PENILAIAN HADIS: MENINGGALKAN MAKAN MALAM, AKAN CEPAT TUA (NYANYUK).




Telah tersebar di internet tentang diet Rasulullah s.a.w. Salah satunya dinyatakan bahawa baginda s.a.w. melarang meninggalkan makan malam kerana boleh menyebabkan badan lemah dan cepat tua.

Hadis tentang perkara ini adalah tidak shahih. Ia datang daripada 2 riwayat.


RIWAYAT PERTAMA:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنهما قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  لَا تَدَعُوا الْعَشَاءَ وَلَوْ بِكَفٍّ مِنْ تَمْرٍ ، فَإِنَّ تَرْكَهُ يُهْرِمُ

Daripada Jabir bin Abdullah r.anhum berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan kamu tinggalkan makan malam walau dengan segenggam kurma. Sesungguhnya meninggalkan makan malam menyebabkan cepat tua.”

Hadis ini diriwayatkan dalam Sunan Ibnu Majah (no. 3346) dengan sanadnya: Berkata Ibnu Majah, menceritakan kepada kami Muhammad bin Abdullah ar-Raqqi, menceritakan kepada kami Ibrahim bin Abdussalam bin Abdullah bin Babah al-Makhzumi, menceritakan kepada kami Abdullah bin Maimun dariapda Muhammad al-Mukandari daripada Jabir bin Abdullah daripada Nabi s.a.w.

PENILAIAN:

Hadis ini dhaif jiddan, pada sanadnya terdapat Ibrahim bin Abdussalam al-Makhzumi. Menurut Ibnu Adiy, beliau meriwayatkan hadis-hadis munkar dan termasuk dalam kalangan pencuri hadis. Pada sanadnya juga terdapat Abdullah bin Maimun al-Qaddah, seorang yang matruk menurut Abu Hatim.


RIWAYAT KEDUA:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  تَعَشَّوْا وَلَوْ بِكَفٍّ مِنْ حَشَفٍ ، فَإِنَّ تَرْكَ العَشَاءِ مَهْرَمَةٌ

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi s.a.w.bersabda: “Hendaklah kamu makan malam walau dengan segenggam kurma kering yang rosak. Sesungguhnya meninggalkan makan malam, menyebabkan cepat tua (nyanyuk).”

Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmidzi (no. 1779) dengan sanadnya Berkata at-Tirmidzi, menceritakan kepada kami Yahya bin Musa, menceritakan kepada kami Muhammad bin Ya'la al-Kufi, menceritakan kepada kami 'Anbasah bin Abdurrahman al-Qurasyi daripada Abdul Malik bin 'Allaq daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w.

PENILAIAN:

Hadis ini munkar, dhaif jiddan. Berkata at-Tirmidzi, "Hadis ini munkar, kami tidak mengetahuinya kecual daripada wajah (sanad) ini. Dan 'Anbasah dhaif dalam hadis, dan Abdul Malik bin 'Allaq adalah majhul."

CATATAN:

Tiada satu pun hadis shahih tentang larangan meninggalkan makan malam. Yang ada hanyalah riwayat dhaif jiddan dan munkar.

Penulisan ini bukanlah untuk menafikan kelebihan makan malam dalam memberikan tenaga. Makan malam adalah perlu untuk memberikan tenaga agar kita dapat beribadah kepada Allah.

Meninggalkan makan malam adalah harus hukumnya, selagi mana ia tidak melemahkan badan daripada beribadah, menimbulkan mudarat pada kesihatan diri.

Wallahu a’lam.

RUJUKAN:


1. Sunan Ibnu Majah.
2. Sunan At-Tirmidzi.
4. Silsilah al-Ahadis adh-Dhaifah wa al-Mawdhu’ah.
5. Mizan al-I’tidal.
6. Tahdzib al-Kamal.





Tiada ulasan: