KRITIKAN KE ATAS TAHQIQ AL-MAQAL FII TAKHRIJ AHADIS FADHAIL AL-A’MAL






Ketika saya mengkritik Fadhail al-A’mal karya Syaikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi, terdapat banyak tentangan daripada mereka yang mengagungkan kitab Fadhail al-A’mal tersebut.

Ada yang menyuruh saya pergi ke Markas Jamaah Tabligh di Sri Petaling dan ada juga yang screenshot kitab-kitab Arab untuk tatapan saya.

Dikatakan kepada saya bahawa terdapat satu kitab yang membela Fadhail al-A’mal. Kitab tersebut berjudul Tahqiq al-Maqal Fii Takhrij Ahadis Fadhail al-A’mal karya Syaikh Latif ar-Rahman al-Bahraji al-Qashimi.

Para pembela Fadhail al-A’mal kelihatannya cukup berbangga dengan kitab tersebut. Alhamdulillah, seseorang di antara mereka yang baik hati telah menghadiahkan kepada saya photocopy kitab tersebut dan saya telah menerimanya dengan selamat.

Saya telah menelaah kitab tersebut dan berpendapat pembelaan Tahqiq al-Maqal Fii Takhrij Ahadis Fadhail al-A’mal ke atas Fadhail al-A’mal tidaklah mencukupi dan kurang adil. Contohnya, hadis yang telah jelas palsuannya, hanya dinilai dhaif yang biasa oleh Syaikh Latif ar-Rahman dan tersilap dalam penilaian.

Kesilapan Dalam Menukil dan Menilai Hadis.

Berkata Syaikh Latif ar-Rahman al-Bahraji al-Qashimi pada halaman 316:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن الله عز وجل عتقاء في كل يوم وليلة لكل عبد منهم دعوة مستجابة. هذا الحديث أخرجه أحمد عن أبي هريرة وأبي سعيد الخدري، قال الهيثمي: في رجال أحمد رجال الصحيح وقيل في إسناده ابان بن عياش وهو متروك.
Ertinya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla mempunyai  sejumlah hamba yang dibebaskan pada setiap waktu siang dan malam (pada bulan Ramadhan) dan bagi setiap hamba daripada kalangan mereka (orang Islam) ada doa yang mustajab.” (Berkata Syaikh Latif ar-Rahman): Hadis ini dikeluarkan oleh Ahmad daripada Abu Hurairah dan Abu Said al-Khudri, berkata al-Haitsami: Para perawi Ahmad adalah perawi ash-Shahih, dan dikatakan pada sanadnya Abbas bin Iyasy seorang yang matruk.

Ulasan:

Pada halaman 316 ini, Syaikh Latif ar-Rahman telah mendhaifkan hadis ini dengan mengatakan sanadnya terdapat perawi matruk dengan membawakan kata-kata al-Haitsami dalam Majma az-Zawaid.

Saya telah melihat Majma’ az-Zawaid (no. 17633), yang benarnya al-Haitsami tidak mendhaifkan hadis ini, beliau sekadar berkata:

رواه أحمد ورجاله رجال الصحيح

“Diriwayatkan ia oleh Ahmad dan perawi-perawinya adalah perawi ash-Shahih.”

Adapun kata-kata al-Haitsami tentang hadis yang pada sanadnya terdapat Abban bin Abi Iyasy bukanlah ditujukan pada hadis riwayat Ahmad, sebaliknya ia ditujukan kepada hadis riwayat ath-Thabarani (no. 6401)

Ath-Thabarani telah meriwayatkan hadis yang hampir sama maknanya tetapi dengan sanad yang lain lalu al-Haitsami berkomentar dalam Majma’ az-Zawaid (no. 127214):

رواه الطبراني في الأوسط وفيه أبان بن أبي عياش وهو متروك
“Diriwayatkan ia oleh ath-Thabarani dalam al-Awsath dan padanya Abban bin Abi Ayyasy dan beliau seorang yang matruk.”

Berikut adalah sanad dalam Musnad Ahmad (no. 7450):

حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَوْ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ هُوَ شَكَّ يَعْنِي الْأَعْمَشَ
Menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah, menceritakan kepada kami al-A’masy daripada Abi Shaleh daripada Abu Hurairah atau daripada Abu Said al-Khudriy (beliau ragu-ragu yakni al-A’masy).

Lihatlah, dalam sanad ini tidak ada perawi matruk bernama Abbas bin ِAbi Ayyasy.

Kesimpulannya, Syaikh Latif ar-Rahman al-Bahraji telah tersilap mendhaifkan hadis riwayat Ahmad. Hadis riwayat Ahmad adalah shahih sanadnya, demikian menurut Syu’aib al-Arnauth. Dan keraguan al-A’masy terdapat sahabat yang meriwayatkan hadis ini tidak memudaratkan sanad tersebut.

Kurang Adil Dalam Menilai.

Bukti 1.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهَا قَالَ قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ شَرَفًا يَتَبَاهَوْنَ بِهِ وَإِنَّ بَهَاءَ أُمَّتِي وَشَرَفَهَا الْقُرْآنُ. (رواه ابو نعيم في الحلية)

Daripada Aisyah r.ha. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya setiap kaum itu mempunyai kemuliaan yang mereka banggakan. Dan sesungguhnya kebanggaan dan kemuliaan umatku adalah al-Qur’an.” (Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam al-Hilyah)

Hadis ini sekadar dinilai dhaif sanadnya oleh Syaikh Latif ar-Rahman al-Bahraji pada halaman 616, sedangkan pada sanadnya terdapat al-Hakam bin Abdullah al-Aili yang telah beliau nukilkan kritikan oleh Abu Hatim bahawa al-Hakam bin Abdullah al-Aili sebagai matruk dan pemalsu hadis dan Yahya bin Ma’in menilai al-Hakam sebagai “Tidak bernilai”!!!

Saya tambah: Bukan Abu Hatim sahaja mengatakan al-Hakam bin Abdullah al-Aili sebagai pemalsu hadis. Ahmad bin Hanbal turut berkata sedemikian dengan katanya: “Seluruh hadisnya adalah palsu!”

Bukti 2.

Dalam Fadhail al-A’mal terdapat hadis tentang 15 azab seksa buat orang meninggalkan solat. Hadis ini adalah mawdhu’ (palsu) menurut adz-Dzahabi dan Ibnu Hajar al-‘Asqalani, tetapi Syaikh Latif ar-Rahman telah menempuh jalan yang tidak bertepatan dengan disiplin ilmu hadis dengan cuba menaik taraf hadis tersebut sekadar dhaif biasa dan bukannya mawdhu’.


Kesimpulan: Tidak Mencukupi & Meragukan.

Daripada 3 contoh yang saya bawakan di atas ini, saya menyatakan kitab Tahqiq al-Maqal Fii Takhrij Ahadis Fadhail al-A’mal tidak memadai untuk membela Fadhail al-A’mal. Malah meragukan. Saya kira semakan-semakan yang dikemukakan oleh Syaikh Latif ar-Rahman al-Bahraji perlu diteliti dan dinilai semula.

Wallahu a’lam.





Tiada ulasan: