Memaparkan catatan dengan label Aqidah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aqidah. Papar semua catatan

HADIS KELEBIHAN AKAL



 
Dalam sebuah kitab karangan Ustman bin Hasan bin Ahmad asy-Syaakir al-Khaubawiyi, yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan akal, maka Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Wahai akal mengadaplah engkau.” Maka akal pun menghadap kehadapan Allah SWT, kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai akal berbaliklah engkau!”, lalu akal pun berbalik. Kemudian Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: “Wahai akal! Siapakah aku?”, lalu akal pun berkata, “Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah.” Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau.”

DARJAT HADIS: MAWDHU’.

Daripada segi teks hadis, ia mirip dengan  satu hadis yang dimuatkan dalam al-Maqasid al-Hasanah dan telah sepakat para ilmuan hadis menilainya palsu. (Al-Maqasid Al-Hasanah, hadisno. 230)
               Berkata Abu Hatim al-Busti yang dikenali dengan Ibn Hibban, “Tiada ada hadis yang sahih daripada Nabi SAW mengenai (kelebihan) akal.” (Al-Mughni an Al-Hifzi wa Al-Kitab, Hal. 21)
            Berkata Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, “Hadis-hadis tentang (kelebihan) akal, seluruhnya adalah dusta.” (Al-Manar al-Munif Fii ash-Shahih wa adh-Dhaif, hal. 60)
               Meskipun tiada hadis yang sahih berkenaan kelebihan akal, di dalam Islam akal tetap mempunyai kedudukan yang tinggi. Di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang menyeru manusia agar berfikir.

(Sumber imej: thinkingorganized)

 
                             

GEMPA DAHSYAT MENJELANG KIAMAT!




Nota: gambar sekadar hiasan. Tiada kaitan dengan gempa bumi yang berlaku di Sabah. Bayangkan, belum berlakunya gempa dahsyat menjelang kiamat, keadaan bumi dan manusia sudah begitu teruk. Bagaimana pula sekiranya gempa dahsyat menjelang kiamat berlaku? Situasinya pasti lebih dahsyat dan amat teruk ketika itu sehingga sukar dibayangkan.


Di antara nama Hari Kiamat adalah az-Zalzalah yang bermaksud gegaran atau gempa.

Di dalam al-Quran terdapat sebuah surah yang bernama az-Zalzalah, surah ke-99.

MAKNA SURAH AZ-ZALZALAH:

[1] Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya.

[2] Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya.

[3] Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun), "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?"

[4] Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya:

[5] Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).

[6] Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.

[7] Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam catatan amalnya)!

[8] Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam catatan amalnya)!

CATATAN:

Ketika berlaku gempa di Sabah, terdapat suara-suara pelik mengatakan bahawa gegaran gempa itu adalah disebabkan peristiwa pelancong berbogel di antara Gunung Kinabalu. Mereka beranggapan, perbuatan itu menyebabkan semangat gunung murka lalu berlakunya gempa bumi. 

Berdasarkan al-Quran, jelas kata-kata sedemikian adalah pendapat khurafat dan tidak berasas. Berlakunya gempa adalah dengan kehendak Allah ta'ala. Dia yang menciptakan langit dan bumi dan Dia yang berkuasa ke atas langit dan bumi. Tiada yang berkuasa mentadbir alam ini melainkan Allah ta'ala jua.


MAHUKAH ANDA TAHU LEBIH BANYAK TENTANG HARI KIAMAT?






PERKARA YANG BUAT MALAIKAT MAUT KETAWA, MENANGIS & TERKEJUT? (TIDAK SHAHIH)



سأل الله تعالى ملك الموت ألم تبك مرة وأنت تقبض روح بني آدم؟ فأجابه ضحكت مرة وبكيت مرة وفزعت مرة، فقال الله تعالى: وما الذي أضحكك؟ فقال: كنت أستعد لأقبض رجلا وجدته يقول لصانع أحذية أتقن صنع الحذاء ليكفي من اللبس سنة، فضحكت وقبضته قبل أن يلبسه، فقال له الله: وما أبكاك؟ فقال: بكيت عندما أمرتني أن أقبض روح امرأة وذهبت إليها وهي في صحراء جرداء وكانت تضع مولودها، فانتظرت حتى وضعت طفلها في الصحراء الجرداء وقبضتها وأنا أبكي لصراخ طفلها وحيدا دون أن يدرى به أحد فقال له الله: وما الذي أفزعك؟ فقال: فزعت عندما أمرتني أن أقبض روح رجل عالم من علمائك وجدت نورا يخرج من غرفته كلما اقتربت من غرفته فج النور ليرجعني وفزعت من نوره وأنا أقبضه، فقال له الله: أتدري من هو الرجل؟ إنه ذاك الطفل الذي قبضت أمه وتركته في الصحراء تكفلت به ولم أتركه لأحد

Allah ta’ala bertanya kepada malaikat maut: “Apakah kamu pernah menangis ketika kamu mencabut nyawa anak cucu Adam?” Maka Malaikat pun menjawab: “Aku pernah tertawa, pernah juga menangis, dan pernah juga terkejut.”

Allah ta’ala bertanya: “Apa yang membuatmu tertawa?” Malaikat mau menjawab: “Ketika aku bersiap-siap untuk mencabut nyawa seseorang, aku melihatnya berkata kepada pembuat sepatu, “Buatlah sepatu sebaik mungkin supaya dapat dipakai selama setahun.” Aku tertawa kerana belum sempat orang tersebut memakai sepatu dia sudah aku cabut nyawanya.”

Allah ta’ala lalu bertanya: “Apa yang membuatmu menangis?” Maka malaikat menjawab: “Aku menangis ketika hendak mencabut nyawa seorang wanita hamil di tengah padang pasir yang tandus, dan hendak bersalin. Maka aku menunggunya sampai bayinya lahir di gurun tersebut. Lantas aku cabut nyawa wanita itu sambil menangis kerana mendengar tangisan bayi tersebut kerana tidak ada seorang pun yang mengetahui hal itu.”

Allah ta’ala lalu bertanya: “Lalu apa yang membuatmu terkejut?” Malaikat maut menjawab: “Aku terkejut ketika hendak mencabut nyawa salah seorang ulama-Mu. Aku melihat cahaya terang benderang keluar dari kamarnya, setiap kali aku mendekatinya cahaya itu semakin menyilaukanku seolah ingin mengusirku, lalu kucabut nyawanya disertai cahaya tersebut.”

Allah ta’ala bertanya lagi: “Apakah kamu tahu siapa lelaki itu?” Malaikat maut menjawab, “Tidak tahu, ya Allah.” Allah ta’ala berkata: “Sesungguhnya lelaki itu adalah bayi dari ibu yang kau cabut nyawanya di gurun pasir gersang itu. Akulah yang menjaganya dan tidak membiarkannya.”

PENILAIAN:

Kisah ini tersebar secara meluas di internet.



Berdasarkan Fatwa Islamweb no. 174423, bertarikh 4 Rabi'ul Akhir 1433 Hijriah bersamaan 27 Ferbruari 2012, kisah ghaib di atas ini tidak ada asalnya daripada ayat al-Quran dan as-Sunnah. Ia adalah rekaan dan dusta terhadap agama. Wallahu a'lam.

SUMBER:





HIKMAH WUJUDNYA KIAMAT, SYURGA & NERAKA

http://galeribukuagama.blogspot.com/2015/05/ensiklopedia-kiamat.html
 
Di antara hikmah berlakunya kiamat dan hari akhirat, adalah tanda keadilan Allah s.w.t dan sebagai peringatan buat manusia agar tidak berbuat sesuka hati di atas muka bumi.

Bila manusia tahu, segala amal dan perbuatan mereka di dunia akan dibalas, maka mereka akan menjaga tingkah laku dan tidak berbuat sewenang-wenangnya.

Itulah tanda sifat kebijaksanaan Allah ta'ala.

Bayangkan, jika tiada hukuman yang disediakan di akhirat, tiada balasan atas kebaikan, dan tiada juga balasan buat keburukan. Sudah tentu dunia tidak akan aman, manusia akan menurut hawa nafsu tanpa memikirkan orang lain kerana menganggap mereka tidak akan di balas.

Saat Allah ta'ala khabarkan dia menciptakan Neraka & Syurga pun manusia ada yang ingkar dan buat maksiat, bayangkan kalau Neraka dan Syurga itu tidak wujud, tentu dunia akan lebih tidak aman dan rosak.

Wallahu a'lam.


Lawati (klik) >>> BUKU ENSIKLOPEDIA KIAMAT




MANUSIA TIDAK BOLEH MENANGKAP JIN DALAM BENTUK ASLI




Dalam masyarakat hari ini kita biasa mendengar tentang usaha menangkap jin yang dilakukan oleh orang yang mendakwa dirinya mahir dalam ilmu berkenaan. Di antara yang pernah kita dengar adalah Jin dimasukkan dalam botol. Yang pernah saya lihat sendiri, jin ditangkap dengan tangan kosong sahaja, tanpa apa-apa medium. Penangkap itu biasanya dengan menangkap jin dalam bentuk asli mereka, tanpa sebarang penjelmaan.

Jujurnya, saya benar-benar ragu dengan dakwaan-dakwaan mereka. Bagi menghilangkan keraguan itu saya merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada kita.

Berdasarkan dua rujukan tersebut, saya menjumpai perkara yang bertentangan dengan dakwaan-dakwaan orang-orang yang mengaku boleh menangkap jin.

Sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّ عِفْرِيتًا مِنْ الْجِنِّ تَفَلَّتَ عَلَيَّ الْبَارِحَةَ أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا لِيَقْطَعَ عَلَيَّ الصَّلَاةَ فَأَمْكَنَنِي اللَّهُ مِنْهُ فَأَرَدْتُ أَنْ أَرْبِطَهُ إِلَى سَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ حَتَّى تُصْبِحُوا وَتَنْظُرُوا إِلَيْهِ كُلُّكُمْ فَذَكَرْتُ قَوْلَ أَخِي سُلَيْمَانَ رَبِّ هَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي قَالَ رَوْحٌ فَرَدَّهُ خَاسِئًا

Sesungguhnya 'Ifrit dari bangsa Jin baru saja menggangguku untuk memutus solatku tetapi Allah memenangkan aku atasnya, dan aku berkehendak untuk mengikatnya di salah satu tiang masjid sampai waktu subuh sehingga tiap orang daripada kamu dapat melihatnya. Namun aku teringat ucapan saudaraku Sulaiman a.s ketika berdo'a: '(Ya Rabb, anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak akan dimiliki oleh seorangpun setelah aku) ' (QS. Shaad: 35). Rauh berkata, "Kemudian baginda mengusirnya dalan keadaan hina." (Shahih al-Bukhari, no. 461)

Berdasarkan hadis di atas ini dan ayat al-Quran, Surah Shaad: 35 yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w, perbuatan membelenggu dan menangkap jin adalah mukjizat khusus Nabi Sulaiman a.s sahaja. Bukan satu kemampuan yang dimiliki oleh manusia biasa.

Ada pun hadis shahih tentang Abu Hurairah r.a menangkap syaithan (golongan jin) yang diriwayatkan al-Bukhari  tidak boleh menjadi dalil atau hujah bahawa ada manusia boleh menangkap jin. Ini kerana yang ditangkap oleh Abu Hurairah r.a adalah syaithan yang telah menjelma, bukan bentuk hakikat, seperti yang dakwaan yang kita lihat di sekitar kita.

Bersama ini juga, ingin saya jelaskan bahawa tiada manusia yang mampu melihat jin dalam bentuk mereka yang asli. Ini berdasarkan ayat al-Quran.


إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ

“Dia (iblis) dan bala tentaranya melihat kamu dari arah yang kamu tidak dapat melihat mereka.” (Surah al-A’raf: 27)

Imam asy-Syafie pernah berkata, sesiapa yang mendakwa mampu melihat jin dalam bentuk asli mereka, maka mereka itu tidak boleh menjadi saksi dalam Islam. Justeru itu, sesiapa yang mengaku mempraktik ilmu perubatan Islam, tetapi menyatakan dirinya mampu untuk menangkap jin dan melihat mere dalam bentuk asli, maka raguilah kebenarannya.