AZAB KUBUR DI ANGKAT 40 HARI KERANA ULAMA & PENUNTUT ILMU?


http://galeribukuagama.blogspot.com/2015/05/biografi-agung-imam-syafii.html
 (Gambar sekadar hiasan, tiada kaitan dengan hadis di bawah)



Saya menerima soalan dalam mesej Facebook daripada seorang rakan Facebook, tentang 2 hadis kelebihan ulama.

Pertama, hadis tentang apabila seorang ulama atau penuntut ilmu melalui sebuah kampung yang padanya ada kuburan, maka Allah akan mengangkat azab daripada kuburan pada kampung tersebut selama 40 hari.

Kedua, hadis sesiapa yang menziarahi ulama, maka seolah-olah dia menziarahi Nabi s.a.w.

JAWAPAN.

PERTAMA

Hadis pertama yang dimaksudkan adalah hadis berikut:

إن العالم والمتعلم إذا مرا على قرية فإن الله يرفع العذاب عن مقبرة تلك القرية أربعين يوما

“Sesungguhnya, seorang ulama dan penuntut ilmu, apabila melalui sesebuah kampung, maka Allah akan mengangkat azab daripada kubur yang terdapat pada kampung tersebut selama 40 hari.”


Ali al-Qari menukilkan dalam al-Asrar al-Marfu’at Fii Akhbar al-Mawdhu’at (no.80), bahawa as-Suyuti menyatakan hadis ini tiada asalnya, hadis ini tiada asalnya. Tiada asalnya adalah salah satu istilah yang digunakan oleh para ahli hadis untuk hadis palsu.

KEDUA

Hadis tentang menziarahi ulama, datang daripada 2 jalur periwayat.

Jalur pertama daripada Anas bin Malik r.a.

من زار عالما فكمن زارنى ومن صافح عالما فكمن صافحنى ومن جالس عالما فكمن جالسنى ومن جالسنى فى دار الدنيا أجلسه الله معى غدا فى الجنة

“Sesiapa menziarahi seorang ulama, maka seolah-olah menziarahiku. Sesiapa yang berjabat tangan dengan seorang ulama, maka seolah-olah berjabat tangan dengaku. Sesiapa yang duduk bersama seorang ulama, seolah-olah duduk bersamaku. Sesiapa duduk bersamaku di dunia, maka Allah akan mendudukkannya bersamaku esok di dalam Syurga.”

Berkata Ibnu Arraq dalam Tanzih asy-Syariah (no. 57) hadis ini dusta.

Jalur kedua, daripada Ibnu Abbas r.anhuma.

من زار العلماء فكأنما زارني، ومن صافح العلماء فكأنما صافحني، ومن جالس العلماء فكأنما جالسني، ومن جالسني في الدنيا أجلس إلي يوم القيامة

“Sesiapa menziarahi ulama, seolah-olah dia menziarahiku. Sesiapa berjabat tangan dengan ulama, seolah-olah dia berjabat tangan dengaku. Sesiapa duduk bersama ulama, seolah-olah dia duduk bersamaku. Sesiapa duduk bersamaku di dunia, dia akan didudukkan bersamaku pada hari qiyamat.”

Hadis dengan lafaz ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Akhbar al-Ashbahan. Sanad hadis ini terdapat penyakit. 

  • Pertama, Hafs bin Umar al-Adani daripada al-Hakam. Berkata an-Nasaie, "Tidak tsiqah."
  • Kedua, Abu Muhammad Hamad bin Nuh majhul. Tiada disebutkan biorgrafinya dalam mana-mana kitab tentang perawi.
  • Ketiga, Muhammad bin al-Fadhl bin al-Abbas bin al-Balkhi, didhaifkan oleh ad-Daraquthni. 

Riwayat ini disimpulkan sebagai mawdhu' (palsu) oleh al-Qari dalam al-Mashnu’ Fii Ma’rifat al-Hadis al-Mawdhu’ (no. 335), al-Ajluni dalam Kasyf al-Khafa, (no. 2429) dan al-Albani dalam Silsilah al-Ahadis adh-Dhaifah, (no. 3333).

Kesimpulannya, tiada hadis shahih berkenaan dua perkara itu. Yang ada adalah hadis palsu.

Wallahu a’lam.

 



Tiada ulasan: