PENJELASAN DARJAT HADIS MENYAPU WAJAH SELEPAS BERDOA.






HADIS # 1.

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا مَدَّ يَدَيْهِ فِي الدُّعَاءِ لَمْ يَرُدَّهُمَا حَتَّى يَمْسَحَ بِهِمَا وَجْهِهِ

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila mengangkat kedua tangannya dalam berdoa, tidak mengembalikannya sehingga menyapu wajahnya dengan keduanya.”

Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrakh (1/719), at-Tirmidzi dalam Sunan at-Tirmidzi (11/244) dan Ibnu Abi Hatim dalam al-Illal al-Hadis (2/205).

Sanadnya: Menceritakan kepada kami Hammad bin Isa, menceritakan kepada kami Handzalah bin Abi Sufyan, berkata: Aku mendengar Salim bin Abdullah menceritakan daripada ayahnya, Abdullah bin Umar daripada Umar bin al-Khattab r.anhuma.

Dalam sanadnya terdapat Hammad bin Isa al-Juhani, beliau didhaifkan oleh Abu Dawud, Abu Hatim dan ad-Daraquthni.

Berkata at-Tirmidzi: “Hadis ini gharib, tidak kami ketahui melainkan daripada hadis Hammad bin Isa dan beliau tafarrud dengannya.” (Sunan at-Tirmidzi, 11/244)

Berkata Abu Zur’ah: “Ia adalah hadis munkar, dan aku bimbang tiada baginya asal.” (Illal al-Hadis, 2/205)

HADIS # 2.

إِذَا دَعَوْتَ اللَّهَ فَادْعُ بِبَاطِنِ كَفَّيْكَ، وَلَا تَدْعُ بِظُهُورِهِمَا، فَإِذَا فَرَغْتَ فَامْسَحْ بِهِمَا وَجْهَكَ

“Apabila engkau berdoa kepada Allah, maka berdoalah dengan tapak tanganmu, janganlah engkau berdoa dengan belakang tanganmu. Apabila engkau selesai berdoa, maka sapulah dengannya wajahmu.”

Dikeluarkan oleh Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah (2/254; 5/534) dan Ibnu Abi Hatim dalam ‘Ilal al-Hadis dengan sedikit perbezaan lafaz.

Sanadnya: Menceritakan kepada kami A'idz bin Habib daripada Shaleh bin Hassan al-Anshari daripada Muhammad bin Ka'ab al-Quradzi daripada Ibnu Abbas daripada Rasulullah s.a.w.

Dalam sanadnya terdapat Shaleh bin Hassan al-Anshari. Berkata, "Munkar al-Hadis." Berkata Yahya bin Ma'in, "Laysa bisyai." (Al-Kamil Fii adh-Dhu'afa, 5/77)

Berkata Abu Hatim: “Hadis ini munkar!” (‘Illal al-Hadis, 2/351)

HADIS # 3.

لَا تَسْتُرُوا الْجُدُرَ مَنْ نَظَرَ فِي كِتَابِ أَخِيهِ بِغَيْرِ إِذْنِهِ فَإِنَّمَا يَنْظُرُ فِي النَّارِ سَلُوا اللَّهَ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ وَلَا تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا فَإِذَا فَرَغْتُمْ فَامْسَحُوا بِهَا وُجُوهَكُمْ

“Janganlah kamu menutup tembok dengan kain. Sesiapa yang melihat ke dalam buku saudaranya tanpa izin, maka sebenarnya ia melihat ke Neraka. Mohonlah kepada Allah dengan tapak tangan kamu dan janganlah kamu memohon kepada-Nya dengan belakangnya. Apabila kamu selesai berdoa, maka sapulah wajahmu dengannya.”

Dikeluarkan oleh Abu Dawud dalam Sunan Abu Dawud (4/284).

Hadis ini didhaifkan sendiri oleh Abu Dawud, dengan katanya: “Diriwayatkan hadis ini melalui sanad selain Muhammad bin Ka’ab, semuanya lemah. Dan jalur ini seumpamanya, ia juga dhaif.”

Kesimpulannya, tiada satu pun hadis yang shahih berkaitan perkara menyapu wajah selepas berdoa. Yang wujud hanya hadis dhaif dan munkar menurut Huffadz Salaf. Wallahu a’lam.




Tiada ulasan: