Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan

KISAH PALSU POPULAR TENTANG KEWAFATAN NABI SAW.




Tersebutlah kisah...

Malaikat maut supaya dia turun menemui Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam dengan berpakaian sebaik-baiknya. Allah menyuruh malaikat maut mencabut nyawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam dengan lemah lembut. Seandainya Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam menyuruhnya masuk, maka dia dibolehkan masuk, tetapi jika Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam tidak mengizinkannya, dia tidak boleh masuk dan hendaklah dia kembali sahaja.
Maka turunlah malaikat maut untuk menunaikan perintah Allah. Dia menyamar sebagai seorang biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam, malaikat maut itupun berkata, "Assalamualaikum wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!"
            Fatimah Radhiallahu Anha pun keluar menemuinya dan berkata kepada tamunya itu, “Wahai hamba Allah, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam sekarang dalam keadaan sakit.” Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi, "Assalamualaikum, adakah saya boleh masuk?”
Akhirnya Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam mendengar suara malaikat maut itu, lalu baginda bertanya kepada puterinya Fatimah Radhiallahu Anha, "Siapakah yang ada di muka pintu itu?" 
            Fatimah Radhiallahu Anha menjawab, "Seorang lelaki memanggil baginda. Saya katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan sakit. Kemudian dia memanggil sekali lagi dengan suara yang menggetarkan sukma.” 
            Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam berkata, “Adakah kamu tahu siapa dia?” 
            Fatimah Radhiallahu Anha menjawab,  “Tidak, wahai baginda.”
            Lalu Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam menjelaskan, “Wahai Fatimah Radhiallahu Anha, dia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur.” Kemudian Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam berkata, “Masuklah, wahai malaikat maut.”
            Masuklah malaikat maut itu sambil mengucapkan, “Assalamualaika wahai Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam.” Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam pun menjawab, “Wa’alaikassalam wahai malaikat maut. Adakah engkau datang untuk melawat ataupun untuk mencabut nyawaku?”
Malaikat maut menjawab, “Saya datang untuk melawat sekaligus mencabut nyawa. Jika tuan izinkan, akan saya melakukannya. Sekiranya tidak, maka saya akan pulang.”
            Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam bertanya, “Wahai malaikat maut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku, Jibril?”
            Jawab malaikat maut, “Saya tinggalkan dia di langit dunia.”
            Baru sahaja malaikat maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril datang lalu duduk di samping Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam. Maka berkatalah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam,   “Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat?”
            Jibril menjawab, “Ya, wahai kekasih Allah.”
            Seterusnya Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam berkata, “Beritahu kepadaku wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya?”
            Jibril pun menjawab, “Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu.”
            Baginda berkata, “Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku?”
            Jibril menjawab lagi, “Bahawasanya pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu.”
Baginda berkata lagi, “Segala puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai Jibril, apakah lagi yang disediakan Allah untukku?”
            Jibril menjawab, “Aku memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari qiyamat nanti.”
            Kemudian Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam  berkata, “Segala puji dan syukur aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku.”
            Jibril bertanya, “Wahai kekasih Allah, apakah sebenarnya yang ingin tuan tanya?” 
            Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam  menjawab, “Tentang kegelisahanku. Apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?”
Jibril menjawab, “Saya membawa khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berkata, “Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu.” 
Maka berkatalah Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam, “Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai malaikat maut dekatlah kepadaku.”
Lalu malaikat maut pun mendekati Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam.
            Ali bertanya, “Wahai Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam, siapakah yang akan memandikanmu dan siapakah yang akan mengafanimu?” 
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam  menjawab, "Adapun yang memandikan aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan al-Fadhl bin Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan membawa hanuth (wangian) dari Syurga.”
Kemudian malaikat maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam. Ketika roh baginda sampai di pusat, baginda berkata, “Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut.”
Mendengar ucapan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam  itu, Jibril memalingkan mukanya. Lalu Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam  bertanya, “Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku?” 
Jibril menjawab, “Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat mukamu, sedangkan engkau sedang merasakan sakitnya maut?” Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam.

PENILAIAN:

Hadis ini diriwayatkan oleh ath-Thabarani dan Abu Nu’aim al-Ashbanani dengan sanadnya daripada Muhammad bin Ahmad al-Bara, menceritakan kepada kami Abd al-Mun’im bin Idris bin Sinan daripada ayahnya daripada Wahb bin Munabbih daripada Jabir bin Abdullah dan Abdullah bin Abbas Radhiallahu anhuma secara marfu’. (Al-Mu’jam al-Kabir 3/58, Hilyah al-Auliya, 4/73)
            Tidak diketahui kisah ini melainkan daripada Abd al-Mun’im bin Idris bin Sinan. Ahmad bin Hanbal berkata, “Dia berdusta ke atas Wahb bin Munabbih.” Berkata Ibnu Hibban, “Dia mereka-reka hadis ke atas ayahnya dan selainnya.” (Mizan al-I’tidal, 2/668)
            Ibnu al-Jauzi berkata, “Hadis ini palsu!” (Al-Mawdhu’at, 1/103)
            As-Suyuti berkata, “Palsu, penyakitnya adalah Abd al-Mun’im!” (Al-Laali al-Mashnu’at, 1/257)

RUJUKAN:
  • Ath-Thabarani, Al-Mu'jam Al-Kabir, Maktabah Ash-Shamelah.
  • Abu Nu'aim Al-Ashbahani, Hilyah al-Auliya, Maktabah Ash-Shamelah.
  • Ibnu Al-Jauzi, Al-Mawdhu'at, Maktabah Ash-Shamelah.
  • As-Suyuti, Al-Laali al-Mashnu'at Fii Al-Ahadis Al-Mawdhu'at, Maktabah Ash-Shamelah.
  • Adz-Dzahabi, Mizan al-I'tidal Fii Naqd ar-Rijal, Maktabah Ash-Shamelah.

(Sumber gambar: Fotorix Studio)

SEPOTONG HADIS PALSU DALAM KISAH CINTA NABI SAW & KHADIJAH RAH.



Apabila membaca tentang biografi Khadijah binti Khuwailid radhiallahu 'anha, isteri Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam yang pertama atau kisah betapa sayangnya baginda Shallallahu 'alaihi wassalam kepada isterinya, terdapat satu bahagian yang akan biasa kita temui, iaitu:
Ketika kembali ke Mekah pada waktu pembukaan Kota Mekah, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam dipelawa oleh orang ramai agar baginda menginap di rumah mereka, namun baginda menolak dan berkata, "Dirikanlah bagiku khemah di hadapan kubur Khadijah." lalu baginda bermalam di kubur Khadijah radhiallahu 'anha.
Berdasarkan fatwa daripada Islamqa.info (no. 259081), hadis tentang lafaz tersebut tiada asalnya, yakni mawdhu' (palsu). Tidak ada diriwayatkan dengan sanad yang sahih ataupun dhaif, bahawa Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wassalam. Justeru, menyandarkan hadis bahawa baginda berkata sedemikian adalah satu pendustaan ke atas baginda.

Yang disebutkan dalam dalam hadis dan riwayat sirah, ketika pembukaan Kota Mekah, Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wassalam hanya menyuruh agar pacakkan bendera ataupun didirika khemah disebuah tempat bernama Hajun.

Hajun adalah merupakan kawasan tanah perkuburan penduduk Mekah. Berdasarkan riwayat sejarah dalam Tarikh ath-Thabari, dan al-Mustadrak, isteri Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wassalam yang pertama, Khadijah radhiallahu 'anha telah dikuburkan di tempat tersebut.

Meskipun begitu, daripada sudut disiplin ilmu, tidak boleh untuk kita mereka-reka ayat lalu menyandarkannya kepada Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wassalam. Malah, dalam riwayat yang sahih, tiada disebutkan sebarang sebab yang jelas mengapa baginda mendirikan khemah di tempat tersebut.

Saya faham, biasanya orang yang memetik hadis yang palsu ini adalah bertujuan untuk menunjukkan betapa indahnya cinta Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wassalam dan isterinya. Namun, niat yang baik itu tetap tidak menghalalkan perkara yang jelas diharamkan, iaitu mereka-reka dan menyebarkan hadis yang mawdhu' (palsu). Memadailah kita berpegang dengan riwayat yang jelas statusnya.


Berdasarkan hadis yang sahih, tidak dapat dinafikan lagi, Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wassalam begitu cinta kepada isterinya Khadijah radhiallahu 'anha. Sehinggakan Aisyah radhiallahu 'anha menyatakan beliau cemburu kerana Nabi Muhamamd Shallallahu 'alaihi wassalam banyak menyebut-nyebut tentang isterinya itu.

Wallahu a'lam.








KISAH DUSTA: KISAH IMAM ASY-SYAFIE & ANAK PEREMPUAN IMAM AHMAD




Kisahnya adalah seperti berikut...

Suatu hari Imam asy-Syafie berkunjung kerumah Imam Ahmad bin Hanbal. Imam Ahmad mempunyai seorang anak perempuan yang solehah. Apabila malam, dia beribadah, siang berpuasa dan menyukai kisah orang-orang soleh. Anak perempuan beliau ini ingin sekali melihat lmam asy-Syafie secara langsung sebab sang ayah sangat menghormatinya. Ketika Imam asy-Syafie berkunjung ke rumah mereka, anak perempuan Imam Ahmad merasa sangat gembira dan berharap dapat melihat apakah yang dikerjakan Imam asy-Syafie serta mendengar ucapan-ucapannya.

Setelah selesai makan malam bersama, Imam Ahmad menuju tempat solat untuk melakukan solat dan zikir, manakala Imam asy-Syafie tidur terlentang, sedangkan anak perempuan Imam Ahmad selalu mengawasi Imam asy-Syafie sehingga menjelang pagi.

Menjelang waktu pagi, anak Imam Ahmad berkata, “Wahai ayahku, apakah benar dia ini Imam asy-Syafie yang engkau ceritakan padaku dulu?”

Imam Ahmad, “Benar anakku."

Anak perempuan Imam Ahmad berkata, “Aku mendengar bahwa engkau menghormati Imam asy-Syafie, tetapi apa yang aku lihat tadi malam dia tidak solat, tidak berzikir, tidak pula wirid dan aku juga melihat ada 3 perkara yang menghairankan.”

Imam Ahmad, “Apakah 3 hal itu, wahai anakku?”

Anak perempuan Imam Ahmad berkata, “Ketika kita sajikan makanan kepada Imam asy-Syafie, dia makan dengan begitu banyak dan ini berbeza dengan yang aku dengar. Ketika masuk ke bilik dia tidak beribadah solat malam, dan ketika solat subuh bersama kita, dia solat tanpa wuduk.”

Ketika agak siang dan mereka berbincang-bincang, Imam Ahmad berkata kepada Imam asy-Syafie tentang apa yang dilihat oleh anak perempuannya, lalu Imam asy-Syafie berkata, “Wahai Abu Muhammad , aku memang semalam banyak makan kerana aku tahu bahwa makananmu adalah halal dan engkau adalah orang mulia sedangkan makan orang mulia adalah penawar, kalau makanan orang bakhil adalah penyakit. Jadi, aku makan bukan untuk kenyang tapi untuk berubat dengan makananmu. Adapun semalam aku tidak solat malam, itu disebabkan ketika aku meletakkan kepalaku untuk tidur, aku melihat seolah-olah al-Qur'an dan hadis berada hadapanku, kemudian Allah membukakan kepadaku 72 masalah ilmu feqah yang aku susun untuk kemaslahatan muslimin, maka memikirkan ilmu inilah yang menghalangi antara diriku dan solat malam.”

Adapun ketika solat subuh bersama kamu, aku tidak berwuduk, maka demi Allah tidaklah kedua mataku tertidur hingga aku perlu memperbaharui wuduk. Semalam suntuk aku terjaga, jadi aku solat subuh bersama kamu dengan wudu solat Isyak.”

Setelah itu Imam asy-Syafie meminta diri dan pulang. Imam Ahmad berkata kepada anak perempuannya, “Apa yang di kerjakan oleh Imam asy-Syafie semalam dalam keadaan terlentang, lebih utama daripada apa yang aku kerjakan sambil solat malam.”

PENILAIAN:

Kisah ini adalah dusta sama sekali ke atas Imam asy-Syafie. Daripada sudut sejarah Imam asy-Syafie wafat pada tahun 204 Hijrah, manakala Imam Ahmad lahir pada tahun 164 Hijrah.

Berdasarkan riwayat daripada al-Khallal, daripada al-Marudzi, daripada Ahmad bin Hanbal, berkata, "Aku tidak berkahwin kecuali selepas berusia 40 tahun."

Jelasnya, ketika Imam asy-Syafie meninggal dunia, Imam Ahmad bin Hanbal belum pun memiliki anak. Maka bagaimana pula anak perempuan Imam Ahmad bertemu Imam asy-Syafie?

Kisah ini telah didedahkan kedustaannya oleh Syaikh Khalid al-Hayyak dalam laman web beliau.


(Sumber Imej: Novieffendi.Com)




MENGKRITIK NOVEL SEJARAH ISLAM ABDUL LATIP TALIB


MEREKA-REKA UCAPAN  KE ATAS NABI & SAHABAT MEMBUKA PINTU PENYIMPANGAN.

Sirah Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat bukanlah sama seperti sejarah manusia biasa. Membuat ucapan rekaan di atas nama mereka adalah tidak sama dengan membuat ucapan rekaan ke atas Sultan Melaka.

Ini kerana, ucapan Nabi Muhammad s.a.w itu adalah wahyu. Sebarang rekaan ke atas ucapan baginda, mengakibatkan penambahan kepada wahyu. Ia dilarang. Demikian juga penambahan ke atas ucapan para sahabat yang menjadi salah satu sumber untuk memahami wahyu yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Oleh itu, semenjak kali pertama membaca dan mengenali ‘Novel Sejarah Islam’ saya sudah kurang setuju dengan penulis buku-buku sedemikian. Usaha tersebut, pastinya melibatkan berlakunya penambahan dan khayalan yang tidak wujud di dalamnya.

PERBANDINGAN.

Dalam penulisan ini, saya ingin memberikan contoh perbandingan daripada satu bahagian daripada ‘Novel Sejarah Islam’ berjudul Abu Ubaidah Penakluk Parsi, terbitan PTS Litera pada tahun 2009, yang ditulis oleh Abdul Latip Talib, atau lebih dikenali dengan Pak Latip.

Saya akan membandingkan teks pada bab-7, halaman 73 hingga 78 dalam bahagian ‘Pemulauan Kepada Islam’ dengan kisah yang sama daripada kitab-kitab Sirah Muktabar yang bakal disebutkan namanya.

Pada suatu malam, Abu Ubaidah dan Abu Bakar sedang duduk sambil mengawal keadaan sekeliling. Cahaya bulan menerangi malam itu. Sekali-sekala kedengaran batuk memecah hening suasana malam. Udara dingin membuatkan mereka kesejukan. Hanya unggun api dapat memanaskan tubuh mereka. Tiba-tiba Abu Ubaidah al-Jarrah bingkas bangun lalu menghunus pedangnya.

“Siapa itu? Cepat, kenalkan diri!” jerit Abu Ubaidah al-Jarrah sambil bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Tetapi pertanyaan itu tidak disahut. Tiba-tiba muncul seekor unta membawa muatan di belakangnya. Tetapi tuannya tidak kelihatan.

“Siapakah pula yang menghantar muatan ini kepada kita?” tanya Abu Bakar sambil membelek barang-barang yang diletakkan di atas bonggol unta itu.

“Entahlah, mungkin masih ada insan yang bersimpati dengan nasib kita lalu diberinya kita bekalan makanan ini.” Jawab Abu Ubaidah al-Jarrah.

[Abu Ubaidah Penakluk Parsi, halaman 75-76]


Dalam bahagian ini pengarang Abdul Latip Talib mengisahkan bahawa pada suatu malam Abu Bakar dan Abu Ubaidah kedua-duanya sedang berkawal. Kemudian mereka menerima sebuah bekalan makanan daripada orang yang tidak dikenali. Yang memberikan bekalan makanan tersebut adalah Hisyam bin `Amr.

Selepas memberikan bekalan tersebut secara senyap, Hisyam bin `Amr terus bertemu dengan Zuhair bin Abi Umayyah untuk mengajak beliau membatalkan perjanjian pemulauan ke atas Bani Abdul Manap dan Bani Hasyim.

KOMEN DAN PERBANDINGAN.

1. Abdul Latip Talib telah menulis keadaan begitu terperinci, seolah-olah melihatnya. Daripada manakah sumbernya tulisan terperinci sedemikian?

2. Peristiwa ini tidak ada disebutkan dalam kitab sirah muktabar.

3. Dalam novel karya Abdul Latip Talib, seolah-olah ia adalah kali pertama Hisyam bin `Amr memberikan bantuan makanan kepada Bani Abdul Manap dan Bani Hasyim. Manakala, dalam Rahiq al-Makhtum disebutkan bahawa Hisyam bin `Amr telah memberikan bantuan bekalan makanan selama 3 tahun.

4. Dalam novel disebutkan Bani Abdul Manap dan Bani Hisyam. Dalam Sirah Ibnu Hisyam (1/374) disebutkan Bani Hisyam dan Bani Muthalib.

Kemudian mereka berlima menuju ke dinding Kaabah mahu menanggalkan naskhah perjanjian pemulauan yang digantungkan di situ. Tiba-tiba Zuhair kelihatan gembira sambil berteriak, “Demi Tuhan, naskhah perjanjian yang kita tandatangani sudah reput dimakan anai-anai. Dengan ini pemulauan itu sudah terbatal!”

Abu Jahal amat terkejut lalu memeriksanya. Ternyata memang benar naskhah perjanjian itu sudah reput dimakan anai-anai. Barulah dia sedar pemulauan itu tidak dapat diteruskan lagi. Sekiranya dia terus menentang, dia pasti menghadapi masalah. Dengan rasa malu, dia segera beredar dari situ. Dengan itu sekatan yang dikenakan ke atas Bani Hasyim dan Bani Abdul Manap berakhir.

Namun mereka yang menyokong menghapuskan sekatan itu masih kekal dengan agama asal mereka. Nabi Muhammad menasihatkan para sahabatnya supaya bersikap baik kepada mereka. Bagi menghindarkan timbulnya masalah, Zuhair dan kawan-kawannya datang menemui Nabi Muhammad SAW, memohon hubungan baik mereka dipelihara.  Dengan senang hati Nabi Muhammad SAW menerima permintaan mereka.

“Wahai Muhammad, ada satu lagi permintaan kami,” kata Zuhair. Kemudian katanya lagi, “Kami sudah berusaha membatalkan sekatan ke atas kamu. Oleh itu, kamu perlu membalas budi baik kami itu dengan memberi hormat kepada tuhan-tuhan kami.”

“Sembahlah tuhan-tuhan kami walaupun dengan menggunakan jari-jari sahaja,” kata Amr bin Hisyam pula.

Nabi Muhammad SAW tidak bersetuju dengan permintaan itu. Lalu membaca ayat al-Quran yang bermaksud, kamu dengan agama kamu dan kami dengan agama kami.

[Abu Ubaidah Penakluk Parsi, halaman 78]


KOMEN & PERBANDINGAN.

1. Dalam kitab Sirah an-Nabawiyyah (2/69) karya Ibnu Katsir ada disebutkan kehadiran Abu Talib dalam peristiwa di atas. Namun dalam novel Abu Ubaidah Penakluk Parsi, langsung tidak disebutkan kehadiran Abu Talib.

2. Dalam novel disebutkan yang mereka berlima pergi ke Ka'bah dan cuba mengoyakkan naskhah tersebut. Zuhair telah berkata sesuatu. Berbeza dengan riwayat dalam muktabar daripada Sirah Ibnu Hisyam (1/376), Dalail an-Nubuwwah (1/239) karya Abu Nu’aim, as-Sirah an-Nabawiyyah (2/69) karya Ibnu Katsir dan ar-Rahiq al-Makhtum. Disebutkan dalam riwayat sirah muktabar yang bergegas mengoyakknya adalah al-Muthim bin Adiy dan Zuhair langsung tidak berkata sesuatu.

3. Dalam novel disebutkan bahawa Zuhair dan Amr bin Hisyam bertemu Nabi Muhammad s.a.w dan meminta agar baginda dan para sahabat menyembah tuhan-tuhan orang kafir Quraisy, lalu baginda menolak dengan dengan mengucapkan ayat terakhir Surah al-Kafirun. Berdasarkan carian saya dalam kitab sirah muktabar,  tidak ada diriwayatkan perbualan tersebut.

5. Diriwayatkan dalam Sirah Ibnu Hisyam (1/362), turunnya surah al-Kafirun adalah disebabkan dialog yang berlangsung antara Rasulullah s.a.w dan al-Aswad bin al-Muthalib, Asad bin Abdul Uzza, al-Walid bin al-Mughirah, Umayyah bin Khalaf dan al-Ash bin Wail. Maka dengan itu turunlah surah al-Kafirun daripada ayat pertama hingga terakhir.

MEMBIMBANGKAN.

Daripada 2 perbandingan di atas jelas kita dapat melihat, pengarang Abdul Latip Talib telah melakukan penyimpangan terhadap riwayat-riwayat sirah. Ada ucapan-ucapan yang ditambah, tidak wujud dalam mana-mana kitab sirah muktabar dan kesilapan-kesilapan rekod terhadap fakta riwayat-riwayat sirah.

Ini adalah 2 perbandingan yang dibuat. Bagaimana pula dengan beratus teks lain yang belum dibandingkan?

SAYA BUKAN ORANG PERTAMA.

Saya bukanlah orang yang pertama tidak bersetuju dan mengkritik Novel Sejarah Islam  karya Abdul Latip Talib. Ustaz Hasrizal Abdul Jamil melalui Fan Page Muarrikhun antara yang kuat mengkritik dan tidak bersetuju dengan penulisan tersebut.



Luahan daripada mereka yang pernah baca Novel Sejarah Islam daripada komen Fan Page Muarrikhu.


(Izzati Khairun seorang yang membaca Novel Fiksyen Sejarah mendapati wujudnya fakta-fakta sejarah yang dicemari dalam novel sejarah. Beliau bimbang ia menjadi serius apabila orang ramai tidak ambil kisah atau tidak sedar tentang putar-belit fakta dalam novel fiksyen)


 (Faiz Kip menyatakan fakta dalam novel sejarah salah)

BUKAN KESALAHAN BIASA: TIDAK AMANAH DAN MEMANDANG REMEH.

Mungkin ada yang beranggapan, kesilapan sedemikian adalah kecil dan boleh dimaafkan. Mana ada gading yang tidak retak bukan? Bagi orang yang berpendapat sedemikian saya katakan, kesilapan yang wujud ini bukanlah kesilapan biasa-biasa.

Kesilapan ini wujud disebabkan Abdul Latip Talib telah 'menghalalkan' perbuatan menokok tambah dan memasukkan khayalan dan imaginasi dalam penulisan beliau. Selain itu disiplin beliau yang longgar dalam penapisan riwayat. Beliau dalam blognya telah menyatakan kepada para pembacanya, agar terus membaca buku-buku novel sejarah Islam, menurutnya, jika ada kesalahan pun, ia tidak akan menjejaskan iman dan aqidah!!


Sekali lagi saya jelas, ini soal DISIPLIN, AMANAH dan JUJUR.

Alasan niat yang baik, tidak akan sesekali menghalalkan cara yang salah.


Fikir-fikirkan keadaannya.

Wallahu a`lam.

KISAH POPULAR: HASAN AL-BASHRI INGIN MENIKAHI RABIAH AL-ADAWIYYAH (PALSU)




Pernahkah anda mendengar kisah Hasan al-Bashri yang ingin menikahi Rabiah al-Adawiyyah? Ia kisah cukup popular di Facebook pada suatu masa dengan judul "Kisah 9 Akal 1 Nafsu dan 1 Akal 9 Nafsu".
Kisahnya adalah seperti berikut:

Tatkala setelah beberapa waktu suami Rabiah al-Adawiyyah meninggal dunia, tiba-tiba ada yang mengetuk pintu rumahnya, sambil berucap salam, akhirnya Rabiah al-Adawiyyah membuka pintu rumahnya, dan alangkah terkejutnya ada beberapa gerombolan orang-orang tampan ada di depannya, salah satu daripadanya ada yang Rabiah al-Adawiyah kenal, namanya Hasan al-Bashri.

"Ada apa wahai saudaraku, Hasan al-Bashri?" tanya Rabiah al-Adawiyah.

"Suamimu telah meninggal dunia, dan engkau harus bersuami lagi" kata Hasan al-Bashri.

"Ya, tetapi siapa diantara yang lebih alim? Maka akan aku jadikan suami untuk diriku." jawab Rabiah al-Adawiyyah.

Sahabat Hasan al-Bashri pun berkata "Hasan al-Bashri adalah orang yang alim diantara kami semua, maka dialah yang pantas bersanding denganmu."

"Baiklah, tetapi sebelum engkau menikahi aku, jawablah empat pertanyaanku dan setelah engkau dapat menjawab maka aku jadi milikmu." jawab Rabiah al-Adawiyyah.

"Bertanyalah padaku, bila Allah menjodohkan pasti aku dapat menjawab pertanyaanmu itu." kata Hasan al-Bashri.

"Bagaimana pendapatmu, seandainya aku mati dan keluar dari dunia ini, apakah aku keluar nanti membawa iman atau tidak?" pertanyaan pertama yang disampaikan Rabiah al-Adawiyyah.

"Ini perkara ghaib, tiada yang tahu kecuali Allah." jawab Hasan.

"Bagaimana pendapatmu, seandainya aku telah dimaqamkan lalu di dalam kubur, aku ditanya dua malaikat munkar nakir, apakah aku dapat menjawab pertanyaannya?" lanjut Rabiah al-Adawiyyah.

"Ini juga perkara ghaib, tiada yang tahu kecuali Allah." jawab Hasan.

"Apabila manusia dikumpulkan pada hari kiamat dan aku menerima buku catatan amalku, apakah aku terima buku catatan itu dengan tangan kiri atau tangan kanan?" tanya Rabiah al-Adawiyyah.

“Ini juga perkara ghaib." sahut Hasan al-Bashri.

"Apabila manusia dipanggil dan diadili, pada saat itu apakah aku masuk di Neraka atau di Syurga?" tanya Rabiah al- Adawiyyah.

Lagi-lagi dijawab oleh Hasan al-Bashri, "Ini juga perkara ghaib."

Kemudian Rabiah al-Adawiyyah berkata, "Bagaimana engkau layak menjadi suamiku, sedangkan perkara ini sahaja engkau tidak mengetahuinya, wahai Hasan al-Bashri!"

"Berapa bahagian Allah menciptakan akal?" lanjut Rabiah al-Adawiyyah.

"Sepuluh bahagian. Sembilan bahagian untuk lelaki dan satu untuk perempuan." sahut Hasan al-Bashri.

“Berapa bahagian Allah menciptakan syahwat?" tanya Rabiah al-Adawiyyah.

"Sepuluh bahagian. Sembilan untuk perempuan dan satu untuk lelaki." jawab Hasan al-Bashri.

Dengan diplomasi Rabiah al-Adawiyyah berkata, "Wahai Hasan al-Bashri, engkau tahu aku mampu menjaga sembilan syahwatku dengan satu bahagian akal, sedangkan engkau tidak mampu menjaga satu syahwatmu dengan sembilan bahagian akalmu"

Saat itu menangislah Hasan al-Bashri, sambil keluar meninggalkan Rabiah al-Adawiyyah.


PENILAIAN.

Kisah ini adalah tidak benar dan dusta. Tidak pernah Hasan al-Bashri bertemu dengan Rabiah al-Adawiyyah untuk menikahinya. Ini kerana, Hasan al-Bashri lahir pada 21 Hijriah dan wafat pada 110 Hijriah, sedangkan Rabiah al-Adawiyyah lahir pada 100 Hijriah dan wafat pada 180 Hijriah. Ini bermakna ketika Hasan al-Bashri wafat pada usia 89 tahun, umur Rabiah al-Adawiyyah baru menjejak usia 10 tahun!

Dinyatakan bahawa kisah ini disebutkan dalam Misykat al-Anwar karya al-Ghazali.

Saya cuba membuat semakan terhadap kitab Misykat al-Anwar karya al-Ghazali yang ada pada saya, tetapi tidak ditemui kisah tersebut di dalam kitab tersebut. Saya kira, ia disandarkan secara dusta ke atas al-Ghazali, yakni al-Ghazali tidak pernah meriwayatkan kisah ini dalam kitabnya Misykat al-Anwar.

Berdasarkan jarak umur dan tidak ditemuinya kisah ini dalam Misykat al-Anwar, ia adalah petanda jelas bahawa kisah ini adalah dusta.

Kisah ini tanpa disedari telah mencalarkan imej Hasan al-Bashri sebagai seorang yang warak, dan mencalarkan imej Rabiah al-Adawiyyah dengan pertanyaan-pertanyaan yang tidak sepatutnya. Wallahu a’lam.


RUJUKAN.

1. Tahdzib al-Kamal karya al-Mizzi.

2. Siyar A'lam an-Nubala karya adz-Dzahabi.

3. Misykat al-Anwar karya al-Ghazali.

BENARKAH TSA’LABAH BIN HATIB ADA DUA, SALAH SATUNYA MUNAFIQ? (EDISI REVISI)

Oleh: Suhili Nain,

04 Mei 2015
Kota Kinabalu, Sabah.





PENDAPAT IBNU HAJAR AL-ASQALANI.

Ibnu Hajar al-Asqalani (Wafat 852 Hijriah) menyatakan Tsa’labah ada dua. Tsa’labah yang dimaksudkan tidak membayar zakat bukan yang tidak serta dalam perang Badar.

Ini adalah daripada kitab al-Ishabah karya Ibnu Hajar al-Asqalani:


(Kitab al-Ishabah karya Ibnu Hajar al-Asqalani)

Kesimpulannya, benar Ibnu Hajar al-Asqalani telah menyatakan Tsa’labah bin Hatib terdapat 2 orang, iaitu yang ikut serta Perang Badar dan yang tidak membayar zakat.

[934] Tsa’labah bin Hatib bin Amru bin Ubaid bin Umayyah bin Zaid bin Malik bin Auf bin Malik bin al-Aus al-Anshari.

[935] Tsa’labah bin Hatib atau Ibnu Abi Hatib al-Anshari.

Tsa’labah yang ikut perang Badar adalah (no. 934) dan yang tidak membayar zakat adalah (no. 935).

Saya telah tersilap dalam penulisan sebelum ini, dengan menyatakan bahawa Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan Tsa’labah bin Hatib pada (no. 934) dan (no. 935) adalah orang yang sama. Semoga Allah mengampuni saya atas kesilapan tersebut.

HUJAH-HUJAH IBNU HAJAR AL-ASQALANI.

Berikut adalah hujah-hujah Ibnu Hajar al-Asqalani tentang wujudnya 2 Tsa’labah bin Hatib:

1. Tarikh wafat yang berbeza. Menurut Ibnu al-Kalbi (Wafat 204 Hijriah), Tsa’labah bin Hatib yang menyertai perang Badar terbunuh dalam peperangan Uhud. Sedangkan riwayat Tsa’labah bin Hatib yang tidak membayar zakat wafat pada zaman pemerintahan Utsman bin Affan r.a..

2. Tsa’labah bin Hatib sebagai salah seorang pembina Masjid adh-Dhirar.

3. Riwayat Athiyah daripada Ibnu Abbas r.a. tentang seseorang bernama Tsa’labah bin Abi Hatib.

PENILAIAN TERHADAP HUJAH IBNU HAJAR AL-ASQALANI:

Berikut adalah catatan terhadap hujah Ibnu Hajar al-Asqalani:

Pertama: Tarikh wafat bagi Tsa’labah bin Hatib yang menyertai perang Badar terdapat perselisihan. Ibnu Hibban (Wafat 354 Hijriah) menyatakan dalam ats-Tsiqat bahawa Tsa’labah bin Hatib yang menyertai perang Badar wafat pada zaman pemerintahan Utsman bin Affan r.a.

Kedua: Ibnu al-Kalbi adalah Hisyam bin Muhammad bin Saib al-Kalbi. Menurut ad-Daraquthni, beliau adalah matruk. Berkata Ibnu Asakir, beliau adalah syiah rafidhah dan tidak tsiqah. (Mizan al-I’tidal, 4/304)

Ketiga: Jika benar pendapat Ibnu al-Kalbi, ia tetap tidak menjadi petanda Tsa’labah bin Hatib yang tidak membayar zakat adalah orang lain. Sebaliknya ia adalah petanda bahawa riwayat Tsa’labah bin Hatib tidak membayar zakat itu adalah palsu dan dusta.

Keempat: Ibnu Hisyam menyebutkan daripada gurunya Ibnu Ishaq bahawa Tsa’labah bin Hatib yang terlibat dalam pembinaan Masjid adh-Dhirar adalah daripada Bani Umayyah bin Zaid. Dengan ini jelas Tsa’labah bin Hatib yang turut serta membina Masjid adh-Dhirar adalah yang turut serta dalam perang Badar dan bukannya individu lain.



Kelima: Saya berkata: Meskipun Tsa’labah bin Hatib sebagai salah seorang daripada 12 orang pembina Masjid adh-Dhirar tidak mentsabitkan wujud Tsa’labah bin Hatib yang lain. Boleh jadi Tsa’labah bin Hatib tertipu dengan muslihat orang munafiq sehingga turut serta dalam pembinaan tersebut, sedangkan beliau tidak berniat buruk, atau mungkin juga senarai 12 orang pembina Masjid adh-Dhirar itu tidak shahih.

Keenam: Ketika menyenaraikan nama-nama golongan munafiq yang disebutkan oleh Ibnu Ishak, Ibnu Hisyam memberikan komentar bahawa Tsa’labah bin Hatib bukanlah termasuk dalam golongan munafiq, kerana beliau adalah salah seorang daripada ahli Perang Badar.

Ketujuh: Riwayat Athiyah daripada Ibnu Abbas r.a. itu tidak shahih. Dalam sanadnya perawi-perawi dhaif: Athiyah bin Saad bin Junadah al-Awfi. Berkata adz-Dzahabi, beliau dhaif dalam hadis dan seorang Syi'ah. (Siyar A'lam an-Nubala, 5/325) Al-Hasan bin Athiyah al-Awfi. Didhaifkan oleh Abu Hatim dan selainnya. (Diwan adh-Dhu'afa, 1/82) Al-Husain bin al-Hasan bin Athiyah al-Awfi. Didhaifkan oleh Yahya bin Main dan selainya. Menurut Ibnu Hibban tidak harus berhujah dengan hadisnya. (Mizan al-I'tidal, 1/532). Justeru ia tidak dapat dijadikan sandaran wujud individu lain bernama Tsa’labah bin Abi Hatib.

Kelapan: Riwayat Tsa’labah bin Hatib tidak membayar zakat itu tidak shahih. Ia dhaif jiddan.

Daripada 8 poin ini, jelas kepada kitab bahawa hujah wujudnya Tsa’labah bin Hatib yang lain adalah lemah dan tidak kukuh. Yang rajih, Tsa’labah bin Hatib cuma ada seorang. Demikian adalah pendapat ulama-ulama sebelum Ibnu Hajar al-Asqalani.

SAYA BUKAN ORANG PERTAMA.

Ingin saya nyatakan disini, saya bukanlah individu pertama yang tidak bersetuju dan mengkritik idea Ibnu Hajar al-Asqalani tentang wujudnya 2 Tsa’labah bin Hatib.

Sebelum saya telah terdapat kritikan terhadap idea tersebut yang dimuatkan dalam kitab Tafsir al-Basith karya al-Wahidi (Wafat 468 Hijriah) edisi tahqiq terbitan Universiti Islam al-Imam Muhammad bin Suud pada tahun 1430 Hijriah. Lihat pada Surah at-Taubah; ayat 75.

PENDAPAT ULAMA-ULAMA SEBELUM IBNU HAJAR AL-ASQALANI.

Dalam bahagian ini saya akan kemukakan rekod para ulama sebelum Ibnu Hajar al-Asqalani yang mana mereka tidak menyatakan terdapat dua Tsa’labah bin Hatib. Malah mereka menunjukkan bahawa riwayat Tsa’labah bin Hatib al-Anshari, tidak membayar zakat adalah merujuk kepada Tsa’labah bin Hatib bin Amru bin Ubaid bin Umayyah bin Zaid bin Malik bin Auf bin Malik bin al-Aus al-Anshari yang mengikuti Perang Badar.

Berikut adalah rujukan daripada kitab-kitab:


(Kitab al-Jarh wa at-Ta’dil karya Ibnu Abi Hatim)


(Kitab al-Muhalla karya Ibnu Hazm al-Andalusi)

(Kitab Ma’rifat ash-Shahabat karya Abu Nu’aim)


(Kitab Ma’rifat ash-Shahabat karya Abu Nu’aim)

(Kitab al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Barr)

(Kitab Asad al-Ghabah karya Ibnu al-Atsir)

(Kitab Al-Wafi Bi Al-Wafayat karya ash-Shafadi)

Daripada paparan di atas kita melihat Ibnu Abi Hatim (Wafat 327 Hijriah), Abu Nu’aim al-Asbahani (Wafat 430), Ibnu Hazm al-Andalusi (Wafat 456 Hijriah), Ibnu Abdil Barr al-Andalusi (Wafat 463 Hijriah), Ibnu al-Atsir (Wafat 630 Hijriah) dan ash-Shafadi (Wafat 764 Hijriah) yang hidup sebelum Ibnu Hajar al-Asqalani tidak membezakan antara Tsa’labah bin Hatib yang ahli Perang Badar dan yang tidak membayar zakat.

Berikut pula bukti kukuh daripada Ibnu Hisyam (wafat 213 Hijriah) yang menunjukkan Tsa’labah bin Hatib yang turut serta dalam pembinaan Masjid adh-Dhirar adalah berasal daripada Bani Umayyah bin Zaid yakni yang turut serta Perang Badar.


(Kitab as-Sirah an-Nabawiyyah karya Ibnu Hisyam)


KESIMPULAN.

Daripada semua perbahasan dan penilaian, jelas kepada kita bahawa hanya wujud Tsa’labah bin Hatib al-Anshari. Ada pun pendapat, bahawa Tsa’labah bin Hatib al-Anshari ada 2 adalah pendapat yang lemah. Beliau adalah salah seorang daripada ahli Perang Badar, seperti mana kata Abu Hatim ar-Razi.

Riwayat Tsa’labah bin Hatib al-Anshari tidak membayar zakat adalah tidak shahih. Menurut Ibnu Hazm al-Andalusi ia adalah bathil. Manakala terlibatnya Tsa’labah bin Hatib dalam pembinaan Masjid adh-Dhirar tidak mentsabitkan bahawa beliau adalah termasuk golongan munafiq. Bahkan beliau termasuk sahabat Nabi s.a.w. yang beriman.

Semoga Allah s.w.t. meredhai Tsa’labah bin Hatib al-Anshari.


RUJUKAN:

1. Ibnu Hajar al-Asqalani, al-Ishabah Fii Tamyiz ash-Shahabat, (Tahqiq: Dr. Abdullah bin Abdul Muhsin at-Turki), Kaherah: Markaz Buhuts wa ad-Dirasat al-Arabiyyah ad-Diniyyah, Cetakan Pertama, 2008 Masihi - 1429 Hijriah, Juzuk 2.

2. Abu Umar Yusuf bin Abdil Barr an-Namiri al-Qurtubi, al-Isti'ab Fii Ma'rifat Asma al-Ashab, Beirut: Darul Fikr, 2006 Masihi, Juzuk 1.

3. Shalahuddin ash-Shafadi, al-Wafi Bi al-Wafayat, (Tahqiq: Ahmad al-Arnauth dan Tazki Mushthafa), Beirut: Dar al-Ihya Turats, Cetakan Pertama, 2000 Masihi, Juz 11.
4. Abu Nu'aim al-Ashbahani, Ma'rifat ash-Shahabat, (Tahqiq: Adil bin Yusuf al-Azazi), Cetakan Pertama, Riyadh: Dar al-Wathan, 1998 Masihi - 1419 Hijriah.

5. Muhammad bin Abdul Malik bin Hisyam, Sirah an-Nabi, (Tahqiq: Majdi Fathi as-Sayyidi), Thantha: Dar ash-Shahabat Lit Turats Bi Thantha, Cetakan Pertama, 1995 Masihi - 1416 Hijriah, Jilid 4.

6. Ibnu al-Atsir, Asad al-Ghabah Fii Ma'rifat ash-Shahabat, Beirut: Dar Ibn Hazm, Cetakan Pertama, 2012 Masihi - 1433 Masihi.

7. Ibnu Hazm al-Andalusi, al-Muhalla, (Tahqiq: Muhammad Munir ad-Dimasyq), Mesir: Idarah ath-Thaba'ah al-Muniriyyah,Tanpa Tahun Cetakan & Terbit, Juzuk 11.

8. Ibnu Abi Hatim, al-Jarh wa at-Ta'dil, (Tahqiq: Abdurrahman bin Yahya al-Mu'alimi al-Yamani), Dairah al-Ma'arif al-Utsmaniyyah, 1952 Masihi - 1371 Hijriah, Juzuk 1.

9. Software Maktabah ash-Shamilah 3.61, www.arrawdah.com