Memaparkan catatan dengan label Peringatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Peringatan. Papar semua catatan

ADA APA DENGAN AZAN?


 (Sumber gambar: IslamicInfo)


Azan diseru 5 waktu setiap hari. Ia bukan sekadar menyeru dan mengingatkan kita tentang waktu solat telah masuk. Disebalik lafaz azan 5 waktu itu ada mesej yang dapat kita hayati dan amalkan dalam hidup kita, jangan dilupa.

Pertama:
Dimulakan dengan Allah SWT. Dialah yang Maha Besar, paling agung dan paling sempurna. Apa pun jua yang kita hadapi, alami dan temui di dunia ini, semuanya tidak setanding dengan Allah SWT.

Kedua: Hendaklah kita menyembah Allah SWT. Tidak cukup sekadar kita mengakui Allah SWT itu Maha Besar, agung, sempurna dan hebat. Kita harus sujud, merendah diri kepada-Nya. Itu bukti kita benar-benar membesarkan Allah SWT.

Ketiga: Nabi Muhammad SAW adalah rasul-Nya. Baginda SAW adalah sebaik-baik manusia dan sebaik-baik contoh teladan buat kita. Ingin sembah Allah SWT, ikutlah petunjuk baginda SAW. Tiada manusia dapat meraih darjat di sisi Allah SWT, melainkan perlu mencontohi baginda SAW.

Keempat: Solat adalah perintah paling utama. Ia ibadah penting, ia adalah tunjang Islam. Solat adalah penghubung kita dengan Allah SWT. Ia sebab datangnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Bila kita tinggal solat, akan terputus hubungan kita dengan Allah SWT.

Kelima: Marilah menuju kejayaan. Manusia tidak diciptakan untuk gagal. Manusia dicipta untuk berjaya dan kita perlu usaha mencapainya. Kejayaan dunia adalah dengan memakmurkan dunia sebagai khalifah. Kejayaan akhirat, sejauh mana kita taat perintah Allah SWT dan tinggalkan larangan-Nya.

Keenam:
Diingatkan semula kepada kita tenang kebesaran Allah SWT. Apa juga yang kita rasa besar di dunia ini, sama ada kesusahan dan keperitan, kesenangan itu hanyalah benda yang kecil. Kembali kepada Allah SWT.

Ketujuh: Sekali lagi diingatkan tentang menyembah Allah SWT. Sembah Allah SWT. Hidup di dunia jangan lalai dan lupa, tujuan kita dicipta adalah agar beribadah kepada-Nya. Dan haruslah kalimah tauhid 'laa ilaaha illallah' itu menjadi pegangan sehingga akhir hidup kita.

Itu yang dapat saya fahami daripada kalimah azan secara ringkas. Saya fikir mengapa lafaznya sedemikian rupa? Ada tujuannya? Apa yang mahu disampaikan? Pastinya Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu secara sia-sia. Pasti ada mesej disebaliknya yang harus kita renungi dengan hati dan fikiran kita.




HIDUP INI UMPAMA ALIRAN SUNGAI




Hidup kita adalah seumpama sebuah aliran sungai. Yang dihujungnya terdapat air terjun yang tinggi dan 'ganas' yang bakal membinasakan sesiapa yang terjatuh melaluinya.

Sesiapa yang tidak mahu berusaha, bersenang-senang sahaja dalam hidup. Tidak mempunyai perancangan. Ikut sahaja aliran kehidupan tanpa sebarang usaha, akhirnya dia akan jatuh dan binasa dalam air terjun kehidupan.

Adakah anda mempunyai perancangan hidup, atau sekadar mengikut sahaja aliran kehidupan?



[Inspirasi daripada buku Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah terbitan PTS]




BELAJAR AGAMA SAMPAI AJAL MENJEMPUT


Agama ini, bukan setakat perlu belajar di sekolah sahaja. Kita perlu belajar agama sampai bila-bila. Jika boleh, sampai ajal kita tiba.

Bila saya cakap belajar agama sampai bila-bila, jangan asyik fikir belajar agama duduk dalam majlis sahaja. Manfaatkan teknologi dan kemudahan yang ada.
Di Facebook, jangan asyik ikut Fan Page artis sahaja, ikutilah Facebook para ustaz, atau Fan Page berkaitan agama.

Dalam 'smartphone', jangan asyik penuh lagu sahaja, simpanlah bacaan al-Quran atau ceramah-ceramah agama. Sambil memandu, boleh pasang ceramah dan dengar.

Setiap hari berapa minit atau jam kita habiskan masa dalam kereta? Saya kira, ada yang lebih sejam dalam kereta bila pergi tempat kerja. Manfaatkan waktu itu dengan sebaiknya.

Bayangkan, kalau 2 hari kita luangkan masa dengar 1 ceramah agama dalam kereta, dalam masa sebulan berapa ceramah kita sudah dengar? Insya' Allah, ia akan bantu kita 'upgrade' ilmu agama.



MERANCANG HIDUP DAN MERANCANG KEMATIAN



Dalam kita merancang kehidupan, jangan lupa untuk 'merancang kematian'. Bukan saya suruh bunuh diri.

Maksud saya adalah rancang bagaimana kita mahu mati, adakah dengan husnul khatimah atau suul khatimah?

Ini kerana akhir hidup kita itu adalah penentu kehidupan kita di alam kubur dan akhirat sana.

Ada orang kaki ibadah beberapa tahun, setelah itu dia bergelumang dengan maksiat beberapa hari, lalu dia mati dalam keadaan Allah s.w.t murka pada dia.

Ada orang kaki maksiat beberapa tahu, setelah itu dia bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, lalu dia mati dalam keadaan Allah s.w.t redha pada dia.

Persoalan, bagaimana mahu mencapai husnul khatimah atau kesudahan hidup yang baik?

Doa pada Allah s.w.t agar dia tetapkan hati kita dalam iman dan amal solat. Bila buat dosa segera bertaubat dan usaha untuk istiqamah dalam setiap amal kebaikan. Muhasabah diri setiap hari dan selalu ingat mati.

TIP MERAWAT HASAD DENGKI



Hasad dengki adalah salah satu penyakit hati yang wajib dirawat untuk mendapatkan hati yang sejahtera untuk bertemu Allah ta'ala. Ia amat tercela, kerana bukan sahaja membinasakan diri, tetapi juga akan membinasakan orang lain.

Bila hati ada hasad dengki, biasanya seseorang akan menjadi zalim, tidak adil dalam menilai, memfitnah, malah ada yang sanggup berbuat syirik besar dengan menyihir orang lain.

Hasad dengki secara umumnya adalah perasaan benci apabila melihat orang lain mendapat sesuatu nikmat, lalu dia mahu nikmat itu terlucut daripada orang tersebut lalu berpindah kepada dirinya.

Bila kita merasa dalam hati kita sedang dengki pada seseorang, hendaklah kita beristighfar. Doakan agar nikmat yang diperolehi oleh seseorang itu agar terus bersamanya dan dia memperolehi kebaikan.

Renung dalam diri dan yakin, bahawa setiap manusia itu ada rezeqinya masing-masing. Semua itu aturan Allah ta'ala, maka kita tidak seharusnya dengki. Bila kita dengki pada seseorang, itu seolah-olah kita tidak redha dengan aturan dan pemberian Allah ta'ala sebagai Tuhan yang Maha Bijaksana dalam mengurus hamba-Nya.


Ingin tahu lebih tentang kaedah merawat hati? 

Lawati >> PENAWAR BAGI HATI (Klik Sini)





KEPENTINGAN ILMU FADHAIL A'MAL, TARGHIB & TARHIB.



Sepanjang saya belajar agama di pusat pengajian formal dan setelah menjadi guru agama selama 5 tahun, ada satu ilmu yang kelihatan kurang diberi tumpuan atau mungkin tercicir daripada pendidikan dan pengajian Islam, iaitu ilmu Fadhail A'mal atau ilmu Targhib dan Tarhib. Lihat dalam buku rujukan pengajian agama, sama ada peringkat rendah, menengah atau tinggi, ilmu ini cukup sedikit sekali dibahaskan.

Ilmu ini adalah ilmu yang menjelaskan ganjaran pahala dan dosa, balasan baik dan buruk bagi setiap amal atau perbuatan yang kita lakukan dalam seharian. Misalnya, bila solat 5 waktu apa kita dapat? Bila baca al-Quran 100 ayat 1 malam apa kita perolehi? Kalau bersedeqah setiap pagi apa Allah s.w.t kurnia? Kalau solat Dhuha apa ganjaran yang disediakan buat kita?

Ilmu Fadhail A'mal atau Targhib dan Tarhib ini amat penting. Ia menjadi pendorong kepada kita untuk beramal dengan ilmu yang kita ada. Terpinggirnya ilmu ini antara penyebab ramainya orang tahu hukum, tetapi malas atau tidak mahu beramal. Tahu wajib mendirikan solat 5 waktu, puasa Ramadhan, menutup aurat, melaksanakan hudud, tetapi tetap tidak mahu buat. Tahu minum arak, berzina, berjudi, mendedahkan aurat dan mencuri itu haram, tetapi tetap buat.

Ilmu Targhib dan Tarhib ini antara ilmu yang diberikan penekanan oleh Nabi s.a.w. di zaman awal Islam, fasa Makkah, hinggalah ke fasa Madinah. Baginda s.a.w. beritahu tentang Syurga, Neraka, balasan beriman dengan kalimah Tauhid, mendirikan solat 5 waktu apa kelebihannya, berjalan ke masjid pada waktu senja apa Allah s.w.t. beri, belajar 2 ayat daripada al-Quran dan bersedeqah apa ganjarannya serta banyak lagi.

Firman Allah s.w.t.:

“Sesungguhnya Kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.” (Surah Fathir: 24).

Sayyidah Aisyah r.anha berkata:

“Sesungguhnya yang pertama-tama kali turun darinya (al-Quran) adalah surah al-Mufashshal (surat-surat pendek) yang di dalamnya disebutkan tentang Syurga dan Neraka. Dan ketika manusia telah condong kepada agama Islam, maka turunlah kemudian ayat-ayat tentang halal dan haram. Seandainya yang pertama kali turun adalah ayat; “Janganlah kamu minum arak” Nescaya mereka akan mengatakan; “Kami tidak akan meninggalkan meminum arak selama-lamanya.” dan sekiranya juga yang pertama kali turun adalah ayat, "Janganlah kamu berzina.” Nescaya mereka akan mengatakan, “Kami tidak akan meniggalkan zina selama-lamanya.” (Shahih Bukhari, no.4993)

Alangkah baiknya, kalau ilmu ini berjaya "ditarik" semula ke dalam pengajian Islam secara formal. Dijadikan sebuah subjek khusus untuknya dan disediakan buku teks khusus yang disusun berdasarkan ayat al-Quran dan hadis shahih, agar para pelajar terdorong untuk beramal dengan ilmu dan bukannya sekadar hiasan di lisan.

Wallahu a'lam.

NASIHAT TAJUDDIN AL-SUBKI BUAT AHLI ILMU DAN PENUNTUT ILMU.



Ini catatan yang saya nukil daripada Facebook Dr. Fathul Bari Mat Jahya. Beliau menulis pada 11 Mac 2015:


Menginsafi diri dgn nasihat Tajuddin Al-Subki (w.771H) :

"Diantara mereka (yang berilmu agama), ada segolongan yang memang tidak pernah meninggalkan amalan wajib. Mereka lebih suka ilmu dan perdebatan. Mereka lebih senang bila dikatakan: "si fulan adalah pakar fiqh di daerah ini", kesenangannya terhadap hal itu menjadi darah daging, hingga mereka sanggup menghabiskan sebahagian besar masanya untuk tujuan tersebut.

Dan dia mula mengabaikan Al Quran, lupa dengan hafalan Qurannya, tapi tetap dia brbangga, dan berkata: “kamilah para ulama”. Apabila dia mendirikan solat fardhu, dia memang solat 4 rakaat, namun tidaklah dia mengingati Allah di dalam solatnya melainkan sedikit sahaja, solatnya dicampuri dengan memikirkan permasalahan dalam bab haidh dan jenayah (hukum hakam) yang pelik.

Apabila kamu bertanya kepada salah seorang dari mereka: "Adakah kamu sudah solat sunnah (sebelum atau selepas) Zohor?" Dia akan menjawab: "Imam Syafi’e telah berkata: menuntut ilmu lebih afdhal daripada solat sunnah".

Atau bila kamu berkata padanya: "khusyukkah kamu dalam solatmu?". Dia berkata: "Khusyuk tidaklah termasuk syarat sah solat".

Atau bila kamu katakan kepadanya: "Kamu lupa hafalan Qur'anmu?". Dia akan berkata: "Tiada ulama yang berpendapat bahawa lupa hafalan Al Qur'an merupakan satu dosa bedar kecuali penulis kitab Al-‘Uddah. Mana dalil yang menyokong pendapat tersebut? Saya belum lupa keseluruhan Al Qur'an,saya masih ingat Al Fatihah dan banyak lagi surah dari Al Qur'an“.

Maka katakanlah kepadanya: "Wahai pakar fiqh, perkataan itu memang benar, tetapi bermotifkan kebatilan, kerana Imam Syafi’i tidaklah menginginkan dari perkataannya itu apa yang kamu inginkan..."


(Lihat Mu’idun Ni’am wa Mubidun Niqam, Tajuddin Assubki, ms: 84-85).