Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan

AKAN MUNCUL KEPADA KAMU SEORANG PENDUDUK SYURGA. (KEMASKINI - DHAIF)

(Sumber gambar: Peterpap)


Anas bin Malik radhiallahu 'anhu berkata:

كُنَّا جُلُوسًا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: " يَطْلُعُ عَلَيْكُمُ الْآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ " فَطَلَعَ رَجُلٌ مِنَ الْأَنْصَارِ، تَنْطِفُ لِحْيَتُهُ مِنْ وُضُوئِهِ، قَدْ تَعَلَّقَ نَعْلَيْهِ فِي يَدِهِ الشِّمَالِ، فَلَمَّا كَانَ الْغَدُ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مِثْلَ ذَلِكَ، فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ مِثْلَ الْمَرَّةِ الْأُولَى . فَلَمَّا كَانَ الْيَوْمُ الثَّالِثُ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مِثْلَ مَقَالَتِهِ أَيْضًا، فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ عَلَى مِثْلِ حَالِهِ الْأُولَى، فَلَمَّا قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَبِعَهُ عَبْدُ اللهِ بْنُ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ فَقَالَ: إِنِّي لَاحَيْتُ أَبِي فَأَقْسَمْتُ أَنْ لَا أَدْخُلَ عَلَيْهِ ثَلَاثًا، فَإِنْ رَأَيْتَ أَنْ تُؤْوِيَنِي إِلَيْكَ حَتَّى تَمْضِيَ فَعَلْتَ ؟ قَالَ: نَعَمْ

“Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam, maka baginda pun berkata : “Akan muncul dihadapan kamu sekarang seorang penduduk Syurga.” Maka munculah seseorang daripada kaum Anshar, janggutnya masih basah terkena air wudhu, sambil menggantungkan kedua sandalnya di tangan kirinya. Tatkala keesokan hari Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam mengucapkan perkataan yang sama, dan munculah orang itu lagi dengan keadaan yang sama seperti kemarin. Pada keesokan harinya lagi (hari yang ketiga) Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam juga mengucapkan perkataan yang sama dan muncul juga orang tersebut dengan keadaan yang sama pula. Ketika Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam berdiri (pergi) maka Abdullah bin 'Amr bin Al-'Aash mengikuti orang tersebut lalu berkata kepadanya: “Aku bermasalah dengan ayahku dan aku bersumpah untuk tidak masuk ke rumahnya selama tiga hari. Jika menurutmu aku boleh menginap di rumahmu hingga berlalu tiga hari? Maka orang tersebut berkata, “Silakan.”

Anas bin Malik melanjutkan penyampaian kisahnya :


وَكَانَ عَبْدُ اللهِ يُحَدِّثُ أَنَّهُ بَاتَ مَعَهُ تِلْكَ اللَّيَالِي الثَّلَاثَ، فَلَمْ يَرَهُ يَقُومُ مِنَ اللَّيْلِ شَيْئًا، غَيْرَ أَنَّهُ إِذَا تَعَارَّ وَتَقَلَّبَ عَلَى فِرَاشِهِ ذَكَرَ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَكَبَّرَ، حَتَّى يَقُومَ لِصَلَاةِ الْفَجْرِ . قَالَ عَبْدُ اللهِ: غَيْرَ أَنِّي لَمْ أَسْمَعْهُ يَقُولُ إِلَّا خَيْرًا، فَلَمَّا مَضَتِ الثَّلَاثُ لَيَالٍ وَكِدْتُ أَنْ أَحْقِرَ عَمَلَهُ، قُلْتُ: يَا عَبْدَ اللهِ إِنِّي لَمْ يَكُنْ بَيْنِي وَبَيْنَ أَبِي غَضَبٌ وَلَا هَجْرٌ ثَمَّ، وَلَكِنْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَكَ ثَلَاثَ مِرَارٍ: " يَطْلُعُ عَلَيْكُمُ الْآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ " فَطَلَعْتَ أَنْتَ الثَّلَاثَ مِرَارٍ، فَأَرَدْتُ أَنْ آوِيَ إِلَيْكَ لِأَنْظُرَ مَا عَمَلُكَ، فَأَقْتَدِيَ بِهِ، فَلَمْ أَرَكَ تَعْمَلُ كَثِيرَ عَمَلٍ، فَمَا الَّذِي بَلَغَ بِكَ مَا قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَا هُوَ إِلَّا مَا رَأَيْتَ . قَالَ: فَلَمَّا وَلَّيْتُ دَعَانِي، فَقَالَ: مَا هُوَ إِلَّا مَا رَأَيْتَ، غَيْرَ أَنِّي لَا أَجِدُ فِي نَفْسِي لِأَحَدٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ غِشًّا، وَلَا أَحْسُدُ أَحَدًا عَلَى خَيْرٍ أَعْطَاهُ اللهُ إِيَّاهُ . فَقَالَ عَبْدُ اللهِ هَذِهِ الَّتِي بَلَغَتْ بِكَ، وَهِيَ الَّتِي لَا نُطِيقُ

“Abdullah bin 'Amr bin al-'Aaash bercerita bahawa beliau telah menginap bersama orang tersebut selama tiga malam. Namun ia sama sekali tidak melihat orang tersebut mengerjakan solat (sunat) malam, hanya saja jika ia terjaga di malam hari dan berbolak-balik di tempat tidur maka dia akan berzikir kepada Allah dan bertakbir, hingga akhirnya ia bangun untuk solat fardhu subuh. Abdullah bertutur: “Hanya saja aku tidak pernah mendengarnya berucap kecuali kebaikan. Dan tatkala berlalu tiga hari – dan hampir saja aku meremehkan amalannya – maka aku pun berkata kepadanya: Wahai hamba Allah (fulan), sesungguhnya tidak ada permasalahan antara aku dan ayahku, apatah lagi boikot. Tetapi, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam berkata sebanyak tiga kali: Akan muncul sekarang di hadapan kamu seorang penduduk Syurga.” lantas engkaulah yang muncul, maka aku pun ingin menginap bersamamu untuk melihat apakah amalanmu untuk aku contohi, namun aku tidak melihatmu banyak beramal. Maka apakah yang telah menyampaikan engkau sebagaimana sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam?” Orang itu berkata: “Tidak ada kecuali amalanku yang kau lihat.” Abdullah bertutur: “Tatkala aku berpaling pergi maka dia pun memanggilku dan berkata: “Amalanku hanyalah yang engkau lihat, hanya saja aku tidak pernah menipu ke atas seorang muslim pun dan aku tidak pernah hasad kepada seorang pun atas kebaikan yang Allah berikan kepadanya.” Abdullah berkata, “Inilah amalan yang melayakkan engkau (menjadi penduduk Syurga), dan inilah yang tidak kami mampui.”

(Hadis riwayat Ahmad 20/124 no. 12697 - sanadnya sahih)

**KEMAS KINI: DARJAT DHAIF.**

Selepas saya berkongsi hadis ini di Facebook saya, Ustaz Fathi al-Sakandary telah bertanya kepada saya di Facebook, dengan katanya, "Soalan, jika benar riwayat ini sahih, bolehkah kita menipu seperti Abdullah bin Amr al-Ash dalam hadis ini?"

Pertanyaan al-Fadhil Ustaz telah menimbulkan keraguan dalam hati saya, lalu berhasrat mencari ulasan atau syarah ke atas hadis ini di laman web yang dipercayai.

Namun begitu, apa yang saya temui hadis ini telah terdapat perselisihan darjatnya. Syaikh Syu'aib al-Arnauth telah menilai sanad hadis ini sahih, namun beberapa ulama hadis sebelum beliau telah mendhaifkan hadis ini. Setelah membaca perbahasan hadis ini, saya cenderung bahawa hadis ini dhaif. Ia terputus daripada segi sanad periwayatan, manakala terdapat keganjilan pada matannya.

Hadis ini telah diriwayatkan dengan sanad daripada Ma'mar daripada az-Zuhri berkata; mengkhabarkan kepadaku Anas - iaitu dengan lafaz bahawa az-Zuhri telah mendengar hadis ini secara langsung daripada Anas. Manakala, hadis ini telah diriwayatkan dengan sanad lain dengan lafaz daripada az-Zuhri daripada Anas dan ada juga yang menyatakan terdapat perantaraan antara az-Zuhri dengan Anas bin Malik. 

Hadis ini dinilai cacat sanadnya oleh ad-Daraquthni menyatakan dalam al-Illal, bahawa az-Zuhri tidak mendengar hadis ini daripada Anas bin Malik. Yang tepatnya ia diriwayatkan dengan perantaraan perawi yang tidak disebutkan namanya. Demikian juga oleh al-Hafidz Hamzah al-Kinani, seperti yang dinukil dalam Tuhfah al-Asyraf karya al-Mizzi. Didhaifkan juga oleh al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman, Ibnu Hajar al-Asqalani dalam an-Nukat adz-Dhorof, malah al-Albani yang menilai hadis ini sahih, telah menarik balik penilaiannya dan menyatakan ia dhaif dalam at-Targhib wa at-Tarhib. Demikian juga penjelasan oleh Salim bin Aid al-Hilali dalam Ujalah ar-Raghib al-Mutamanna Fii Takhrij Kitab al-Amal al-Yaum wa al-Layla Li Ibni as-Sunni.



Sumber rujukan kemaskini: Saaid.Net

Sumber hadis dan terjemahan: Firanda.Com

MENGUTAMAKAN DUNIA, SIFAT PENGHUNI NERAKA


(Sumber gambar: Yufid.com)


وَبُرِّزَتِ الْجَحِيمُ لِمَنْ يَرَى (٣٦) فَأَمَّا مَنْ طَغَى (٣٧) وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا (٣٨) فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَى (٣٩) وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى (٤٠) فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى (٤١)

“Dan Neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya, maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya).”

“Adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, maka Sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya.”

“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.”
(Surah an-Naziat: 36-41)

Di akhirat nanti, setiap daripada kita akan mendapat balasan atas apa yang kita lakukan di dunia ini.

 

Mengutamakan Dunia, Sifat Penghuni Neraka.


Dalam bahagian ini, Allah SWT menjelaskan sifat orang yang akan mendiami Neraka yang berat seksaannya, iaitu mereka yang melampau batas dan mereka itu mengutamakan kehidupan dunia semata-mata dan membelakangi akhirat.

Yang termasuk mengutamakan dunia semata-mata itu bagaimana?

Kita sanggup bersusah payah untuk urusan dunia, bekerja siang dan malam bagi mendapatkan kesenangan hidup di dunia. Kita sanggup usaha seribu daya bagi dapatkan dunia. Sebaliknya, dalam urusan agama dan akhirat kita buat sambil lewa.

Dalam urusan agama, kita tidak berikan seribu daya usaha. Sebaliknya kita berikan seribu dalih. Kita tidak sanggup bersusah payah dan berusaha keras untuk mendapatkan Syurga di akhirat.

Apabila disuruh taat, pelbagai alasan kita beri mengapa tidak mendirikan solat, mengapa tidak menjaga aurat, batas pergaulan dan pelbagai lagi urusan agama.

Kita lebih arif tentang perkara dunia yang bersifat remeh, dalam masa yang sama kita lebih rela jahil dan kurang ilmu berkaitan agama, terutama perkara berkaitan fardhu ain. Akhirnya kita bersikap melampaui batas dengan melanggar perintah dan larangan Allah SWT.

 

Menahan Diri Menurut Hawa Nafsu, Sifat Penghuni Syurga.


Apabila tiba hari akhirat, para penghuni Syurga dijemput masuk untuk masuk ke dalam Syurga dan berbahagia selama-lamanya. Ciri mereka yang akan mendiami Syurga berdasarkan ayat ini adalah mereka yang takut kepada Allah SWT dan menahan diri daripada menuruti hawa nafsu.
   
Hawa nafsu selalu mengajak manusia kepada keburukan dan maksiat yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Sesungguhnya, menuruti hawa nafsu adalah punca utama yang akan menghantar manusia menuju ke Neraka yang menyala-nyala.
   
Daripada Anas bin Malik RA, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Syurga itu diliputi oleh perkara yang dibenci hawa nafsu, manakala Neraka itu diliputi oleh perkara yang disukai hawa nafsu.” (Shahih Muslim, no. 7308)
   
Sekiranya kita mahu menjejakkan kaki ke Syurga di akhirat, mengawal diri daripada menurut hawa nafsu untuk melakukan perkara haram dan dibenci Allah SWT adalah satu kewajipan buat diri kita.
   
Persoalannya, bagaimana mengawal diri daripada menurut hawa nafsu? Antara cara yang paling ampuh adalah mengukuh perasaan takut kepada Allah SWT, takut mendapat balasan di hari pembalasan kelak. Itu adalah umpama tali kekang yang mampu mengikat nafsu daripada berleluasa.
   
Semakin kukuh sifat takutkan Allah SWT, akan semakin kuat juga kawalan diri kita. Semakin lemah sifat takutkan Allah SWT, maka lemah juga kawalan kita terhadap diri kita sendiri.

Wallahu a’lam.


EBOOK PERCUMA: 22 PETUA MUDAH HAFAL AL-QURAN (2016)



Sebelum ini saya pernah terbitkan ebook 22 Petua Mudah Menghafal Al-Quran. Alhamdulillah, saya baru kemas kini ebook tersebut dan kini saya terbit dan edarkan semula dengan kemas kini.

Untuk dapatkan ebook ini boleh klik di bawah ini.


 Semoga ia bermanfaat buat anda.




ADA APA DENGAN AZAN?


 (Sumber gambar: IslamicInfo)


Azan diseru 5 waktu setiap hari. Ia bukan sekadar menyeru dan mengingatkan kita tentang waktu solat telah masuk. Disebalik lafaz azan 5 waktu itu ada mesej yang dapat kita hayati dan amalkan dalam hidup kita, jangan dilupa.

Pertama:
Dimulakan dengan Allah SWT. Dialah yang Maha Besar, paling agung dan paling sempurna. Apa pun jua yang kita hadapi, alami dan temui di dunia ini, semuanya tidak setanding dengan Allah SWT.

Kedua: Hendaklah kita menyembah Allah SWT. Tidak cukup sekadar kita mengakui Allah SWT itu Maha Besar, agung, sempurna dan hebat. Kita harus sujud, merendah diri kepada-Nya. Itu bukti kita benar-benar membesarkan Allah SWT.

Ketiga: Nabi Muhammad SAW adalah rasul-Nya. Baginda SAW adalah sebaik-baik manusia dan sebaik-baik contoh teladan buat kita. Ingin sembah Allah SWT, ikutlah petunjuk baginda SAW. Tiada manusia dapat meraih darjat di sisi Allah SWT, melainkan perlu mencontohi baginda SAW.

Keempat: Solat adalah perintah paling utama. Ia ibadah penting, ia adalah tunjang Islam. Solat adalah penghubung kita dengan Allah SWT. Ia sebab datangnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Bila kita tinggal solat, akan terputus hubungan kita dengan Allah SWT.

Kelima: Marilah menuju kejayaan. Manusia tidak diciptakan untuk gagal. Manusia dicipta untuk berjaya dan kita perlu usaha mencapainya. Kejayaan dunia adalah dengan memakmurkan dunia sebagai khalifah. Kejayaan akhirat, sejauh mana kita taat perintah Allah SWT dan tinggalkan larangan-Nya.

Keenam:
Diingatkan semula kepada kita tenang kebesaran Allah SWT. Apa juga yang kita rasa besar di dunia ini, sama ada kesusahan dan keperitan, kesenangan itu hanyalah benda yang kecil. Kembali kepada Allah SWT.

Ketujuh: Sekali lagi diingatkan tentang menyembah Allah SWT. Sembah Allah SWT. Hidup di dunia jangan lalai dan lupa, tujuan kita dicipta adalah agar beribadah kepada-Nya. Dan haruslah kalimah tauhid 'laa ilaaha illallah' itu menjadi pegangan sehingga akhir hidup kita.

Itu yang dapat saya fahami daripada kalimah azan secara ringkas. Saya fikir mengapa lafaznya sedemikian rupa? Ada tujuannya? Apa yang mahu disampaikan? Pastinya Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu secara sia-sia. Pasti ada mesej disebaliknya yang harus kita renungi dengan hati dan fikiran kita.




LELAKI YANG MELIHAT KE ATAS.




Lelaki dalam gambar ini bukan tidak mampu untuk naik ke atas. Dia sebenarnya ada tangga yang dengannya dia dapat naik.

Mungkin, dia tidak tahu cara menggunakan tangga itu dengan betul. Maka dia susun tangga itu sedemkian rupa.

Mungkin juga dia tidak pernah perhatikan benda bawah kaki dia, sehingga dia tidak tahu ada tangga di sana.

Mungkin juga, dia nampak, tetapi dia ragu-ragu benarkah itu tangga atau bukan, maka dia tidak menggunakannya.

Mungkin juga, dia tahu itu tangga dan dia tahu cara menggunakannya, tetapi dia malas. Dia cuma tunggu orang bantu dia dan sibuk salahkan orang lain sebab tidak bantu dia.
___________________________________________


Ada manusia tahu dirinya ada potensi untuk berjaya, tetapi tidak tahu menggunakannya, maka dia tetap di bawah.

Ada manusia tidak kenal diri, dia tidak tahu kelebihannya, maka dia tidak dapat manfaatkan kelebihan itu untuk berjaya.

Ada manusia ragu-ragu potensi dirinya, maka dia tidak gunakannya. Dia juga masih belum berjaya.

Ada manusia nampak potensi dirinya, dia tahu dia boleh berjaya, cuma sayangnya dia malas. Akhirnya dia tidak ke mana.



MERANCANG HIDUP DAN MERANCANG KEMATIAN



Dalam kita merancang kehidupan, jangan lupa untuk 'merancang kematian'. Bukan saya suruh bunuh diri.

Maksud saya adalah rancang bagaimana kita mahu mati, adakah dengan husnul khatimah atau suul khatimah?

Ini kerana akhir hidup kita itu adalah penentu kehidupan kita di alam kubur dan akhirat sana.

Ada orang kaki ibadah beberapa tahun, setelah itu dia bergelumang dengan maksiat beberapa hari, lalu dia mati dalam keadaan Allah s.w.t murka pada dia.

Ada orang kaki maksiat beberapa tahu, setelah itu dia bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, lalu dia mati dalam keadaan Allah s.w.t redha pada dia.

Persoalan, bagaimana mahu mencapai husnul khatimah atau kesudahan hidup yang baik?

Doa pada Allah s.w.t agar dia tetapkan hati kita dalam iman dan amal solat. Bila buat dosa segera bertaubat dan usaha untuk istiqamah dalam setiap amal kebaikan. Muhasabah diri setiap hari dan selalu ingat mati.

BAGAIMANA CARANYA HANTAR BUKU KE SYARIKAT PENERBITAN?


Sejak buku PESANAN BUAT DIRI dan 35 HAFALAN TERPILIH diterbitkan dalam pasaran tempatan dan kedai buku berdekatan, bukan sekali dua saya ditanya tentang cara hantar manuskrip buku untuk diterbitkan di syarikat tempatan.

Disebabkan soalan itu biasa diajukan kepada saya, maka saya bercadang tulis artikel mengenainya agar mudah untuk dijadikan jawapan dikemudian hari.

Tulisan ini tidaklah ilmiah. Santai-santai sahaja. Panjang sedikit. Harap anda sudi membacanya sehingga habis.

Berikan saya 3 minit masa anda untuk terangkan, boleh?

Walaupun saya bukan penulis buku bestseller atau terkenal sebagai penulis, diharapkan catatan saya sebagai penulis biasa-biasa ini dapat membantu anda yang ingin buku anda diterbitkan dan berada di kedai buku tempatan.

Baiklah...

Sekiranya kita sudah mempunyai manuskrip buku atau penulisan dalam tangan, dan tercari-cari cara untuk hantar manuskrip buku kita kepada syaraikat penerbitan, ikuti langkah berikut...

Pertama, dapatkan nombor telefon syarikat penerbitan yang kita mahu terbitkan buku kita dan hubungi mereka. Daripada mana mahu dapatkan nombor telefon mereka? Cari sahaja melalui Google atau lihat pada buku yang telah diterbitkan oleh penerbit tersebut di sana kita akan temui nombor telefon syarikat tersebut..

Inilah perkara yang saya lakukan ketika berusaha dapatkan penerbit untuk buku PESANAN BUAT DIRI.

Hubungi syarikat penerbitan tersebut dan minta dihubungkan dengan unit EDITOR PEROLEHAN. Perkenalkan diri kita secara formal, jangan bercakap seperti bercakap dengan kawan biasa. Formal okey? Terus terang kepada editor perolehan tersebut yang kita berminat untuk terbitkan buku melalui syarikat mereka, tanya pada editor perolehan tersebut, apa prosedur yang diperlukan untuk menerbitkan buku kita.

Bila editor perolehan sudah maklumkan caranya, ikut sahaja cara yang sudah dimaklumkan.

Cakap tentang hubungi syarikat penerbitan, saya ingin maklumkan, sebelum kita hubungi syarikat penerbitan, pastikan kita kenal corak penerbitan sesebuah syarikat penerbitan tersebut dan pastikan manuskrip buku kita telah dihasilkan berdasarkan corak penerbitan mereka.

Saya berikan dua contoh di sini...


Di syarikat penerbitan milik PTS , mereka tidak biasa memasukkan nota kaki pada buku terbitan mereka. Tiada tulisan (s.w.t) selepas nama Allah atau (s.a.w) selepas nama Nabi Muhammad s.a.w. Malah, mereka tidak biasa memaparkan teks-teks Arab dalam buku mereka. Buku yang mereka terbitkan pula disyaratkan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

Justeru itu, sekiranya kita ingin hantar buku ke PTS, pastikan kita tidak masukkan nota kaki ke manuskrip buku kita. Jika ada, tukarkan ia kepada nota hujung atau buang sahaja terus, demikian juga perkara-perkara lain seperti saya sebutkan sebelum ini.

Gagal untuk menulis berdasarkan corak sesebuah syarikat penerbitan, mengurangkan potensi buku kita untuk diterbitkan oleh penerbit tersebut.

Oh ya, syarikat PTS ini ada banyak syarikat penerbitan, ada PTS Litera, ada PTS Islamika, PTS One dan pelbagai lagi. Hubungi syarikat PTS yang bersesuaian dengan tema buku kita.


Itu PTS. Contoh corak penerbitan di Telaga Biru pula, mereka mempunyai ketelitian daripada segi rujukan, terutamanya hadis. Syarikat Telaga Biru biasa wajibkan hadis-hadis yang dimasukkan dalam buku mereka mempunyai teks Bahasa Arab, nama perawi, nama kitab dan nombor hadis. Gagal wujudkan benda ini, buku kita berpotensi besar ditolak.

Dan tidak lupa juga, kalau kita letak takhrij hadis dalam buku, JANGAN LETAK nama SYAIKH AL-ALBANI. Pengalaman saya hantar karya 35 HADIS HAFALAN TERPILIH ke Telaga Biru, antara komen mereka, mereka tidak mahu nama Syaikh al-Albani dalam penilaian darjat hadis.

NOTA: Saya tidak Anti Syaikh Al-Albani. Beliau antara rujukan saya.

Alhamdulillah, syarikat Kemilau Publika sudi untuk terima buku 35 HADIS HAFALAN TERPILIH.


Itu 2 contoh corak penerbitan 2 buah syarikat penerbitan buku tempatan yang saya tahu. Jika tentang Karya Bestari, Jahersa, Al-Hidayah Publisher dan Kemilau Publika saya masih belum begitu arif tentangnya. Anda perlu luangkan masa dan fahami penerbit-penerbit ini dan tulis berdasarkan corak penerbitan mereka jika mahu buku anda ada potensi besar diterbitkan.

Dan satu pantang larang hantar karya, jangan hantar karya kita kepada dua atau beberapa syarikat penerbitan secara serentak. Hantar kepada satu syarikat penerbitan sahaja, okey? Bimbang nama kita blacklist kalau hantar kepada banyak syarikat secara serentak.

Selepas hantar manuskrip berdasarkan prosedur mahu buat apa lagi?

Jawapannya, tunggu maklum balas daripada syarikat penerbitan tersebut. Satu perkara kita perlu faham, jawapan kita tidak semestinya akan terima serta-merta. Ada syarikat perlu masa beberapa minggu untuk nilai karya kita barulah berikan maklum balas. Ada juga yang memakan masa berbulan!

Bila sudah lebih sebulan masih tiada jawapan daripada penerbit, cuba dapatkan maklum balas semula. Mungkin penerbit terlupa. Kalau mereka tidak terlupa, mungkin mereka tolak karya yang dihantar.

Bagaimana pula kalau karya ditolak?

Pesan saya, jangan putus asa. Jangan berhenti menulis. Jika ada ruang dan peluang, cuba tanya penerbit, mengapa mereka tolak manuskrip buku yang dihantar? Jika ada kekurangan mungkin kita boleh perbaiki untuk masa akan datang.


Jika satu penerbit tolak, cari penerbit lain. Ditolaknya sesebuah manuskrip buku, bukan penilaian mutlak, buku kita tidak bermanfaat atau tidak bagus. Penulis buku Harry Potter, berapa kali karya beliau ditolak dan diejek. Akhirnya ada juga syarikat yang terima dan bukunya menjadi antara buku bestsellers dan diterjemah kepada pelbagai bahasa.

Baiklah, rasanya itu sahaja yang ada dalam fikiran saya untuk kongsi dengan anda buat masa ini. Sekiranya anda ada soalan yang ingin ditanya, jangan ragu-ragu, silakan untuk komen di bawah.

Sekiranya ada ruang dan peluang, insya’ Allah, saya akan cuba jawab berdasarkan pengetahuan saya.


Sekian daripada saya, Suhili Nain, penulis biasa-biasa yang teringin menjadi penulis bestsellers. He3



APA GUNA HIDUP JIKA TIDAK...?


Awal bagi ini menjenguk ke BRC Dot MY yang diuruskan oleh Tuan Bukhari Ramli. Seorang pakar bisnes. Niat di hati nak baca tip bisnes. Baca-baca artikel, mata saya terpaku pada satu ayat pendek. Tiba-tiba rasa seperti dilempang dan sedar daripada mamai.


Tuan Bukhari Ramli berkata:

"Apa guna hidup jika tidak buat perkara baru dan belajar ilmu baru?"

Mungkin bagi anda ayat ini biasa, tetapi bagi saya mendalam maknanya. Renung dalam-dalam seperti 'dibelasah' hati ini. OMG!

Bila cermin diri, saya nampak dengan jelas itulah punca hidup saya rasa kurang berubah.

Kurang usaha untuk belajar ilmu baru dan buat perkara baru. Asyik ilmu sama diulang-ulang dan tindakan sama diulang-ulang. Teringat kata-kata si pintar Albert Einstein: 


"Kegilaan itu adalah melakukan perbuatan yang sama berulang-ulang kali lalu mengharapkan hasil yang berbeza!"

Terkadang ada juga belajar benda baru, tetapi daripada segi praktikalnya kurang. Banyak visualisasi, kurang realisasi!

Kesimpulan untuk berjaya hari ini:

[1] Belajar ilmu baru - jangan asyik ilmu ditakuk lama.

[2] Buat benda baru - jangan biar ilmu berkarat.

Benda baru dimaksudkan adalah dalam perkara duniawi. Bukan benda baru dalam ibadah atau bidaah. Nanti ada pula salah faham saya suruh buat bidaah. He3



IBARAT SEGENGGAM KOPI



Kalau kita ambil segenggam kopi, kemudian kita masukkan ke dalam cawan berisi air dan kita bancuh, lalu kita minum pasti akan terasa amat pahit. Cuba kita ambil segenggam kopi dan kita masukkan ke dalam baldi berisi air, kemudian kita bancuh dan minum, kepahitan kopi itu tidak akan terasa.

Begitu juga masalah dan jiwa kita. Apabila kita berjiwa besar, apabila ada masalah datang, insya' ALLAH jiwa kita akan mampu bertahan dan menghadapi dengan teguh. Namun, apabila jiwa kita kecil, apabila masalah tiba kita jadi gundah-gulana, resah dan mahu mengalah.

Kuatkan jiwa dan hati dengan pergantungan kepada ALLAH, dengan mendekatkan diri kepada-NYA, sambil berusaha menyelesaikan masa yang melanda.


Baca juga >> 5 Langkah Menuju Kejayaan


5 LANGKAH MENUJU KEJAYAAN




1. Keyakinan Diri.

Yakin bahawa diri kita mampu berjaya, kerana kita adalah makhluk ALLAH yang dinyatakan sebagai sebaik-baik kejadian di alam ini. ALLAH tidak menciptakan kita dengan sia-sia, DIA telah menciptakan kita dengan potensi untuk berjaya dan hebat, bukannya untuk gagal dan melarat.

2. Tahu Apa Sebenarnya Yang Anda Mahukan.

Fahami kejayaan apa yang kita mahukan sebenarnya. Bagaimana rupa kejayaan itu? Bilakah ia mahu dicapai? Matlamat kejayaan kita perlu jelas dan memenuhi beberapa kriteria, (1) mampu dicapai, (2) dapat diukur, (3) mempunyai tempoh waktu, (4) mencabar diri, tetapi tidak mustahil dicapai.

3. Perancangan dan Strategi Yang Tepat.

Buat perancangan bagi mencapai kejayaan itu. Ketahui ilmu, skil dan kemahiran yang kita perlukan untuk mencapai kejayaan itu. Siapakah orang yang dapat membantu kita? Cari mentor atau bertanya kepada orang yang sudah berjaya dalam bidang yang kita ingin ceburi. Kenali aktiviti yang perlu ditambah, dikurangkan dan mungkin diubah dalam kehidupan kita seharian.

4. Tindakan Yang Konsisten.

Bertindak secepat mungkin. Kata orang, "Fast action, fast result!" Semakin awal kita bertolak dan pantas bertindak, semakin cepat kejayaan itu kita capai. Lambat kita bertindak, lambat juga berjaya. Lakukan tindakan dengan semangat, berlandaskan perancanga yang telah dibuat.

5. Bijak Mengubah Kegagalan Kepada Peluang.

Seandainya usaha mengalami kegagalan, perlu bersabar dan jangan berputus asa. Berani hadapi kegagalan. Gagal sekali, bukan bererti selamanya kita gagal. Muhasabah diri, koreksi apa kesilapan yang telah dilakukan sehingga menemui kegagalan. Kejayaan dan kegagalan tidak berlaku, melainkan ada punca dan penyebabnya.

Orang-orang yang telah berjaya berkata, "Kegagalan adalah peluang untuk bermula semula dengan lebih bijak!"



Lawati >> 7 Formula Individu Cemerlang


 

KISAH KANAK-KANAK & ORANG TUA PENJUAL BELON



Seorang kanak-kanak melihat seorang orang tua menjual belon. Belon yang dijualnya terapung ke langit. Melihat itu kanak-kanak tersebut membeli belon yang belum di isi apa-apa dan meniupnya sendiri. Tetapi, dia melihat belon yang ditiupnya itu tidak sedikit pun terapung ke langit. Bila dilepaskan belon kanak-kanak itu jatuh ke bumi..

Kanak-kanak ini mendekati orang tua yang menjual belon tersebut lalu bertanya, mengapa belon orang tua itu terapung ke langit dan belonnya tidak. Sedangkan ia sama sahaja. Belon.

Orang tua itu menjawab, yang membuatkan belon itu terapung ke langit, bukanlah sebab ia belon, tetapi disebabkan udara yang di isi ke dalamnya. Orang tua itu mengisi belon dengan gas helium, sedangkan kanak-kanak itu mengisi belon dengan karbon dioksida.

Begitulah juga dengan manusia. Berjaya atau tidaknya kita, bukan ditentukan oleh luaran kita, tetapi ditentukan oleh dalaman kita. Minda dan hati kita. Apa yang kita isi di dalamnya, adakah sesuatu yang berkualiti atau pun tidak?