Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan

BAGAIMANA CARANYA HANTAR BUKU KE SYARIKAT PENERBITAN?


Sejak buku PESANAN BUAT DIRI dan 35 HAFALAN TERPILIH diterbitkan dalam pasaran tempatan dan kedai buku berdekatan, bukan sekali dua saya ditanya tentang cara hantar manuskrip buku untuk diterbitkan di syarikat tempatan.

Disebabkan soalan itu biasa diajukan kepada saya, maka saya bercadang tulis artikel mengenainya agar mudah untuk dijadikan jawapan dikemudian hari.

Tulisan ini tidaklah ilmiah. Santai-santai sahaja. Panjang sedikit. Harap anda sudi membacanya sehingga habis.

Berikan saya 3 minit masa anda untuk terangkan, boleh?

Walaupun saya bukan penulis buku bestseller atau terkenal sebagai penulis, diharapkan catatan saya sebagai penulis biasa-biasa ini dapat membantu anda yang ingin buku anda diterbitkan dan berada di kedai buku tempatan.

Baiklah...

Sekiranya kita sudah mempunyai manuskrip buku atau penulisan dalam tangan, dan tercari-cari cara untuk hantar manuskrip buku kita kepada syaraikat penerbitan, ikuti langkah berikut...

Pertama, dapatkan nombor telefon syarikat penerbitan yang kita mahu terbitkan buku kita dan hubungi mereka. Daripada mana mahu dapatkan nombor telefon mereka? Cari sahaja melalui Google atau lihat pada buku yang telah diterbitkan oleh penerbit tersebut di sana kita akan temui nombor telefon syarikat tersebut..

Inilah perkara yang saya lakukan ketika berusaha dapatkan penerbit untuk buku PESANAN BUAT DIRI.

Hubungi syarikat penerbitan tersebut dan minta dihubungkan dengan unit EDITOR PEROLEHAN. Perkenalkan diri kita secara formal, jangan bercakap seperti bercakap dengan kawan biasa. Formal okey? Terus terang kepada editor perolehan tersebut yang kita berminat untuk terbitkan buku melalui syarikat mereka, tanya pada editor perolehan tersebut, apa prosedur yang diperlukan untuk menerbitkan buku kita.

Bila editor perolehan sudah maklumkan caranya, ikut sahaja cara yang sudah dimaklumkan.

Cakap tentang hubungi syarikat penerbitan, saya ingin maklumkan, sebelum kita hubungi syarikat penerbitan, pastikan kita kenal corak penerbitan sesebuah syarikat penerbitan tersebut dan pastikan manuskrip buku kita telah dihasilkan berdasarkan corak penerbitan mereka.

Saya berikan dua contoh di sini...


Di syarikat penerbitan milik PTS , mereka tidak biasa memasukkan nota kaki pada buku terbitan mereka. Tiada tulisan (s.w.t) selepas nama Allah atau (s.a.w) selepas nama Nabi Muhammad s.a.w. Malah, mereka tidak biasa memaparkan teks-teks Arab dalam buku mereka. Buku yang mereka terbitkan pula disyaratkan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

Justeru itu, sekiranya kita ingin hantar buku ke PTS, pastikan kita tidak masukkan nota kaki ke manuskrip buku kita. Jika ada, tukarkan ia kepada nota hujung atau buang sahaja terus, demikian juga perkara-perkara lain seperti saya sebutkan sebelum ini.

Gagal untuk menulis berdasarkan corak sesebuah syarikat penerbitan, mengurangkan potensi buku kita untuk diterbitkan oleh penerbit tersebut.

Oh ya, syarikat PTS ini ada banyak syarikat penerbitan, ada PTS Litera, ada PTS Islamika, PTS One dan pelbagai lagi. Hubungi syarikat PTS yang bersesuaian dengan tema buku kita.


Itu PTS. Contoh corak penerbitan di Telaga Biru pula, mereka mempunyai ketelitian daripada segi rujukan, terutamanya hadis. Syarikat Telaga Biru biasa wajibkan hadis-hadis yang dimasukkan dalam buku mereka mempunyai teks Bahasa Arab, nama perawi, nama kitab dan nombor hadis. Gagal wujudkan benda ini, buku kita berpotensi besar ditolak.

Dan tidak lupa juga, kalau kita letak takhrij hadis dalam buku, JANGAN LETAK nama SYAIKH AL-ALBANI. Pengalaman saya hantar karya 35 HADIS HAFALAN TERPILIH ke Telaga Biru, antara komen mereka, mereka tidak mahu nama Syaikh al-Albani dalam penilaian darjat hadis.

NOTA: Saya tidak Anti Syaikh Al-Albani. Beliau antara rujukan saya.

Alhamdulillah, syarikat Kemilau Publika sudi untuk terima buku 35 HADIS HAFALAN TERPILIH.


Itu 2 contoh corak penerbitan 2 buah syarikat penerbitan buku tempatan yang saya tahu. Jika tentang Karya Bestari, Jahersa, Al-Hidayah Publisher dan Kemilau Publika saya masih belum begitu arif tentangnya. Anda perlu luangkan masa dan fahami penerbit-penerbit ini dan tulis berdasarkan corak penerbitan mereka jika mahu buku anda ada potensi besar diterbitkan.

Dan satu pantang larang hantar karya, jangan hantar karya kita kepada dua atau beberapa syarikat penerbitan secara serentak. Hantar kepada satu syarikat penerbitan sahaja, okey? Bimbang nama kita blacklist kalau hantar kepada banyak syarikat secara serentak.

Selepas hantar manuskrip berdasarkan prosedur mahu buat apa lagi?

Jawapannya, tunggu maklum balas daripada syarikat penerbitan tersebut. Satu perkara kita perlu faham, jawapan kita tidak semestinya akan terima serta-merta. Ada syarikat perlu masa beberapa minggu untuk nilai karya kita barulah berikan maklum balas. Ada juga yang memakan masa berbulan!

Bila sudah lebih sebulan masih tiada jawapan daripada penerbit, cuba dapatkan maklum balas semula. Mungkin penerbit terlupa. Kalau mereka tidak terlupa, mungkin mereka tolak karya yang dihantar.

Bagaimana pula kalau karya ditolak?

Pesan saya, jangan putus asa. Jangan berhenti menulis. Jika ada ruang dan peluang, cuba tanya penerbit, mengapa mereka tolak manuskrip buku yang dihantar? Jika ada kekurangan mungkin kita boleh perbaiki untuk masa akan datang.


Jika satu penerbit tolak, cari penerbit lain. Ditolaknya sesebuah manuskrip buku, bukan penilaian mutlak, buku kita tidak bermanfaat atau tidak bagus. Penulis buku Harry Potter, berapa kali karya beliau ditolak dan diejek. Akhirnya ada juga syarikat yang terima dan bukunya menjadi antara buku bestsellers dan diterjemah kepada pelbagai bahasa.

Baiklah, rasanya itu sahaja yang ada dalam fikiran saya untuk kongsi dengan anda buat masa ini. Sekiranya anda ada soalan yang ingin ditanya, jangan ragu-ragu, silakan untuk komen di bawah.

Sekiranya ada ruang dan peluang, insya’ Allah, saya akan cuba jawab berdasarkan pengetahuan saya.


Sekian daripada saya, Suhili Nain, penulis biasa-biasa yang teringin menjadi penulis bestsellers. He3



TIP PENULISAN: PINDAH CATATAN FACEBOOK KE BLOG.



Sesiapa yang rajin menulis di Facebook, tetapi tiada blog, saya cadangkan pindahkan post-post ilmu anda daripada Facebook ke blog. Walaupun tulisan anda itu kelihatan sedikit, cuma beberapa rangkap, tetapi isinya bermanfaat.

Kelebihan blog, ia lebih teratur dan mudah untuk dicari apabila kita perlukan. Tulisan di Facebook, biasanya akan ditelan post-post baru. 'Scroll wall' untuk cari tulisan lama pula benda yang kurang seronok. Bila kita letak post-post Facebook kita ke blog, mencarinya apabila kita perlu adalah lebih mudah di kemudian hari.

Selain itu catatan di blog juga dapat diindeks oleh Google, maka ia boleh ditemui oleh orang lain, walau tulisan itu sudah lama.

Jika mahu lebih 'advance', kumpul post-post dalam Microsoft Word. Tulis elok-elok. Ada rezeki, boleh jadi buku. Tidak jadi buku besar, buku kecil pun boleh untuk tatapan generasi akan datang.





SHEIKH, ANAK MUDA & HADIS


Ada sheikh sedang mengajar lalu menyebut nas hadis. Tiba-tiba ada seorang anak muda memohon izin bertanya, dia bertanya, "Sheikh hadis itu shahih tak?" Sheikh yang mengajar itu berkata, "Pertanyaan yang bagus anak muda. Beginilah sikap penuntut ilmu yang kita mahu. Teliti dalam penerimaan ilmu."

Sheikh itu menyambung, "Hadis yang saya sebutkan tadi shahih, ia diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Shahih Muslim daripada Abu Hurairah r.a.. Kalau kamu ada kitab Shahih Muslim, kamu boleh rujuk pada bahagian Iman."

Anak muda itu menjawab, "Baik ya sheikh. Jazakallahu khairan."

Begitulah sikap seorang Sheikh yang berdisipilin dalam ilmu, tinggi ilmunya dan tawadhuk. Bukannya sombong dan jawab:

"...Wahai anak muda. Sahih atau tidak, bukan dunia kamu. Kamu tidak tahu hadis, tidak hafal hadis, tidak kenal semua rijal hadis, tak talaqqi hadis, yang aku bacakan nama 'perawi' tadi, semua itu NAMA PENIAGA PASAR DI BELAKANG KITA ni. Kamu pun tidak tahu bila kamu ditipu. Dunia menapis hadis dunia ulama..."




(Entah-entah Sheikh yang bagi nama peniaga pasar di belakang itu sebenarnya tidak hafal atau tidak tahu kedudukan hadis itu, sebab itu bagi nama peniaga pasar. Mungkinkah dia berkata sedemikian kerana takut tersingkap kejahilannya tentang darjat hadis? )

Gara-gara tidak mahu bertanya darjat hadislah hadis-hadis palsu bertebaran dalam masyarakat!

Inilah penyakit sesetengah kita.

Kalau bab benda dunia, beli telefon, pakaian berjenama perhati betul-betul, takut terbeli barangan palsu atau ciplak. Beli makanan, tengok ada cap halal atau tidak. Tetapi bila masuk bab hadis, terus main telan. Tidak peduli palsu atau original hadis yang diterima.

Apakah isu palsu, ciplak dan original cuma titik berat dalam hal dunia, bila tiba perkara agama pula isu palsu letak belakang?


Bertaqwalah kepada Allah.

Kesimpulan, hati-hati terima hadis daripada orang lain. Jangan segan bertanya, "Ustaz, hadis yang ustaz sebut tadi shahih tak? Siapa ulama yang riwayatkan? Dalam kitab mana ia diriwayatkan?" 





SYAIKH GOOGLE, USTAZ FACEBOOK, MAULANA YOUTUBE







Facebook, Google dan Youtube, bukanlah guru. Ia alat dan sarana seumpama telefon.

Bila ada orang telefon asatidzah di Malaysia untuk bertanya perkara agama, adakah kita mahu kata, "Dia belajar dengan syaikh telefon!"

Saya kira, orang yang bijak tidak akan berkata sedemikian. Sebaliknya kita akan berkata, "Dia belajar dengan ustaz A, secara jarak jauh melalui telefon!"

Hakikatnya Facebook, Google, Youtube tidaklah dipanggil guru oleh orang yang mengambil ilmu daripadanya. Tetapi guru orang itu adalah orang yang menyampaikan ilmu melalui medium Facebook, Google dan Youtube. Hanya sahaja ia tidak secara formal.

Fahamilah perkara ini.

Ironinya orang yang asyik selalu sindir "Syaikh Google, Ustaz Facebook, Maulana Youtube" dan seangkatan dengannya, selalu kongsi ilmu di Facebook mereka. Perbuatan mereka seolah-olah bercanggah dengan kata-kata mereka.

(Er, tidak takutkah orang yang baca status Facebook mereka itu jadi belajar dengan Facebook?)

Apa pun, belajar secara bersemuka dengan guru tetap lebih utama. Ia lebih banyak manfaat. Cuma dalam masa yang sama janganlah menghina dan merendah-rendahkan orang lain yang belajar dengan menggunakan Facebook, Google dan Youtube sebagai medium seolah-olah tiada kebaikan yang mereka perolehi.

Kesimpulan, jaga akhlak. Jangan mudah merendah-rendahkan orang.

KEPENTINGAN ILMU FADHAIL A'MAL, TARGHIB & TARHIB.



Sepanjang saya belajar agama di pusat pengajian formal dan setelah menjadi guru agama selama 5 tahun, ada satu ilmu yang kelihatan kurang diberi tumpuan atau mungkin tercicir daripada pendidikan dan pengajian Islam, iaitu ilmu Fadhail A'mal atau ilmu Targhib dan Tarhib. Lihat dalam buku rujukan pengajian agama, sama ada peringkat rendah, menengah atau tinggi, ilmu ini cukup sedikit sekali dibahaskan.

Ilmu ini adalah ilmu yang menjelaskan ganjaran pahala dan dosa, balasan baik dan buruk bagi setiap amal atau perbuatan yang kita lakukan dalam seharian. Misalnya, bila solat 5 waktu apa kita dapat? Bila baca al-Quran 100 ayat 1 malam apa kita perolehi? Kalau bersedeqah setiap pagi apa Allah s.w.t kurnia? Kalau solat Dhuha apa ganjaran yang disediakan buat kita?

Ilmu Fadhail A'mal atau Targhib dan Tarhib ini amat penting. Ia menjadi pendorong kepada kita untuk beramal dengan ilmu yang kita ada. Terpinggirnya ilmu ini antara penyebab ramainya orang tahu hukum, tetapi malas atau tidak mahu beramal. Tahu wajib mendirikan solat 5 waktu, puasa Ramadhan, menutup aurat, melaksanakan hudud, tetapi tetap tidak mahu buat. Tahu minum arak, berzina, berjudi, mendedahkan aurat dan mencuri itu haram, tetapi tetap buat.

Ilmu Targhib dan Tarhib ini antara ilmu yang diberikan penekanan oleh Nabi s.a.w. di zaman awal Islam, fasa Makkah, hinggalah ke fasa Madinah. Baginda s.a.w. beritahu tentang Syurga, Neraka, balasan beriman dengan kalimah Tauhid, mendirikan solat 5 waktu apa kelebihannya, berjalan ke masjid pada waktu senja apa Allah s.w.t. beri, belajar 2 ayat daripada al-Quran dan bersedeqah apa ganjarannya serta banyak lagi.

Firman Allah s.w.t.:

“Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.” (Surah Fathir: 24).

Sayyidah Aisyah r.anha berkata:

“Sesungguhnya yang pertama-tama kali turun darinya (al-Quran) adalah surah al-Mufashshal (surat-surat pendek) yang di dalamnya disebutkan tentang Syurga dan Neraka. Dan ketika manusia telah condong kepada agama Islam, maka turunlah kemudian ayat-ayat tentang halal dan haram. Seandainya yang pertama kali turun adalah ayat; “Janganlah kamu minum arak” Nescaya mereka akan mengatakan; “Kami tidak akan meninggalkan meminum arak selama-lamanya.” dan sekiranya juga yang pertama kali turun adalah ayat, "Janganlah kamu berzina.” Nescaya mereka akan mengatakan, “Kami tidak akan meniggalkan zina selama-lamanya.” (Shahih Bukhari, no.4993)

Alangkah baiknya, kalau ilmu ini berjaya "ditarik" semula ke dalam pengajian Islam secara formal. Dijadikan sebuah subjek khusus untuknya dan disediakan buku teks khusus yang disusun berdasarkan ayat al-Quran dan hadis shahih, agar para pelajar terdorong untuk beramal dengan ilmu dan bukannya sekadar hiasan di lisan.

Wallahu a'lam.

PUNYA BANYAK PERKARA MUNGKAR BOLEH TEGUR, HADIS DHAIF JUGA DIKOMEN?


 
Bila saya komen tentang hadis dhaif dan mawdhu' ada orang tidak senang duduk. Macam-macam kata-kata dilontarkan kepada saya. Di antaranya mereka berkata, "Punyalah banyak benda munkar, hadis dhaif juga yang kamu mahu komen!"

Ini kata-kata saya untuk orang sebegitu:

Kalau tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua. Memberi peringatan kepada umat tentang hadis dhaif dan mawdhu' bukan, bererti kita abaikan benda mungkar lain.

Andai ingatkan umat tentang hadis dhaif dan mawdhu' itu sia-sia, sudah tentu ulama terdahulu tidak mengarang kitab himpunkan hadis dhaif dan mawdhu' semisal al-Lali' al-Mashnu'ah, al-Mawdhu'at, al-Asrar al-Marfu'ah, al-Manar al-Munif Fii ash-Shahih wa adh-Dha'if.

Ya akhi! Tugas kita ajak umat berpegang dengan ajaran yang shahih dan pasti daripada Nabi s.a.w. bukan biarkan umat hanyut dengan kisah dan hadis palsu atau bergelumang dengan hadis dhaif yang disangka shahih. Tidak timbul isu buat umat takut untuk beramal.