhul."
  • Ketiga: Az-Zubair bin Sa'id adalah perawi dhaif. Beliau didhaifkan oleh Yahya bin Ma'in, Ali bin al-Madini dan as-Saji. Berkata Abu Ahmad al-Hakim, "Laisa bilqawi indahum." Berkata Abu Dawud, "Pada hadisnya munkar." Berkata ad-Daraqutni, "Dijadikan i'tibar dengannya." Berkata Abu Zur'ah, "Syaikh." Lihat dalam Tahdzib at-Tahdib (3/272).
  • Keempat:  Sa'id bin Zakariyya, beliau "Layyin." walaupun beliau ditawtsiq oleh Yahya bin Ma'in, Ahmad bin Hanbal, Shaleh bin Muhammad dan Ibnu Hibban. Berkata al-Bukhari, "Shaduq." Berkata Ahmad bin Hanbal, "Kami menulis hadis daripadanya, kemudian kami meninggalkannya. Bukan ahli hadis." Berkata Abu Hatim, "Laisa bidzaka al-Qawi." Berkata Zakariyya as-Saji, "Dhaif." Berkata Utsman bin Abi Syaibah, "La ba'sa bihi, shaduq, tetapi tidak terkenal dalam hadis." Ibnu Hajar menyimpulkan dalam at-Taqrib at-Tahdzib (235), "Shaduq, lam yakun bilhafidz."
  • Kelima: Tafarrud padanya Sa’id bin Zakariyya.

Berkata as-Suyuthi al-Lali al-Mashnu'at (2/344), disebutkan bahawa hadis ini mempunyai syahid. Namun, begitu syahid itu adalah mawdhu'. Di bahaskan selepas ini.

PENILAIAN JALUR KEDUA:
 
Hadis dengan jalur kedua ini adalah mawdhu’ (palsu) menurut al-Albani. Padanya ada beberapa kecacatan:

  • Pertama: Ali bin Urwah adalah matruk, dituduh berdusta. Berkata Yahya bin Ma'in, "Laysa bisyai." Berkata al-Bukhari, "Majhul." Berkata Abu Hatim, "Matruk al-Hadis."
  • Kedua: Utsman bin Abdurrahman Berkata Shaleh bin Muhammad, "Ustman bin Abdurrahman al-Waqqashi adalah pemalsu hadis. Dan Ali bin Urwah lebih pendusta daripadanya." Berkata Murrah, "Seluruh hadisnya dusta." Berkata Ibnu Hibban, "Pemalsu hadis." Berkata al-Azdi, "Tidak ditulis hadisnya." Berkata Ibnu Abi Ashim, "Munkar al-Hadis." Lihat Tahdzib at-Tahdzib (319/7).

KESIMPULAN:

Tiada hadis yang shahih atau hasan dalam bab kelebihan atau khasiat meminum madu tiga kali setiap bulan pada waktu pagi. Yang ada hanya hadis dhaif munkar dan mawdhu sahaja.

CATATAN:

Daripada segi fakta, madu sememangnya suatu yang mempunyai khasiat yang tersendiri. Bahkan di dalam Syurga, ada sungai daripada madu. Hanya saja, dalam soal ini tiada hadis shahih tentang khasiat meminum madu sebanyak tiga kali setiap bulan.

Wallahu a’lam.


RUJUKAN: Disusun semula daripada fatwa dalam laman web IslamQA dot com (klik).