ADA APA DENGAN AZAN?


 (Sumber gambar: IslamicInfo)


Azan diseru 5 waktu setiap hari. Ia bukan sekadar menyeru dan mengingatkan kita tentang waktu solat telah masuk. Disebalik lafaz azan 5 waktu itu ada mesej yang dapat kita hayati dan amalkan dalam hidup kita, jangan dilupa.

Pertama:
Dimulakan dengan Allah SWT. Dialah yang Maha Besar, paling agung dan paling sempurna. Apa pun jua yang kita hadapi, alami dan temui di dunia ini, semuanya tidak setanding dengan Allah SWT.

Kedua: Hendaklah kita menyembah Allah SWT. Tidak cukup sekadar kita mengakui Allah SWT itu Maha Besar, agung, sempurna dan hebat. Kita harus sujud, merendah diri kepada-Nya. Itu bukti kita benar-benar membesarkan Allah SWT.

Ketiga: Nabi Muhammad SAW adalah rasul-Nya. Baginda SAW adalah sebaik-baik manusia dan sebaik-baik contoh teladan buat kita. Ingin sembah Allah SWT, ikutlah petunjuk baginda SAW. Tiada manusia dapat meraih darjat di sisi Allah SWT, melainkan perlu mencontohi baginda SAW.

Keempat: Solat adalah perintah paling utama. Ia ibadah penting, ia adalah tunjang Islam. Solat adalah penghubung kita dengan Allah SWT. Ia sebab datangnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Bila kita tinggal solat, akan terputus hubungan kita dengan Allah SWT.

Kelima: Marilah menuju kejayaan. Manusia tidak diciptakan untuk gagal. Manusia dicipta untuk berjaya dan kita perlu usaha mencapainya. Kejayaan dunia adalah dengan memakmurkan dunia sebagai khalifah. Kejayaan akhirat, sejauh mana kita taat perintah Allah SWT dan tinggalkan larangan-Nya.

Keenam:
Diingatkan semula kepada kita tenang kebesaran Allah SWT. Apa juga yang kita rasa besar di dunia ini, sama ada kesusahan dan keperitan, kesenangan itu hanyalah benda yang kecil. Kembali kepada Allah SWT.

Ketujuh: Sekali lagi diingatkan tentang menyembah Allah SWT. Sembah Allah SWT. Hidup di dunia jangan lalai dan lupa, tujuan kita dicipta adalah agar beribadah kepada-Nya. Dan haruslah kalimah tauhid 'laa ilaaha illallah' itu menjadi pegangan sehingga akhir hidup kita.

Itu yang dapat saya fahami daripada kalimah azan secara ringkas. Saya fikir mengapa lafaznya sedemikian rupa? Ada tujuannya? Apa yang mahu disampaikan? Pastinya Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu secara sia-sia. Pasti ada mesej disebaliknya yang harus kita renungi dengan hati dan fikiran kita.




Tiada ulasan: