HADIS POPULAR YASIN HATI AL-QURAN (PALSU)


Dikatakan riwayat ini datang daripada lima sahabat Nabi s.a.w.

PERTAMA: Anas bin Malik r.a.

Ia diriwayatkan dengan sanadnya daripada Humaid bin Abdurrahman daripada al-Hasan bin Shaleh, daripada Harun Abu Muhammad, daripada Muqatil bin Hayyan daripada Qatadah, daripada Anas bin Malik r.a. secara marfu’. (Sunan at-Tirmidzi, 10/121, Sunan ad-Darimi, 2/548, Musnad asy-Syihab, 2/130)

Abu Hatim ditanya oleh anaknya tentang hadis ini, lalu beliau menjawab, Muqatil dalam sanad hadis tersebut adalah Muqatil bin Sulaiman dan hadisnya adalah bathil, tiada asalnya. (Illal al-Hadis, 2/56)

Menurut Abu Hatim, beliau telah melihat hadis ini dalam kitab yang telah dipalsukan oleh Muqatil bin Sulaiman. Malah Muqatil bin Sulaiman pernah bertemu dengan Qatadah.

Pada sanadnya juga terdapat Harun Abu Muhammad. Beliau seorang yang majhul. Saya katakan, ada pun menukar nama Muqatil bin Sulaiman kepada Muqatil bin Hayyan dalam sanad ini adalah angkara Harun Abu Muhammad.

Adz-Dzahabi menuduhnya berdusta disebabkan hadis ini. (Mizan al-I’tidal, 4/288)

KEDUA: Abu Bakr ash-Shiddiq r.a.

Ini berdasarkan kata-kata at-Tirmidzi. Namun apa yang jelas, tidak ditemui hadis daripada Abu Bakr ash-Shiddiq r.a. tentang Yasin hati al-Quran. Saya kira, yang dimaksudkan at-Tirmidzi sebenarnya adalah hadis tentang fadhilat Surah Yasin ada juga diriwayatkan daripada Abu Bakr ash-Shiddiq r.a. tanpa memaksudkan ia berkaitan Yasin hati al-Quran. (Sunan at-Tirmidzi, 10/121)

Ini kerana sememangnya wujud hadis lain berkaitan fadhilat Yasin daripada Abu Bakr ash-Shiddiq r.a. secara marfu'. Ia dimuatkan dalam adh-Dhu’afa al-Kabir oleh al-Uqaili dan ia berdarjat munkar. (Adh-Dhu’afa al-Kabir, 2/143)

Wallahu a’lam.

KETIGA: Ibnu Abbas r.a.

Ia diriwayatkan secara muallaq, daripada adh-Dhahhak daripada Ibnu Abbas r.anhuma secara marfu’. Tidak diketahui sanadnya yang bersambung secara lengkap. (Tafsir al-Mawardi, 5/35)

Kerana ia muallaq, tidak dapat dipastikan siapa meriwayatkan hadis ini daripada adh-Dhahhak. Namun ada kemungkinan besar ia adalah Nahsyal bin Sa’id dan Juwaibir bin Sa’id al-Azdi, ini kerana dua perawi itu banyak sangat menyandarkan hadis kepada adh-Dhahhak.

Nahsyal bin Sa’id perawi matruk. Malah Ishaq bin Rahuyah mengatakan Nahsyal berdusta. Abu Sa’id an-Naqasy menyatakan dia meriwayatkan hadis-hadis palsu daripada adh-Dhahhak. (Ikmal Tahdzib al-Kamal, 12/87)

Manakala Juwaibir bin Sa’id al-Azdi adalah dhaif jiddan. Beliau meriwayatkan hadis-hadis munkar daripada adh-Dhahhak. (Tahdzib al-Kamal, 5/167)

Apa pun, disebabkan sanad hadis ini dinyatakan secara muallaq dan tidak ada sanadnya yang muttashil langsung, maka riwayat ini tidak bernilai. Wallahu a’lam.

KEEMPAT: Ubay Bin Ka’ab r.a.

Hadis ini diriwayatkan dengan sanadnya daripada Makhlad bin Abdul Wahid daripada Ali bin Zaid bin Jud’an dan Atha’ bin Abu Maimunah daripada Zir bin Hubasy daripada Ubay bin Ka’ab r.a. secara marfu’. (Musnad asy-Syihab, 2/130)

Pada sanadnya Makhlad bin Abdul Wahid. Berkata Ibnu Hibban, “Munkar al-Hadis jiddan.” Menurut adz-Dzahabi, ia adalah hadis yang bathil. (Mizan al-I’tidal, 4/83)

KELIMA: Abu Hurairah r.a.
Ia diriwayatkan dalam Kasyf al-Astar dengan sanadnya daripada Zaid daripada Humaid daripada Atha’ daripada Abu Hurairah r.a. secara marfu’. (Kasyf al-Astar, 3/87)

Tidak diketahui hadis ini daripada Abu Hurairah r.a. kecuali daripada Zaid daripada Humaid al-Makki. Humaid al-Makki, tiada meriwayatkan daripadanya kecuali Zaid. (Tahdzib al-Kamal, 7/415)

Humaid al-Makki adalah Majhul al-Ain. Sanad ini munkar. Wallahu a'lam.

KESIMPULAN.

Jelas kepada kita, semua sanad hadis ini tidak terlepas daripada sebarang kritikan. Semua sanadnya bermasalah. Manakala daripada sudut matan, ia bathil, seperti mana saat ditanyakan hadis ini daripada jalur Anas bin Malik r.a. secara marfu’, berkata Ahmad bin Hanbal, “Ini adalah ucapan yang mawdhu’.” Beliau menyatakan tentang ucapan Yasin adalah hati al-Quran itu adalah mawdhu’. (Al-Muntakhab Min al-Illal, hal. 97)

Kesimpulan, sanad-sanad Yasin hati al-Quran ini adalah munkar, dhaif jiddan, dan matannya adalah mawdhu' seperti mana kata Ahmad bin Hanbal. Wallahu a'lam.





Tiada ulasan: