KISAH 7 MALAIKAT PENJAGA PINTU-PINTU LANGIT (HADIS PALSU)






 (Sumber gambar: Goodguy)

Abdullah bin Mubarak telah meriwayatkankan di dalam bukunya dengan sanad beliau daripada seorang lelaki iaitu Khalid bin Maadan yang pernah berkata kepada Muaz:

قلت يا معاذ! حدثنى حديثا سمعته من رسول الله صلى الله عليه وسلم

“Wahai Muaz! Khabarkanlah kepadaku sebuah hadis yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah.”

Lalu Muaz menangis sehingga aku sangka dia tidak dapat berhenti tetapi akhirnya Muaz berhenti daripada tangisannya lalu berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW pernah berkata kepadaku,

يا معاذ! حدثك حديثا إن حفظته نفعك عيشك، وإن سمعته ولم تحفظه انقطعت حجتك عند الله في يوم القيامة.

“Wahai Muaz! Sebenarnya aku mahu ceritakan kepada kamu sebuah hadis jikalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberi manfaat kepada engkau di sisi Allah tetapi jika engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujahmu di hadapan Allah pada hari qiyamat nanti.”

“Wahai Muaz! Sesungguhnya Allah telah menjadikan tujuh malaikat sebelum ia menciptakan langit dan bumi lalu ditentukannya pada setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu langit tersebut. Lalu naiklah malaikat Hafazhah yang bertugas membawa amalan seseorang hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Amalan tersebut mempunyai cahaya bagaikan cahaya matahari, sehingga apabila malaikat Hafazhah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit pertama. Mereka menganggap bahawa amalan itu baik dan sangat banyak, lalu berkata malaikat penjaga langit pertama itu kepada malaikat Hafazhah:

“Pukulkan amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain melalui aku untuk terus naik ke atas.”

Kemudian datang pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak (malaikat itu berjaya melintasi langit yang pertama kerana orang yang mengerjakan amalan tersebut tidak terlibat dengan dosa mengumpat orang) sehingga mereka sampai ke langit yang kedua lalu berkata malaikat penjaga langit yang kedua itu,

“Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini ke muka orang yang mengerjakanya kerana ia meniatkan amalannya untuk mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku untuk terus naik ke atas. Selain daripada itu ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan. Akulah malaikat penjaga kebesaran.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, sembahyang dan puasa. Para malaikat Hafazhah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu (melintasi langit yang pertama dan kedua) sehingga sampai ke pintu langit yan ketiga maka malaikat penjaga langit ketiga berkata:

“Berhenti kamu di sini dan pukulkan amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takbur. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takbur dapat melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang ramai.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba. Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip. Baginya suara tasbih, sembahyang, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazhah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke pintu langit yang keempat maka malaikat penjaga langit keempat berkata:

“Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat ‘ujub (hairan diri). Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang ‘ujub (hairan diri) dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan perasaan ‘ujub (hairan diri) terhadap dirinya.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amal seseorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima. Amalan itu seolah-olah pengantin yang dihantar ke rumah suaminya – amalan itu berseri-seri – lalu berkata malaikat penjaga langit yang kelima:

“Berhenti kamu dan pukulkan dengan amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya dan campakkannya ke atas lehernya. Akulah malaikat hasad dengki, ia sangat hasad dengki kepada orang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya. Ia menghasut orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam ibadat, ia juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang hasad dengki ini melintasi aku.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada sembahyang, zakat, umrah, jihad dan puasa. Malaikat Hafazhah berjaya membawa amalannya sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata penjaga langit tersebut malaikat:

“Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya kerana ia tidak mempunyai belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang terkena bala dan kesusahan. Bahkan, ia merasa gembira dengannya. Akulah malaikat rahmat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang seperti ini melintasi aku.”

Kemudian naiklah pula malaikat Hafazhah membawa amalan seseorang hamba. Amalan itu sembahyang, puasa, nafkah, jihad dan warak. Baginya bunyi – zikir – seperti bunyi lebah dan cahayanya seperti cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu 3 ribu malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit yang ketujuh. Maka malaikat penjaga pintu langit berkata,

“Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini ke muka orang yang mengerjakannya. Bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat zikir – penilaian amalan seorang yang beramal dengan tujuan supaya disebut-sebut oleh orang lain. Aku akan menghalang amalan orang riak daripada sampai kepada Tuhanku. Ia beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi hanya bertujuan supaya mendapat tempat yang tinggi di hati para fuqaha dan supaya disebut di kalangan para ulama dan supaya masyhur namanya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riak itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riak dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riak.”

Kemudian naik pula malaikat Hafazhah dengan amalan seseorang hamba. Amalan itu berupa sembahyang, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam daripada perkara yang tidak berguna dan banyak berzikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para malaikat itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah berkata kepada para malaikatNya:

“Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan sebenarnya Aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya. Ia sebenarnya tidak mengkehendaki Aku dengan amalan tersebut. Ia hanya mengkehendaki sesuatu yang lain daripadaKu. Oleh itu, maka Aku turunkan ke atasnya laknatKu.”

Lalu para malaikat tadi berkata, “Ke atasnya laknatMu dan juga laknat kami.”

Lalu dia dilaknat oleh tujuh petala langit dan seisinya. Mendengar ucapan Rasulullah SAW itu, lalu Muaz menangis seraya berkata, “Engkau adalah Rasulullah SAW sedangkan aku adalah Muaz – hanya seorang hamba Allah yang bukan rasul. Maka, bagaimana aku dapat selamat dan sejahtera?”

Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Hendaklah engkau mengikuti aku walaupun hanya dengan amalan yang sedikit. Wahai Muaz jaga lidahmu baik-baik daripada mencela saudaramu yang membaca al-Quran (golongan ulama) dan pertanggungkanlah segala dosamu ke atasmu dan jangan engkau mempertanggungkan dosamu ke atas mereka dan jangan engkau menganggap dirimu bersih dan jangan pula engkau mencela orang lain dan jangan engkau memuji dirimu di hadapan mereka.”

“Dan jangan engkau campurkan urusan dunia di dalam urusan akhirat. Dan jangan engkau menyombong diri di dalam majlis, nanti orang ramai akan takut kepadamu kerana kejahatanmu dan jangan engkau berbisik kepada seseorang sedangkan seorang lagi ada di sisimu dan jangan engkau membesarkan dirimu, maka akan terputus daripadamu segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Dan jangan engkau membuat manusia berpecah-belah, nanti engkau dicarik-carik oleh anjing-anjing api neraka pada hari qiyamat nanti.

Allah berkata, “Demi yang mencarik dan dicarikkan.” (Surah an-Nazi’at: 2) “Apakah engkau tahu wahai Muaz, siapakah mereka yang mencarik itu?”

Muaz bertanya, “Wahai Rasulullah, sebenarnya siapa mereka?”

Lalu Nabi SAW menjawab, “Itulah anjing-anjing garang di dalam api neraka yang akan mencarikkan daging sehingga sampai ke tulang.”

Muaz bertanya, “Wahai Rasulullah SAW siapakah yang mampu melaksanakan segala perkara yang engkau sebutkan tadi? Dan siapakah yang akan selamat daripada seksaan itu?”

Nabi SAW menjawab, “Ia sebenarnya mudah bagi orang yang dimudahkan oleh Allah.” Kemudian lalu Khalid bin Ma’dan berkata, “Maka aku tidak pernah melihat seseorang yang banyak membaca al-Quran al-Karim lebih daripada Muaz kerana beliau faham terhadap hadis yang besar ini.”

PENILAIAN.

Hadis ini diriwayatkan daripada Mu’adz bin Jabal melalui dua jalur periwayatan. Manakala terdapat sebuah riwayat daripada Ali bin Abi Thalib yang mirip hadis ini melalui satu jalur periwayatan sahaja.

RIWAYAT DARIPADA MU’ADZ BIN JABAL.

PERTAMA: Daripada Umar bin Sa’id bin Syaiban daripada al-Qasim bin Abdullah al-Makfuf daripada Salam bin al-Khawwash daripada Ibnu Uyainah daripada Tsaur, memberitahu kepada kami Ibnu Nashir, memberitahu kepada kami Abu al-Ghanaim Muhammad bin Ali an-Narsi, memberitahu kepada kami al-Husan binal-Arzami, menceritakan kepada kami Ahmad bin Ali al-Marhubi, menceritakan kepada kami al-Hasan bin Mihran al-Asbahani, memberitahu kepada kami Ahmad bin al-Haitsam yang merupakan Qadhi Tharsus daripada Abdul Wahid bin Zaid daripada Tsaur bin Yazid daripada Khalid bin Ma’dan daripada Muaz bin Jabal r.a. secara marfu’. (Al-Majruhin, 2/214)

Berkata Ibnu Hibban, “Aku tidak tahu yang bertanggungjawab ke atas riwayat ini sama ada al-Qashim (bin al-Makhfuf) atau Sallam al-Khawwash. Hanya saja aku tidak ragu, bahawa Ibnu Uyainah tidak meriwayatkan hadis ini sama sekali di dunia ini. Kisah ini terkenal milik Ahmad bin Abdullah al-Juwaibari daripada Yahya bin Sulaiman al-Ifriqi daripada Tsaur bin Yazid, dan Abdullah bin Wahhab al-Fasawi telah mencurinya lalu ia meriwayatkan daripada Muhammad bin al-Qashim al-Asadi daripada Tsaur bin Yazid, seperti yang dikhabarkan kepadaku oleh Muhammad bin Abdul Aziz bin Ismail di Nasa. Beliau berkata, menceritakan kepadaku Abdullah bin Wahhab al-Fasawi.” (Al-Majruhin, 2/215)

KEDUA: Daripada Muhammad bin Sa’id al-Harawi, menceritakan kepada kami Ishaq bin Najih, menceritakan kepada kami Abdul Aziz bin Umar bin Abdul Aziz daripada Tsaur bin Yazid daripada Khalid bin Ma’dan daripada Mu’adz bin Jabal r.a. secara marfu’. (Al-Mawdhu’at, 3/154, al-Laali al-Mashnu’at, 2/281)

Pada sanad ini Ishaq bin Najih. Berkata Ahmad, “Beliau adalah antara orang yang paling kuat berdusta.” Berkata Yahya bin Ma’in, “Dikenali dengan pembohongan dan pemalsuan hadis.” Berkata ad-Daraquthni, “Matruk.” (Mizan al-I’tidal, 1/200)

Ibnu al-Jauzi saat memaparkan hadis ini menyatakan dalam al-Mawdhu’at menyatakan ada jalur lain, namun padanya perawi yang tidak ada nilai riwayatnya, matruk dan juga perawi-perawi yang majhul. (Al-Mawdhu’at, 3/161)

RIWAYAT DARIPADA ALI BIN ABI THALIB.

Riwayat daripada Ali bin Abi Thalib ini mirip dengan hadis di atas dan ia dinyatakan oleh Ibnu Adiy, lalu dinukilkan oleh as-Suyuti dengan sanadnya dalam al-Laali al-Mashnu’at.

Sanadnya adalah daripada Ummu Kaltsum binti Ibrahim al-Nukrabayah, menceritakan kepada kami Abu Ja’far Muhammad bin Ja’far al-Bashri, menceritakan kepada kami Muhammad bin Ahmad ash-Shufi, menceritakan kepada kami Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya daripada datuknya al-Husain bin Ali daripada ayahnya, Ali bin Abi Thalib secara marfu’. (Al-Laali al-Mashnu’at, 2/284)

Berkata as-Suyuti mengenai hadis ini, “Palsu. Padanya perawi-perawi majhul yang tidak dikenali dan pada isnadnya al-Qashim bin Ibrahim, beliau selalu menyampaikan hadis yang tiada asalnya.” (Al-Laali al-Mashnu’at, 2/286)

Asy-Syaukani menukilkan penilaian al-Mundziri dalam Tanzih asy-Syariah, bahawa hadis ini telah direka-reka daripada segi jalur periwayatannya dan lafaznya. (At-Targhib wa at-Tarhib, 1/76, Tanzih asy-Syari’ah 2/254)

Kesimpulannya, hadis mengenai kisah 7 malaikat penjaga pintu langit ini adalah (mawdhu') palsu atau direka-reka. Sayangnya hadis ini cukup popular dan tersebar secara meluas di internet, televisyen dan juga buku-buku di pasaran.



Suhili Nain,

Ahad, 04 Jun 2017.

Kota Kinabalu, Sabah.

Tiada ulasan: