Memaparkan catatan dengan label Bisnes.. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bisnes.. Papar semua catatan

BAGAIMANA CARANYA HANTAR BUKU KE SYARIKAT PENERBITAN?


Sejak buku PESANAN BUAT DIRI dan 35 HAFALAN TERPILIH diterbitkan dalam pasaran tempatan dan kedai buku berdekatan, bukan sekali dua saya ditanya tentang cara hantar manuskrip buku untuk diterbitkan di syarikat tempatan.

Disebabkan soalan itu biasa diajukan kepada saya, maka saya bercadang tulis artikel mengenainya agar mudah untuk dijadikan jawapan dikemudian hari.

Tulisan ini tidaklah ilmiah. Santai-santai sahaja. Panjang sedikit. Harap anda sudi membacanya sehingga habis.

Berikan saya 3 minit masa anda untuk terangkan, boleh?

Walaupun saya bukan penulis buku bestseller atau terkenal sebagai penulis, diharapkan catatan saya sebagai penulis biasa-biasa ini dapat membantu anda yang ingin buku anda diterbitkan dan berada di kedai buku tempatan.

Baiklah...

Sekiranya kita sudah mempunyai manuskrip buku atau penulisan dalam tangan, dan tercari-cari cara untuk hantar manuskrip buku kita kepada syaraikat penerbitan, ikuti langkah berikut...

Pertama, dapatkan nombor telefon syarikat penerbitan yang kita mahu terbitkan buku kita dan hubungi mereka. Daripada mana mahu dapatkan nombor telefon mereka? Cari sahaja melalui Google atau lihat pada buku yang telah diterbitkan oleh penerbit tersebut di sana kita akan temui nombor telefon syarikat tersebut..

Inilah perkara yang saya lakukan ketika berusaha dapatkan penerbit untuk buku PESANAN BUAT DIRI.

Hubungi syarikat penerbitan tersebut dan minta dihubungkan dengan unit EDITOR PEROLEHAN. Perkenalkan diri kita secara formal, jangan bercakap seperti bercakap dengan kawan biasa. Formal okey? Terus terang kepada editor perolehan tersebut yang kita berminat untuk terbitkan buku melalui syarikat mereka, tanya pada editor perolehan tersebut, apa prosedur yang diperlukan untuk menerbitkan buku kita.

Bila editor perolehan sudah maklumkan caranya, ikut sahaja cara yang sudah dimaklumkan.

Cakap tentang hubungi syarikat penerbitan, saya ingin maklumkan, sebelum kita hubungi syarikat penerbitan, pastikan kita kenal corak penerbitan sesebuah syarikat penerbitan tersebut dan pastikan manuskrip buku kita telah dihasilkan berdasarkan corak penerbitan mereka.

Saya berikan dua contoh di sini...


Di syarikat penerbitan milik PTS , mereka tidak biasa memasukkan nota kaki pada buku terbitan mereka. Tiada tulisan (s.w.t) selepas nama Allah atau (s.a.w) selepas nama Nabi Muhammad s.a.w. Malah, mereka tidak biasa memaparkan teks-teks Arab dalam buku mereka. Buku yang mereka terbitkan pula disyaratkan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

Justeru itu, sekiranya kita ingin hantar buku ke PTS, pastikan kita tidak masukkan nota kaki ke manuskrip buku kita. Jika ada, tukarkan ia kepada nota hujung atau buang sahaja terus, demikian juga perkara-perkara lain seperti saya sebutkan sebelum ini.

Gagal untuk menulis berdasarkan corak sesebuah syarikat penerbitan, mengurangkan potensi buku kita untuk diterbitkan oleh penerbit tersebut.

Oh ya, syarikat PTS ini ada banyak syarikat penerbitan, ada PTS Litera, ada PTS Islamika, PTS One dan pelbagai lagi. Hubungi syarikat PTS yang bersesuaian dengan tema buku kita.


Itu PTS. Contoh corak penerbitan di Telaga Biru pula, mereka mempunyai ketelitian daripada segi rujukan, terutamanya hadis. Syarikat Telaga Biru biasa wajibkan hadis-hadis yang dimasukkan dalam buku mereka mempunyai teks Bahasa Arab, nama perawi, nama kitab dan nombor hadis. Gagal wujudkan benda ini, buku kita berpotensi besar ditolak.

Dan tidak lupa juga, kalau kita letak takhrij hadis dalam buku, JANGAN LETAK nama SYAIKH AL-ALBANI. Pengalaman saya hantar karya 35 HADIS HAFALAN TERPILIH ke Telaga Biru, antara komen mereka, mereka tidak mahu nama Syaikh al-Albani dalam penilaian darjat hadis.

NOTA: Saya tidak Anti Syaikh Al-Albani. Beliau antara rujukan saya.

Alhamdulillah, syarikat Kemilau Publika sudi untuk terima buku 35 HADIS HAFALAN TERPILIH.


Itu 2 contoh corak penerbitan 2 buah syarikat penerbitan buku tempatan yang saya tahu. Jika tentang Karya Bestari, Jahersa, Al-Hidayah Publisher dan Kemilau Publika saya masih belum begitu arif tentangnya. Anda perlu luangkan masa dan fahami penerbit-penerbit ini dan tulis berdasarkan corak penerbitan mereka jika mahu buku anda ada potensi besar diterbitkan.

Dan satu pantang larang hantar karya, jangan hantar karya kita kepada dua atau beberapa syarikat penerbitan secara serentak. Hantar kepada satu syarikat penerbitan sahaja, okey? Bimbang nama kita blacklist kalau hantar kepada banyak syarikat secara serentak.

Selepas hantar manuskrip berdasarkan prosedur mahu buat apa lagi?

Jawapannya, tunggu maklum balas daripada syarikat penerbitan tersebut. Satu perkara kita perlu faham, jawapan kita tidak semestinya akan terima serta-merta. Ada syarikat perlu masa beberapa minggu untuk nilai karya kita barulah berikan maklum balas. Ada juga yang memakan masa berbulan!

Bila sudah lebih sebulan masih tiada jawapan daripada penerbit, cuba dapatkan maklum balas semula. Mungkin penerbit terlupa. Kalau mereka tidak terlupa, mungkin mereka tolak karya yang dihantar.

Bagaimana pula kalau karya ditolak?

Pesan saya, jangan putus asa. Jangan berhenti menulis. Jika ada ruang dan peluang, cuba tanya penerbit, mengapa mereka tolak manuskrip buku yang dihantar? Jika ada kekurangan mungkin kita boleh perbaiki untuk masa akan datang.


Jika satu penerbit tolak, cari penerbit lain. Ditolaknya sesebuah manuskrip buku, bukan penilaian mutlak, buku kita tidak bermanfaat atau tidak bagus. Penulis buku Harry Potter, berapa kali karya beliau ditolak dan diejek. Akhirnya ada juga syarikat yang terima dan bukunya menjadi antara buku bestsellers dan diterjemah kepada pelbagai bahasa.

Baiklah, rasanya itu sahaja yang ada dalam fikiran saya untuk kongsi dengan anda buat masa ini. Sekiranya anda ada soalan yang ingin ditanya, jangan ragu-ragu, silakan untuk komen di bawah.

Sekiranya ada ruang dan peluang, insya’ Allah, saya akan cuba jawab berdasarkan pengetahuan saya.


Sekian daripada saya, Suhili Nain, penulis biasa-biasa yang teringin menjadi penulis bestsellers. He3



TIP PENULISAN: PINDAH CATATAN FACEBOOK KE BLOG.



Sesiapa yang rajin menulis di Facebook, tetapi tiada blog, saya cadangkan pindahkan post-post ilmu anda daripada Facebook ke blog. Walaupun tulisan anda itu kelihatan sedikit, cuma beberapa rangkap, tetapi isinya bermanfaat.

Kelebihan blog, ia lebih teratur dan mudah untuk dicari apabila kita perlukan. Tulisan di Facebook, biasanya akan ditelan post-post baru. 'Scroll wall' untuk cari tulisan lama pula benda yang kurang seronok. Bila kita letak post-post Facebook kita ke blog, mencarinya apabila kita perlu adalah lebih mudah di kemudian hari.

Selain itu catatan di blog juga dapat diindeks oleh Google, maka ia boleh ditemui oleh orang lain, walau tulisan itu sudah lama.

Jika mahu lebih 'advance', kumpul post-post dalam Microsoft Word. Tulis elok-elok. Ada rezeki, boleh jadi buku. Tidak jadi buku besar, buku kecil pun boleh untuk tatapan generasi akan datang.





APA GUNA HIDUP JIKA TIDAK...?


Awal bagi ini menjenguk ke BRC Dot MY yang diuruskan oleh Tuan Bukhari Ramli. Seorang pakar bisnes. Niat di hati nak baca tip bisnes. Baca-baca artikel, mata saya terpaku pada satu ayat pendek. Tiba-tiba rasa seperti dilempang dan sedar daripada mamai.


Tuan Bukhari Ramli berkata:

"Apa guna hidup jika tidak buat perkara baru dan belajar ilmu baru?"

Mungkin bagi anda ayat ini biasa, tetapi bagi saya mendalam maknanya. Renung dalam-dalam seperti 'dibelasah' hati ini. OMG!

Bila cermin diri, saya nampak dengan jelas itulah punca hidup saya rasa kurang berubah.

Kurang usaha untuk belajar ilmu baru dan buat perkara baru. Asyik ilmu sama diulang-ulang dan tindakan sama diulang-ulang. Teringat kata-kata si pintar Albert Einstein: 


"Kegilaan itu adalah melakukan perbuatan yang sama berulang-ulang kali lalu mengharapkan hasil yang berbeza!"

Terkadang ada juga belajar benda baru, tetapi daripada segi praktikalnya kurang. Banyak visualisasi, kurang realisasi!

Kesimpulan untuk berjaya hari ini:

[1] Belajar ilmu baru - jangan asyik ilmu ditakuk lama.

[2] Buat benda baru - jangan biar ilmu berkarat.

Benda baru dimaksudkan adalah dalam perkara duniawi. Bukan benda baru dalam ibadah atau bidaah. Nanti ada pula salah faham saya suruh buat bidaah. He3