Selasa, 23 November 2021

KAMU TANYA DALIL, PERBUATAN TANYA DALIL ITU SENDIRI, ADA DALIL TAK? INI JAWAPANNYA.



Ada yang bertanya, minta dalil ini Nabi SAW dan para sahabat pernah buat tak? Dengan erti kata lain, adakah perbuatan bertanya dalil itu sendiri mempunyai dalil?

Bagi menjawab soalan itu, di sini saya bawakan dua ayat Al-Quran sebagai jawapan.


Allah SWT berkata:

قُلۡ هَاتُواْ بُرۡهَٰنَكُمۡ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar-benar.

[Surah Al-Baqarah: 111]


فَسۡـَٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.

[Surah Al-Anbiya': 7]

Berdasarkan dua ayat ini, secara umum menunjukkan kepada kita bahawa bertanya dalil untuk membuktikan kebenaran sesuatu dakwaan ataupun bertanya mengenai sesuatu yang tidak kita ketahui, adalah sesuatu yang dianjurkan.

Orang yang ditanya berkenaan dalil pula, dianjurkan untuk menyampaikan apa yang dia ketahui, kerana itu adalah peluang untuk menjana pahala yang sentiasa mengalir.

Nabi Muhammad SAW berkata:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfa'at baginya dan anak shalih yang selalu mendoakannya.

[Riwayat Muslim]

Sahabat Nabi apabila mengajar agama, mereka akan menyampaikan dalil kepada orang lain, kerana bimbang dengan ancaman menyembunyikan ilmu.


عَنْ حُمْرَانَ فَلَمَّا تَوَضَّأَ عُثْمَانُ قَالَ أَلَا أُحَدِّثُكُمْ حَدِيثًا لَوْلَا آيَةٌ مَا حَدَّثْتُكُمُوهُ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَتَوَضَّأُ رَجُلٌ يُحْسِنُ وُضُوءَهُ وَيُصَلِّي الصَّلَاةَ إِلَّا غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الصَّلَاةِ حَتَّى يُصَلِّيَهَا قَالَ عُرْوَةُ الْآيَةَ { إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنْ الْبَيِّنَاتِ }

Daripada Humran: Ketika Usman berwuduk, dia berkata: Mahukah aku sampaikan kepada kamu sebuah hadis yang kalau bukan kerana ada satu ayat tentu aku tidak akan menyampaikannya? Aku pernah mendengar Nabi SAW berkata: Tidaklah seorang berwuduk dengan membaguskan wuduknya kemudian mengerjakan solat, kecuali akan diampuni dosa antara wuduknya dan solatnya itu hingga selesai solatnya.

Urwah berkata: Ayat yang dimaksud adalah: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. (Al-Baqarah: 159)

[Riwayat Muslim]

Rugilah kalau kita sembunyikan ilmu, sedangkan itu peluang menjana pahala yang berterusan. Lebih rugi lagi, apabila kita hendak lempang orang yang bertanya dalil.

Kepada orang awam, kalau ada ustaz yang mahu lempang orang bertanya dalil, saya sarankan tinggalkan orang sedemikian. Perbuatan mereka itu, hakikatnya bercanggah dengan ajaran Al-Quran dan hadis.
Wallahu a'lam.




Label: ,