Memaparkan catatan dengan label Jemaah Tabligh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jemaah Tabligh. Papar semua catatan

CATATAN TERPERINCI 15 AZAB MENINGGALKAN SOLAT & SYUJA' AL-AQRA'.



Sesetengah ulama berkata bahawa diriwayatkan dalam hadis bahawa sesiapa yang menjaga solatnya, maka Allah s.w.t akan mengurniakannya lima keistimewaan, pertama akan diangkat daripadanya kesempitan hidup di dunia, kedua dia akan dihindarkan daripada azab kubur, ketiga dia akan menerima buku catatan amalnya melalui tangan kanan, keempat dia akan melintasi titian sirat sepantas kilat, dan kelima dia akan memasuk Syurga tanpa hisab.

Sesiapa yang meringan-ringankan solatnya, maka Allah s.w.t akan menyeksanya dengan lima belas seksaan. Lima seksaan di dunia, tiga seksaan ketika meninggal dunia, tiga seksaan semasa di dalam kubur dan tiga seksaan semasa dibangkitkan daripada kubur.

Seksaan semasa di dunia adalah, pertama, dicabut keberkatan umurnya, keduanya, dihapuskan tanda-tanda orang soleh daripada wajahnya, ketiga, setiap amalan yang dilakukannya tidak akan diganjari oleh Allah s.w.t, keempat doanya tidak akan diangkat ke langit (doanya tidak akan diterima), dan kelima, tidak ada bahagian baginya dalam doa orang-orang soleh.

Seksaan yang akan menimpanya ketika mati ialah, pertama dia akan mati dalam keadaan hina, kedua dia akan mati dalam keadaan lapar, dan ketiga, dia akan mati dalam keadaan dahaga sehingga jika dia diberi minum sebanyak air lautan di dunia pun tidak akan dapat menghilangkan rasa hausnya.

Seksaan yang akan menimpanya di dalam kubur ialah, pertama, kubur menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuknya berceragah antara satu sama lain, kedua, api akan dinyalakan di dalam kuburnya dan dia akan dibalik-balikkan di antara bara api siang dan malam, ketiga seekor ular yang besar bernama asy-Syuja' al-Aqra akan dilepaskan ke atasnya. Kedua-dua mata ular itu daripada api dan kuku ular itu dibuat daripada besi. Panjang setiap kuku ular itu sejauh satu hari perjalanan. Ular tersebut akan berkata-kata dengan suara yang gemuruh seumpama petir, "Aku asy-Syuja' al-Aqra. Aku diperintahkan Tuhanku supaya memukul kamu kerana kamu meninggalkan solat subuh sehingga naik matahari, kerana meninggalkan solat zuhur hingga asar, kerana meninggalkan solat asar hingga maghrib, kerana meninggalkan solat maghrib hingga isyak, kerana meninggalkan solat isyak hingga subuh." Setiap kali ular itu memukulnya, dia akan terbenam ke dalam bumi sejauh tujuh puluh hasta. Dia akan diazab berterusan di dalam kubur sehingga hari kiamat. Manakala seksaan yang akan menimpanya ketika dibangkitkan dari kubur pada hari kiamat di padang mahsyar ialah pertama, penghisabannya amat berat, kedua dia dimurkai Allah s.w.t, dan ketiga, dia akan dimasukkan ke dalam neraka.

Dalam hadis ini hanya disebutkan empat belas seksaan, tidak mencukupi bilangan lima belas, mungkin perawi terlupa. Dalam satu riwayat yang lain disebutkan bahawa mereka yang melalaikan solat, pada hari kiamat akan datang dalam keadaan muka mereka tertulis tiga baris tulisan. Pertama, wahai orang-orang yang mensia-siakan hak Allah s.w.t. Kedua, wahai orang yang pasti mendapat kemurkaan Allah s.w.t.. Ketiga, sebagaimana kamu di dunia mensia-siakan hak Allah s.w.t., kini putuslah harapan kamu daripada rahmat Allah s.w.t..


Catatan:
Hadis dengan matan ini disebutkan dalam kitab al-Kabair (hal. 23-24) karya adz-Dzahabi yang telah ditokok tambah, lalu dinukilkan oleh Syaikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi dalam kitab Fadhail al-A’mal, kitab Fadhilat Solat, bahagian 2, hadis nombor 7.
          Ada pun, berdasarkan rujukan ke atas al-Kabair karya adz-Dzahabi yang asli dan ditahqiq oleh Syaikh Muhyiddin Mistu, maka tiada disebutkan tentang hadis ini.
          Disebutkan hadis yang hampir sama, dalam Tanbil al-Ghafilin (hal. 276) karya Abu al-Laits as-Samarqandi dengan 12 seksaan sahaja.
          Riwayat 15 seksaan meninggalkan solat didatangkan dengan sanad dalam az-Ziyadat Ala al-Mawdhu’at karya as-Suyuti, at-Targhib wa at-Tarhib karya Qawwam as-Sunnah al-Asbahani dan Majalis al-Asyarah karya al-Khallal. Cuma bezanya, dalam riwayat yang datang dengan sanad, tiada disebutkan tentang ular yang bernama asy-Syuja’ al-Aqra akan menyeksa di alam kubur.
Mengkritik Matan Hadis.
Daripada matan, jelas tanda-tanda masalah hadis di atas. Pernyataan asy-Syuja’ al-Aqra akan menyeksa di alam kubur dalam hadis di atas ini bercanggah dengan hadis shahih.
Diriwayat dalam Shahih al-Bukhari (5/210) dan Shahih Muslim (5/142-143) dinyatakan bahawa ular asy-Syu’ja al-Aqra akan menyeksa mereka yang tidak menunaikan zakat, bukannya meninggalkan solat. Ia dijadikan oleh Allah s.w.t. daripada harta yang tidak dizakatkan dan akan pemiliknya pada hari qiyamat, bukan di alam kubur.
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya orang yang tidak menunaikan zakat hartanya, pada hari qiyamat kelak hartanya akan Allah menjadikan ia seumpama seekor ular (Syuja’an Aqra’) yang mempunyai dua taring yang sentiasa melilit dan mencengkamnya seraya berkata, “Aku adalah hartamu, aku adalah kekayaanmu.”
Mengkritik Riwayat Yang Datang Dengan Sanad.
·       Jalur Abu Hurairah r.a.
Pertama:
Berkata Ibnu an-Najjar dalam Tarikh Baghdad; memberitahu kepada kami Abu al-Faraj Abdul Mun'im bin Abdul Wahhab al-Harrani daripada Abi al-Ghanaim Muhammad bin Ali bin Maimun an-Nursi, menceritakan kepada kami Abu Bakr Muhammad bin Abdullah al-Mawazini, menceritakan kepada kami Abu Bakr Muhammad bin Ali al-Abbasn bin Ahmad ath-Aththar al-Baghdadi, menceritakan kepada kami Abu Bakr an-Naisaburi, mengkhabarkan kepada kami ar-Rabi' bin Sulaiman, menceritakan kepada kami Muhammad bin Idris as-Syafie daripada Malik daripada Sumay maula Abi Bakr bin Amr bin Hazm daripada Suhail bin Abi Shaleh daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda.
Az-Ziyadat Ala al-Mawdhu’at (hal. 391-392), karya Jalaluddin as-Suyuti.  Dikenali juga dengan judul Dzail al-Laali al-Mashnuah.
Hadis ini bathil. Pada sanadnya Muhammad bin Ali bin al-Abbas al-Aththar. Berkata adz-Dzahabi, “Beliau mereka-reka ke atas Abu Bakr bin Zayd an-Naisaburi satu hadis yang bathil tentang orang yang meninggalkan solat.” (Mizan al-I’tidal, 3/653)
·       Jalur Ali Bin Abi Thalib r.a.
Kedua:
Muhammad bin Muhammad bin Zayd al-Alwi memberitahu kepada kami, al-Hasan bin Ahmad bin Abdullah al-Muqriy, memberitahu kepada kami al-Husain bin Ahmad al-Muallim, menceritakan kepada kami Ahmad bin Ibrahim al-Ghami, menceritakan kepada kami Muhammad bin Ahmad bin Shidiq al-Asbahani, menceritakan kepada kami Ishaq bin Ibrahim as-Sarakhsi, menceritakan kepada kami Ali bin Syu’aib, menceritakan kepada kami Syu’jab bin al-Walid bin Qays, menceritakan kepada kami Abdul Wahid bin Rasyid, daripada ayahnya Rasyid bahawa beliau mendengar al-Harits daripada Ali bin Abi Thalib daripada Nabi s.a.w.
At-Targhib wa at-Tarhib Li Qawwam as-Sunnah (2/431) Berkata Abu Nu’aim, hadis ini gharib, tidak aku menulisnya kecuali daripada as-Sayyid al-Alwi.
          Abdul Wahid bin Rasyid, “Laisa biumdah.” (Mizan al-I’tidal, 4/79). Al-Harits al-A’war pula, terdapat perbahasan para nuqqad tentangnya. (As-Siyar A’lam an-Nubala, 4/152)
          Rasyid, ayah kepada Abdul Wahid dan Ahmad bin Ibrahim al-Ghami adalah Majhul. Tiada rekod biografi 2 orang ini dalam kitab para perawi.
          Ali bin Syu’aib dalam sanad ini adalah Ali bin Syu’aib bin Adiy. Terputus sanad antara beliau dengan Ishaq bin Ibrahim as-Sarkhasi. Ali bin Syu’aib wafat pada 253 Hijriah, (Tahdzib al-Kamal, 20/460-462) sedangkan Ishaq bin Ibrahim as-Sarakhsi lahir pada 352 Hijriah dan wafat pada 429 Hijriah. (Thabaqat asy-Syafi’eyyah al-Kubra, 4/264)
          Bagaimana pula Ali bin Syu’aib boleh menceritakan hadis ini kepada Ishaq bin Ibrahim as-Sarakhsi? Ini adalah satu perkara yang tidak masuk akal dan petanda jelas direka-reka.
          Berhimpunnya perawi yang dhaif, majhul dan pendustaan bersambungnya sanad, darjat riwayat ini adalah mawdhu’ (palsu).
Ketiga:
Menceritakan kepada kami Umar bin Ahmad bin Utsman al-Wa’idz rahimahullah, menceritakan kepada kami Abu al-Fadhl Ja’far bin Muhammad ash-Shandali, menceritakan kepada kami, Abu Bakr bin Zanjuyah, menceritakan kepada kami Muhammad bin Yusuf al-Firyabi daripada Sufyan ats-Tsawri, daripada Zubayd bin al-Harits al-Yamani daripada Amir asy-Sya’bi, berkata, mengkhabarkan kepada saya Abu Juhaifah dan namanya Wahb bin Abdillah daripada Ali a.s daripada Nabi s.a.w. 
Al-Majalis al-Asyarah (hal. 87) karya al-Khallal.
          Umar bin Ahmad bin Utsman yakni Ibnu Syahin, meski beliau tsiqat, beliau melakukan kesilapan. (Tarikh al-Islam az-Zahabi, 8/580).
          Berkata ad-Daraquthni: Ibnu Syahin terjatuh dalam kesilapan dan beliau tsiqat. Berkata Muhammad bin Umar ad-Dawudiy, “....dan saya melihat beliau (Ibnu Syahin) pada suatu hari duduk bersama ad-Daraquthni, beliau tidak berbicara kerana bimbang melakukan kesilapan saat kehadiran Abi al-Hasan (ad-Daraquthni).”
          Tafarrud padanya al-Firyabi daripada Sufyan ats-Tsauri.   
Saya katakan, Muhammad bin Yusuf al-Firyabi telah melakukan 150 kesilapan riwayat daripada Sufyan ats-Tsawri. (Tahdzib al-Kamal, 27/59)
Ahmad bin Hanbal yang merupakan anak murid beliau turut mengakui kesilapan riwayat al-Firyabi daripada Sufyan ats-Tsawri. Berkata Ahmad bin Hanbal, “Aku tidak melihat orang yang lebih banyak melakukan kesalahan dalam hadis ats-Tsawri berbanding al-Firyabi.” (Bahr ad-Dam, hal. 192)
Sufyan terkenal dengan murid yang mencecah ratusan orang, bagaimana tiada seorang pun daripada murid Sufyan yang lain menyokong riwayat ini? Sebagai murid, Ahmad bin Hanbal tentunya lebih arif berkenaan riwayat gurunya.
Abu Bakr bin Zanjuyah adalah guru kepada Abu Dawud, at-Tirmidzi, an-Nasaie dan Ibnu Majah. Tiada seorang pun daripada imam-imam yang 4 itu meriwayatkan hadis ini daripada beliau. Bukan itu sahaja, pada sanad ini juga tafarrudnya Zubayd daripada asy-Sya’bi, sedangkan asy-Sya’bi mempunyai murid yang cukup ramai, lebih 100 orang.
          Pentahqiq kitab Majalis al-Asyarah karya al-Khallal ini, Majdi Fathi as-Sayyid Ibrahim telah menyatakan bahawa riwayat ini adalah bathil.
Kesimpulan.
Daripada penilaian ke atas 3 riwayat yang dikemukakan, telah jelaslah kepada kita tanpa keraguan lagi, bahawa hadis berkaitan 15 seksaan meninggalkan solat adalah mawdhu’. Bukan sekadar dhaif biasa. Ia tidak boleh digunakan dalam bab fadhail amal dan tidak boleh disebarkan kecuali dengan menjelaskan kepalsuannya.
          Hadis yang 15 seksaan meninggalkan solat yang direkodkan dalam al-Kabair yang ditokok tambah dan kitab Fadhail al-A’mal pula lebih buruk keadaannya daripada hadis palsu yang bersanad di atas, kerana telah berlaku perubahan dan tambahan, malah bercanggah dengan hadis shahih.
          Wallahu a’lam.

Rujukan:


1.      Al-Kabair karya adz-Dzahabi.

2.      At-Targhib wa at-Tarhib karya al-Qawwam as-Sunnah al-Asbahani.

3.      Az-Ziyadat Ala al-Mawdhu’at karya as-Suyuti.

4.      Fadhail al-A’mal karya Maulana Zakariyya.

5.      Lisan al-Mizan karya Ibnu Hajar al-Asqalani.

6.      Mizan al-I’tidal karya adz-Dzahabi.

7.      Majalis al-Asyarah karya al-Khallal.

8.      Siyar A’lam an-Nubala karya adz-Dzahabi.

9.      Shahih al-Bukhari karya al-Bukhari.

10.  Shahih Muslim karya Muslim.

11.  Tafsir al-Quran al-Adzim karya Ibnu Katsir.

12.  Tahdzib al-Kamal karya al-Mizzi.

13.  Thabaqat asy-Syafi’eyyah al-Kubra karya Tajuddin as-Subki.

14.  Tarikh al-Islam karya adz-Dzahabi.

15.  Tanbih al-Ghafilin karya Abu al-Laits as-Samarqandi.

16.  Web Multaqa Ahl al-Hadeeth.

KRITIKAN KE ATAS TAHQIQ AL-MAQAL FII TAKHRIJ AHADIS FADHAIL AL-A’MAL






Ketika saya mengkritik Fadhail al-A’mal karya Syaikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi, terdapat banyak tentangan daripada mereka yang mengagungkan kitab Fadhail al-A’mal tersebut.

Ada yang menyuruh saya pergi ke Markas Jamaah Tabligh di Sri Petaling dan ada juga yang screenshot kitab-kitab Arab untuk tatapan saya.

Dikatakan kepada saya bahawa terdapat satu kitab yang membela Fadhail al-A’mal. Kitab tersebut berjudul Tahqiq al-Maqal Fii Takhrij Ahadis Fadhail al-A’mal karya Syaikh Latif ar-Rahman al-Bahraji al-Qashimi.

Para pembela Fadhail al-A’mal kelihatannya cukup berbangga dengan kitab tersebut. Alhamdulillah, seseorang di antara mereka yang baik hati telah menghadiahkan kepada saya photocopy kitab tersebut dan saya telah menerimanya dengan selamat.

Saya telah menelaah kitab tersebut dan berpendapat pembelaan Tahqiq al-Maqal Fii Takhrij Ahadis Fadhail al-A’mal ke atas Fadhail al-A’mal tidaklah mencukupi dan kurang adil. Contohnya, hadis yang telah jelas palsuannya, hanya dinilai dhaif yang biasa oleh Syaikh Latif ar-Rahman dan tersilap dalam penilaian.

Kesilapan Dalam Menukil dan Menilai Hadis.

Berkata Syaikh Latif ar-Rahman al-Bahraji al-Qashimi pada halaman 316:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن الله عز وجل عتقاء في كل يوم وليلة لكل عبد منهم دعوة مستجابة. هذا الحديث أخرجه أحمد عن أبي هريرة وأبي سعيد الخدري، قال الهيثمي: في رجال أحمد رجال الصحيح وقيل في إسناده ابان بن عياش وهو متروك.
Ertinya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla mempunyai  sejumlah hamba yang dibebaskan pada setiap waktu siang dan malam (pada bulan Ramadhan) dan bagi setiap hamba daripada kalangan mereka (orang Islam) ada doa yang mustajab.” (Berkata Syaikh Latif ar-Rahman): Hadis ini dikeluarkan oleh Ahmad daripada Abu Hurairah dan Abu Said al-Khudri, berkata al-Haitsami: Para perawi Ahmad adalah perawi ash-Shahih, dan dikatakan pada sanadnya Abbas bin Iyasy seorang yang matruk.

Ulasan:

Pada halaman 316 ini, Syaikh Latif ar-Rahman telah mendhaifkan hadis ini dengan mengatakan sanadnya terdapat perawi matruk dengan membawakan kata-kata al-Haitsami dalam Majma az-Zawaid.

Saya telah melihat Majma’ az-Zawaid (no. 17633), yang benarnya al-Haitsami tidak mendhaifkan hadis ini, beliau sekadar berkata:

رواه أحمد ورجاله رجال الصحيح

“Diriwayatkan ia oleh Ahmad dan perawi-perawinya adalah perawi ash-Shahih.”

Adapun kata-kata al-Haitsami tentang hadis yang pada sanadnya terdapat Abban bin Abi Iyasy bukanlah ditujukan pada hadis riwayat Ahmad, sebaliknya ia ditujukan kepada hadis riwayat ath-Thabarani (no. 6401)

Ath-Thabarani telah meriwayatkan hadis yang hampir sama maknanya tetapi dengan sanad yang lain lalu al-Haitsami berkomentar dalam Majma’ az-Zawaid (no. 127214):

رواه الطبراني في الأوسط وفيه أبان بن أبي عياش وهو متروك
“Diriwayatkan ia oleh ath-Thabarani dalam al-Awsath dan padanya Abban bin Abi Ayyasy dan beliau seorang yang matruk.”

Berikut adalah sanad dalam Musnad Ahmad (no. 7450):

حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَوْ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ هُوَ شَكَّ يَعْنِي الْأَعْمَشَ
Menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah, menceritakan kepada kami al-A’masy daripada Abi Shaleh daripada Abu Hurairah atau daripada Abu Said al-Khudriy (beliau ragu-ragu yakni al-A’masy).

Lihatlah, dalam sanad ini tidak ada perawi matruk bernama Abbas bin ِAbi Ayyasy.

Kesimpulannya, Syaikh Latif ar-Rahman al-Bahraji telah tersilap mendhaifkan hadis riwayat Ahmad. Hadis riwayat Ahmad adalah shahih sanadnya, demikian menurut Syu’aib al-Arnauth. Dan keraguan al-A’masy terdapat sahabat yang meriwayatkan hadis ini tidak memudaratkan sanad tersebut.

Kurang Adil Dalam Menilai.

Bukti 1.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهَا قَالَ قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ شَرَفًا يَتَبَاهَوْنَ بِهِ وَإِنَّ بَهَاءَ أُمَّتِي وَشَرَفَهَا الْقُرْآنُ. (رواه ابو نعيم في الحلية)

Daripada Aisyah r.ha. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya setiap kaum itu mempunyai kemuliaan yang mereka banggakan. Dan sesungguhnya kebanggaan dan kemuliaan umatku adalah al-Qur’an.” (Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam al-Hilyah)

Hadis ini sekadar dinilai dhaif sanadnya oleh Syaikh Latif ar-Rahman al-Bahraji pada halaman 616, sedangkan pada sanadnya terdapat al-Hakam bin Abdullah al-Aili yang telah beliau nukilkan kritikan oleh Abu Hatim bahawa al-Hakam bin Abdullah al-Aili sebagai matruk dan pemalsu hadis dan Yahya bin Ma’in menilai al-Hakam sebagai “Tidak bernilai”!!!

Saya tambah: Bukan Abu Hatim sahaja mengatakan al-Hakam bin Abdullah al-Aili sebagai pemalsu hadis. Ahmad bin Hanbal turut berkata sedemikian dengan katanya: “Seluruh hadisnya adalah palsu!”

Bukti 2.

Dalam Fadhail al-A’mal terdapat hadis tentang 15 azab seksa buat orang meninggalkan solat. Hadis ini adalah mawdhu’ (palsu) menurut adz-Dzahabi dan Ibnu Hajar al-‘Asqalani, tetapi Syaikh Latif ar-Rahman telah menempuh jalan yang tidak bertepatan dengan disiplin ilmu hadis dengan cuba menaik taraf hadis tersebut sekadar dhaif biasa dan bukannya mawdhu’.


Kesimpulan: Tidak Mencukupi & Meragukan.

Daripada 3 contoh yang saya bawakan di atas ini, saya menyatakan kitab Tahqiq al-Maqal Fii Takhrij Ahadis Fadhail al-A’mal tidak memadai untuk membela Fadhail al-A’mal. Malah meragukan. Saya kira semakan-semakan yang dikemukakan oleh Syaikh Latif ar-Rahman al-Bahraji perlu diteliti dan dinilai semula.

Wallahu a’lam.