HADIS PALSU TENTANG SIFAT NERAKA, 70 RIBU LEMBAH, KAMPUNG, RUMAH, PERIGI, POKOK, DLL.



Hari ini saya menerima satu persoalan daripada seorang rakan melalui WhatsApp mengenai sifat Neraka yang diinyatakan sebagai hadis.

MATAN.

Allah berfirman dalam hadis Qudsi: 

يا بني آدم كيف تعصوني وأنتم تجزعون من حر الشمس والرمضاء، وإن جهنم لها سبع طبقات فيها نيران يأكل بعضها بعضا، وفي كل منها سبعون ألف واد من النار، وفي كل واد سبعون ألف شعبة من النار، وفي كل شعبة سبعون ألف مدينة من النار، وفي كل مدينة سبعون ألف قصر من النار، وفي كل قصر سبعون ألف دار، وفي كل دار سبعون ألف بيت من النار، وفي كل بيت سبعون ألف بئر من النار، وفي كل بئر سبعون ألف تابوت من النار، وفي كل تابوت سبعون ألف شجرة من الزقوم، وتحت كل شجرة سبعون ألف وتد من النار، مع كل وتد سبعون ألف سلسلة من النار، وفي كل سلسلة سبعون ألف ثعبان من النار، وطول كل ثعبان بحر من السم الأسود. وفيها سبعون ألف عقرب، ولكل عقرب سبعون ألف ذنب من النار، وطول كل ذنب سبعون ألف فقار، وفي كل فقارة سبعون ألف رطل من السم الأحمر

“Wahai anak Adam, betapakah kamu menderhakaiKu, sedangkan kamu akan terkejut dek panasnya matahari. Manakala neraka itu mempunyai tujuh tingkat. Dia mempunyai api yang sebahagiannya memakan sebahagian yang lain.”

“Pada setiap lapisan terdapat 70,000 lembah daripada api.
Pada setiap lembah itu terdapat 70,000 kampung.
Pada setiap kampungnya terdapat 70,000 rumah.
Pada setiap buah rumah itu terdapat 70,000 buah perigi.
Pada setiap buah perigi itu terdapat 70,000 buah peti daripada api.
Pada setiap buah peti (keranda) terdapat 70,000 pohon pokok Zaqqum.
Di bawah setiap pokok itu terdapat 70,000 orang panglima daripada api.
Bersama setiap orang panglima itu terdapat 70,000 orang malaikat daripada api.
Juga 70,000 ekor ular daripada api. Panjang setiap ekor ular daripada api itu sepanjang 70,000 hasta.
Pada perut setiap ekor ular terdapat sebuah laut daripada racun hitam.
Manakala bagi setiap ekor kala ada 70,000 sengat.
Panjang setiap sengat kala itu 70,000 hasta.
Manakala pada setiap sengat itu terdapat 70,000 racun merah.”

STATUS: MAWDHU' (PALSU).

Berdasarkan semakan, hadis ini tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadis yang dipercayai daripada kalangan ahli Sunnah. Semakan lanjut, ia ditemui dalam kitab “Kalimat Allah”, halaman 472 karya as-Sayyid Hasan asy-Syirazi yang merupakan tokoh berfahaman Syi’ah.

Berdasarkan laman web Islamweb.net, fatwa no. 213121 dan laman web Dorar.net, hadis ini adalah hadis palsu yang berasal daripada kelompok Syi’ah dan haram untuk menyebarkannya kecuali untuk memaklumkan kepalsuannya kepada umat.

Untuk membaca tentang sifat Neraka yang sahih, silakan untuk merujuk kitab-kitab muktabar disisi Ahli Sunnah Wa Jama'ah seperti kitab Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Riyadh ash-Shalihin. 


 
Saya sendiri ada menyusun hadis-hadis yang shahih tentang neraka dalam buku saya, Sahih Fadail A'mal yang diterbitkan oleh Karya Bestari. Dialu-alukan untuk merujuknya.

Wallahu a’lam.









Tiada ulasan: