MENGUTAMAKAN DUNIA, SIFAT PENGHUNI NERAKA


(Sumber gambar: Yufid.com)


وَبُرِّزَتِ الْجَحِيمُ لِمَنْ يَرَى (٣٦) فَأَمَّا مَنْ طَغَى (٣٧) وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا (٣٨) فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَى (٣٩) وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى (٤٠) فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى (٤١)

“Dan Neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya, maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya).”

“Adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, maka Sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya.”

“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.”
(Surah an-Naziat: 36-41)

Di akhirat nanti, setiap daripada kita akan mendapat balasan atas apa yang kita lakukan di dunia ini.

 

Mengutamakan Dunia, Sifat Penghuni Neraka.


Dalam bahagian ini, Allah SWT menjelaskan sifat orang yang akan mendiami Neraka yang berat seksaannya, iaitu mereka yang melampau batas dan mereka itu mengutamakan kehidupan dunia semata-mata dan membelakangi akhirat.

Yang termasuk mengutamakan dunia semata-mata itu bagaimana?

Kita sanggup bersusah payah untuk urusan dunia, bekerja siang dan malam bagi mendapatkan kesenangan hidup di dunia. Kita sanggup usaha seribu daya bagi dapatkan dunia. Sebaliknya, dalam urusan agama dan akhirat kita buat sambil lewa.

Dalam urusan agama, kita tidak berikan seribu daya usaha. Sebaliknya kita berikan seribu dalih. Kita tidak sanggup bersusah payah dan berusaha keras untuk mendapatkan Syurga di akhirat.

Apabila disuruh taat, pelbagai alasan kita beri mengapa tidak mendirikan solat, mengapa tidak menjaga aurat, batas pergaulan dan pelbagai lagi urusan agama.

Kita lebih arif tentang perkara dunia yang bersifat remeh, dalam masa yang sama kita lebih rela jahil dan kurang ilmu berkaitan agama, terutama perkara berkaitan fardhu ain. Akhirnya kita bersikap melampaui batas dengan melanggar perintah dan larangan Allah SWT.

 

Menahan Diri Menurut Hawa Nafsu, Sifat Penghuni Syurga.


Apabila tiba hari akhirat, para penghuni Syurga dijemput masuk untuk masuk ke dalam Syurga dan berbahagia selama-lamanya. Ciri mereka yang akan mendiami Syurga berdasarkan ayat ini adalah mereka yang takut kepada Allah SWT dan menahan diri daripada menuruti hawa nafsu.
   
Hawa nafsu selalu mengajak manusia kepada keburukan dan maksiat yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Sesungguhnya, menuruti hawa nafsu adalah punca utama yang akan menghantar manusia menuju ke Neraka yang menyala-nyala.
   
Daripada Anas bin Malik RA, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Syurga itu diliputi oleh perkara yang dibenci hawa nafsu, manakala Neraka itu diliputi oleh perkara yang disukai hawa nafsu.” (Shahih Muslim, no. 7308)
   
Sekiranya kita mahu menjejakkan kaki ke Syurga di akhirat, mengawal diri daripada menurut hawa nafsu untuk melakukan perkara haram dan dibenci Allah SWT adalah satu kewajipan buat diri kita.
   
Persoalannya, bagaimana mengawal diri daripada menurut hawa nafsu? Antara cara yang paling ampuh adalah mengukuh perasaan takut kepada Allah SWT, takut mendapat balasan di hari pembalasan kelak. Itu adalah umpama tali kekang yang mampu mengikat nafsu daripada berleluasa.
   
Semakin kukuh sifat takutkan Allah SWT, akan semakin kuat juga kawalan diri kita. Semakin lemah sifat takutkan Allah SWT, maka lemah juga kawalan kita terhadap diri kita sendiri.

Wallahu a’lam.


Tiada ulasan: